Santai Sikit...
Gambar Hiasan.
Hidup ini kan penuh dengan peristiwa, penuh warna warni, suka duka, tawa ria, pahit manis. Asam garam kehidupanlah katakan. Rakaman segala peristiwa tersebut akan kekal dalam lipatan sejarah. Terdapat satu kisah yang agak menarik juga untuk dikongsikan dengan pelawat blog ini.
Kisah ini mungkin agak lucu sedikit, namun terpulanglah kepada cara pembacaan dan persepsi masing-masing. Ianya berlaku di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur sekitar tahun 1993. Maknanya sudah hampir 20 tahun berlalu. Jika masa tu seorang anak kecil lahir, tahun depan dia sudah boleh mendaftar menjadi pengundi yang sah dan pada PRU14 boleh mengundi.
Kalau ada yang terlupa tahun 1993 merupakan tahun pemilihan MKT UMNO. Masa tu team wawasan tengah mewarnai politik UMNO. Mereka begitu dominan sehinggakan Tun Ghaffar keluar pejabat dengan hanya sebuah beg plastik. Dari Perlis hingga ke Sabah, semuanya bercakap mengenai team wawasan. Roadshow dalam pemilihan UMNO ketika itu mengalahkan senario roadshow pemilihan Presiden Amerika.
Hinggakan apabila team wawasan berada dikemuncak keseronokan (climaxlah tu) Tun Mahathir yang ketika itu berada di luar negara terpaksa mengarahkan supaya roadshow ala Amerika tersebut dihentikan serta merta. Masa tu team wawasan sedang berada di Kuantan. Sebahagian daripada tokoh UMNO dalam team wawasan masih ada yang kekal sebagai Ketua Bahagian sehingga ke hari ini.
Terdapat ramai tokoh yang bertanding ketika itu merebut pelbagai jawatan dalam MKT. Yang paling ramai ialah mereka yang bertanding merebut 25 kerusi MKT. Masa itu budaya politik wang telah mula menjadi barah dalam UMNO. Sebelum itu ada juga sikit-sikit budaya politik wang ini, tetapi tidaklah seteruk pada sessi pemilihan tahun 1993 tersebut.
Siapa yang mempunyai wang yang banyak akan diburu oleh para perwakilan. Calon-calon yang 'sengkeh' awal-awal lagi sudah 'kalah' Setakat tersengeh dan salam kosong je..alamatkan hanyutlah.. Ada masuk, undi masuk. Salam kosong, undipun kosonglah..Itu kisah dulu. Kini budaya politik wang dalam UMNO sudah jauh berkurangan.
Tahun mendatang budaya politik wang lagi akan berkurangan kerana Presiden UMNO sekarang telah memutuskan sesiapa yang mengamalkan politik wang, memenangi jawatan dengan cara menyogok perwakilan, soheh tidak akan dipilih menjadi calon dalam pilihanraya.. Ada berani??
Dipendekan kisah, terdapatlah seorang tokoh tu yang nak bertanding merebut jawatan dalam MKT. Namanya Datuk Ali (soheh bukan nama sebenar)
Datuk Ali ni seorang yang kaya, namun agak kedekut sedikit. Kemutlah sikit mengikut bahasa orang muda. Dia seboleh mungkin tidak mahu 'menghulur' kepada perwakilan. Namun dia sangat rajin dan berusaha keras untuk memenangi hati perwakilan. Semua majlis perjumpaan dia akan hadir, senyum, sengeh, salam.. hulur tak dak.. kosong.
Kemana saja dia pergi, sengeh, senyum meleret dan salam..hulur tidak jugak. Akhirnya perwakilan apabila nampak dia muncul, akan cepat-cepat menghilangkan diri. "salam kosong je buat apa, ni baju anak aku belum beli lagi ni.." rungut seorang perwakilan dan terus cabut sebelum Datuk Ali dapat memegang tangannya.
Datuk Ali sebenarnya tidak begitu mengenali perwakilan, maklumlah ramai sangat, lebih 1500 orang. Namun untuk menjaga hati perwakilan dia berpura-pura mengenalinya. Akhirnya sesiapa sahaja yang dia jumpa dia ingat orang itu perwakilan UMNO Bahagian. Beberapa kali dia telah kantoi.
Ayat standard Datuk Ali bila bertemu sekelompok orang ialah "Assalamualaikum..apa khabar, lama tak jumpa, you dari Bahagian mana, salam pada Ketua bahagian you.. salam pada Timbalan Ketua bahagian you.." sambil menghulur tangan.. kosong!!!
Suatu hari tu Datuk Ali bertemu dengan perwakilan UMNO Bahagian Pahang, Bahagian Mentakab. Masa tu Ketua Bahagian ada, Timbalan Ketua Bahagian pun ada dan AJK Bahagian juga ada. Biasalah ayat dia. "Assalamualaikum.. apa khabar, lama betul kita tak jumpa, Ketua Bahagian you ok, you Bahagian mana??.(sedangkan semalam baru dia bertemu dengan orang yang sama dari UMNO Bahagian Mentakab tersebut). Dia tidak kenal orang yang dia sedang bercakap dan bersalaman itu adalah ketua UMNO Bahagian Mentakab sendiri. Kantoi satu.
Kemudian dia pergi lagi ke group lain. Di Hotel tu memang ramai perwakilan. Dia berjumpa dengan perwakilan dari Perak.. "Assalamualaikum.. apa khabar, you dari bahagian mana?? Eh I kenal baik dengan Timbalan Ketua Bahagian you..salam pada dia..." Datuk Ali tidak kenal, orang itu adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian tersebut. Kantoi dua. Nasib Datuk Alilah.. soheh tak dapat undi.
Pada waktu yang lain dia bertemu dengan sekumpulan orang lagi, yang sedang rancak berbual:
Datuk Ali: "Assalamualaikum.. apa khabar?" sambil menghulur tangan
Salim (bukan nama sebenar) "Sihat Datuk.." sambil menyambut salam
Datuk Ali: "Lama betul kita tak jumpa.."
Salim: "Datuk tak perasan saya.. siang tadi kita dah jumpa dah.."
Datuk Ali: "Eh ia ke.. maaflah..Ketua Bahagian you mana, salam pada dia.."
Salim: "Dia ada kat dalam sana tu.."
Datuk Ali: "Nanti I nak jumpa dia.. you Bahagian mana ya?"
Salim: "Saya bahagian house keeping Datuk.."
Datuk Ali: "Ohh you pekerja hotel ni ke, saya minta diri dulu." Kantoi tiga.
Banyak kali lagi selepas itu Datuk Ali kantoi kerana dia mengamalkan cara kempen yang sama pada setiap masa. Walau bagaimanapun pada pemilihan tahun 1993 tersebut Datuk Ali telah berjaya dipilih sebagai salah seorang pemenang dalam perebutan jawatan MKT. Siapakah 'Datuk Ali' Ada sesiapa yang kenal??
Moral of the story....??? buat sendiri ye..
No comments:
Post a Comment