Saturday, May 11, 2013

Ibarat Melepaskan Anjing Tersepit...


 
Gua sulah minang ooo.. !!!

Mungkin Jokiden tidak tahu, tetapi rasanya Nuar Brahim belum pergi mengziarahi rakan kongsi beliau Azizan Razak yang terlantar di hospital. Raja dan Yang Dipertua serta pemimpin UMNO/BN sudahpun pergi melawat sebelum arahan terbaru dikeluarkan agar tiada lagi pelawat datang mengziarahi beliau.
 
Baguslah jika Nuar sudah pergi awal-awal lagi. Sekiranya belum pergi memanglah amat tidak patut sekali. Terlalu sibuk dengan demontrasi jalanan untuk menolak keputusan PRU13, Nuar sampai tiada masa untuk menunjukkan sedikit rasa simpati kepada keluarga Azizan.
 
Bersusah payah PAS membantu DAP dalam PRU13 dahulu, bukan sahaja daripada segi bantuan logistik dan jentera kempen tetapi juga bantuan dari segi undi, namun akhirnya segala pengorbanan PAS tersebut tidak sedikitpun dihargai oleh DAP. Malah diperlekeh pulak.
 
Semalam Hj Hadi mengatakan PAS tidak sedikitpun merasa rugi dengan menyokong DAP. Eloklah tu. Dari dulu PAS dikotak-katikkan oleh DAP. PAS dihina oleh DAP. Namun pemimpin dan ahli PAS sanggup menutup mata seolah-olah tidak ada apa yang berlaku, demi mengemis sokongan palsu daripada DAP. Itu sebab orang tua-tua dahulu kala ada berpesan berhati-hatilah dalam memilih kawan.
 
Ibarat habis madu sepah dibuang. Untuk menghalalkan tindakan DAP yang tidak melantik seorangpun wakil PAS dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang, maka hari ini Lim Guan Eng dengan sedap mulut sahaja menemplak dan menuduh PAS sebagai punca kekalahan calon DAP di Kedah. Memang tidak sedar diuntung DAP ini.
 
Sudahlah tidak berterima kasih dengan segala usaha PAS yang sanggup mencela dan mencemuh bangsanya sendiri semata-mata untuk membuktikan kesetiaan  PAS kepada DAP, namun semua itu tidak bermakna langsung dan ibarat madu dibalas racun oleh DAP.
 
Ibarat melepaskan anjing yang tersepit, DAP kini seolah-olah hendak menggigit PAS pula. Apapun PAS sentiasa bersedia dihina dan dipijak-pijak oleh DAP demi untuk meraih sedikit kuasa yang entah darimana datangnya. Impian yang kabur dan jauh dari realiti.
 
Jika perbuatan DAP menghina agamapun sanggup dimaafkan oleh PAS dengan alasan kononnya DAP belum begitu faham sangat tentang Islam, apalah sangat dengan kutukan DAP kepada PAS sebagai punca kekalahan DAP di Kedah. No hal punyalah perkara kecik je tu. UMNO lagi busuk dari DAP. Itulah yang tertanam diminda para pemimpin PAS.

Baca juga kisah AMK dan PKR menyalahkan PAS di sini. PAS ternyata sudah jatuh ditimpa tangga.
 
 

Friday, May 10, 2013

PRU13 PART TWO.

  
Dia ni mulanya menang, tetapi setelah lampu padam tetiba je undi Nurul Izzzah melonjak naik, entah dari mana datangnya. Mungkin dengan kerjasama SPR, mereka telah bersedia dengan 5 kotak undi yang telah dipangkah awal-awal lagi.
 
Beberapa hari ini di warung-warung kopi perbualan berkisar tentang keputusan PRU13. Bagi penyokong BN walaupun BN menang dan masih membentuk kerajaan namun kegembiraan sedikit luntur. Mereka juga tegar membantah tindakan provokasi oleh pakatan khususnya Nuar Brahim yang mempertikaikan keputusan tersebut.
 
Sementara penyokong pakatan nampaknya perbualan adalah berkisar keatas isu penipuan oleh SPR untuk memenangkan calon-calon UMNO/BN. Rata-rata mereka mempercayai tentang kisah pengundi hantu, lampu padam, pengundi mengundi dua kali atau SPR menambah undi BN.
 
Agak menghairankan yang mempercayai kisah dongeng tersebut bukannya terdiri daripada warga muda, sebaliknya otai politik yang berpendidikan tinggi seperti guru besar, pesara kanan kerajaan dan penjawat di sektor swasta. Mereka mempercayai kata-kata Nuar Brahim.

Ini merupakan ulasan Jokiden terhadap komen-komen yang terdapat di dalam media sosial selepas PRU13. Ada ribuan komen sebegini dan puak pakatan amat teruja dengan komen-komen tersebut. Samada pemberi komen ini benar-benar yakin dengan apa yang mereka komen dan 'share'kan atau sengaja membuat komen demi untuk menambah persepsi dikalangan mereka. Jokiden mengulasnya di sini kerana tidak mahu rakan-rakan fb Jokiden tersinggung sedangkan mereka berpendidikan tinggi dan memegang jawatan tinggi pula.
Eddy Eng: You still can not understand the feelings of the Chinese community towards the MCA and why we hated MCA so much!UMNO has rubbish the Chinese community for so long with the help of MCA against the Chinese community.The corruption and abuse of power of all component parties of BN is beyond tolerance any more.It is not that the Chinese need to depend on the representation of the MCA.We never did need your representation.The Chinese community have suffered under the rule of BN and we still persevere and struggle to make a living in Malaysia depict the discrimination and abuse of BN.MCA has never been able to protect the interest of the Chinese community.You and other MCA leaders' statement against the opposition parties amounts to bad taste and intimidation to the Chinese community.We never need MCA's help or representation at all.We have survived the discrimination and abuse of BN since Tun Razak's era.We will continue to survive in Malaysia without MCA
ANGKUH BETUL KENYATAAN DI ATAS. Inilah luahan rasa rakyat yang tidak tahu mengenang budi. UMNO/BN telah melayan rakyatnya begitu adil sekali. Pemimpin UMNO begitu bertolak ansur sehinggakan ahli parti sendiri diketepikan kerana ingin memberi lebih tumpuan kepada komuniti Cina.
Mengatakan kaum Cina di pinggirkan oleh UMNO/MCA dan terseksa di bawah pemerintahan UMNO/MCA/BN adalah satu kenyataan yang kurang cerdik dan penuh dengan provokasi. Cuba senaraikan sendiri segala apa yang terbuku dihati dalam semua bidang sekiranya benar kaum Cina terseksa di bawah BN. Kemudian senaraikan pula segala kenikmatan yang kaum Cina nikmati di bawah UMNO/BN.
Menuduh MCA gagal melindungi kepentingan kaum Cina merupakan perbuatan yang sengaja menolak fakta, membutakan mata dan memekakkan telinga. Bahasa kasarnya ialah pekak dan tuli. Tidak mendengar dan tidak melihat.
Kisah rasuah di dalam DAP sebenarnya lebih besar jika dibandingkan dengan rasuah di dalam MCA. Pemilihan CEC DAP menjadi bukti kepada betapa buruk dan tidak demokratiknya parti tersebut. Jokiden suka mengulang ayat iaitu DAP tidak akan mampu memenangi sebarang kerusi dalam PRU sekiranya tidak memainkan sensitiviti kaum dan membesar-besarkan isu perkauman.  
 
Fb  Pencinta Kebenaran 6/5/13
Berikut adalah antara sebab2 PR tidak berpuashati pada PRU 13:
a) Begitu banyak kes pengundi hantu yang berjaya dibongkar.
Di mana pembongkaran ini. Mana buktinya?? Kenapa bodoh sangat untuk mempercayai wujud pengundi hantu ini seperti yang selalu digembar-gemburkan oleh Nuar. Jelas Nuar menipu dan berjaya menipu pengikutnya. Bertahun-tahun SPR mempamirkan daftar pemilih, beratus kali SPR mengwar-warkan jumlah pengundi ialah sebanyak 13.3 juta. Ada sesiapa yang peka untuk menyemak??? Hanya 1,000 orang lebih sikit yang mengambil inisiatif untuk menyemaknya.
Mana perginya 135,000, 70,000, kemudian 40,000 dan akhir sekali 27,000 yang didakwa diangkut dengan penerbangan kelas pertama seperti yang Nuar tipu tersebut. Mana mereka itu pergi mengundi?? Mana pergerakan luar biasa di KLIA sepanjang tempoh PRU ini??? Kalau bukti setakat air liur basi, tak perlulah menjerit, nanti dunia luar mengketawakan Nuar Brahim.
 
b) Dakwat kekal yang dijanjikan langsung TIDAK KEKAL! Padahal berjuta2 habis untuk beli.
Ini lagi bukti betapa tidak cerdiknya pembangkang. Menyusahkan rakyat, mengambil masa yang lama untuk beratur dan dicalit. Ingin kembali ke zaman purba sedangkan SPR telah jauh maju ke hadapan. Nasiblah jika ada yang dakwatnya cepat hilang dan ada juga yang masih kekal hingga kini.
Bila dakwat tidak kekal mana buktinya yang mereka yang sudah mengundi itu dapat mengundi lagi sekali??? Di tempat mana pula mereka pergi mengundi. Jika di tempat yang sama tentulah tidak mungkin kerana nama mereka telah diptong oleh wakil-wakil parti yang ada di pusat mengundi itu. Kecualilah wakil parti itu telah di rasuah oleh wakil BN atau SPR dan mereka buat buta je, atau buat pekak je. Jika itupun berlaku, kertas undi sudah pasti tidak tally. Lagi sekali mungkin wakil calon pakatan  yang berada di situ telah menerima rasuah RM10 juta yang memungkinkan perkara itu terjadi.
 
c) Keputusan hanya diumum jam 1 pagi iaitu paling lambat dalam sejarah Malaysia!
Ini tidak menghairankan kerana jumlah undi yang banyak untuk dikira dengan teliti. Mat Sapu bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS dengan Nasharuddin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man hanya melibatkan 1200 undi namun keputusan hanya dapat diumumkan pada jam 4 pagi. Inikan pula melibatkan 11 juta kertas undi. Tentulah mengambil masa.
Namun keputusan pastinya dapat diumumkan jika Pakatan tidak buat hal seawal jam 9 malam. Ini tidak berlaku kerana Nuar mengarahkan supaya undi dikira berkali-kali semata-mata untuk melewatkan pengumuman oleh SPR bagi mengwujudkan syak wasangka. Bagi  826 calon yang bertanding mereka sebenarnya sudah tahu samada menang atau kalah sebelum jam 7 mlm lagi kerana balaci mereka telahpun terlebih dahulu menjumlahkan semua undi yang dihantar melalui SMS oleh wakil masing-masing dari bilik mengundi. Kita mesti ingat, selagi undi tidak habis dikira di situ dan wakil tidak menanda tangani borang 13 atau 14, kotak undi tidak dibenarkan diangkut ke Dewan atau Pusat Penjumlahan undi.
d) Setelah DSAI umum PR menang banyak negeri, serta merta banyak pusat kiraan tiba2 blackout dan secara tiba2 undi BN naik mendadak.
Nuar ini pun satu hal, sudahlah bangang, meroyan pulak, apa kuasa dia nak umumkan keputusan PRU. Kuasa itu ada ditangan SPR. Oklah lampu padam selama 10 jam atau 20 jam di pusat2 penjumlahan undi, apa masalahnya??? Di situ ada beratus atau mungkin beribu orang memerhatikan dan memantau situasi termasuk wakil2 pakatan yang mudah dibayar berjuta ringgit tadi oleh SPR dan wakil BN untuk membolehkan undi ditambah. Boleh ke???
TNB mengesahkan tidak ada berlaku blackout, kecualilah yang dirancang oleh puak pakatan sendiri yang memotong bekalan. Lagipun di dalam gelap macam mana nak kira undi yang baru di bawa masuk tu. Dari mana datangnya undi tersebut?? Bagaimana pula jumlah undi itu tally atau sama dengan apa yang ditanda tangani oleh wakil yang mengira di pusat mengundi siang tadi.?? Tidak masuk akal dan kurang akal bagi sesiapa yang mempercayainya. Namun apa kita nak hairan ye tak, lagi kuat pakatan menipu lagi ramai yang mempercayainya.
Nuar Berjaya dengan rancangannya supaya calon-calon pakatan diminta mendesak SPR mengira undi berulang kali supaya terjadi kelewatan dan timbul keraguan, supaya penyokong tolol mereka mempunyai asas untuk percaya dan membuat bantahan.
Bagaimanpula kes di Marang, kita melihat di dalam TV betapa Hj Hadi ketinggalan dan calon BN mendahului. Mungkin selepas ‘blackout’ itulah agaknya berguni-guni undi hantu masuk untuk memenangkan Hj Hadi.  Di Lembah Pantai dari awal hingga akhir Datuk Raja Nong Chik mendahului, tetiba sahaja selepas berlaku  ‘blackout’ undi Nurul Izzah bertambah-tambah dan dia akhirnya menang.   Dikedua-dua tempat ini sahlah Hj Hadi dan Nurul Izzah menang dengan undi hantu yang disekongkolkan oleh wakil BN, wakil pakatan dan petugas SPR. Pastinya mereka telah dibayar berjuta ringgit untuk melakukan penipuan itu dan memenangkan calon pakatan. Duit, siapa yang tak mahu beb!!!
 
e) Berjaya dibongkar apabila 3 peti undi disorok di parlimen Putrajaya.
Kalau sudah dibongkar dan ditemui 3 peti undi tersebut tidak adakah yang mengambilnya dan membawanya ke balai polis dan membuat laporan, siap dengan rakaman video untuk dinaik turun ke laman youtube. Peti undi itu di sorok untuk buat apa??? Dari jam 7.30 pagi wakil pakatan di dalam setiap bilik mengundi itu buat apa??? Mereka tidak periksa ke apa yang ada dalam bilik2 tersebut??? Berapa kertas undi yang dikeluarkan dan apakah mereka menanda-tangani borang kosong dalam mengesahkan jumlah undi di situ???
Kenapa Pakatan melantik semua wakil yang tolol dan mudah dibeli oleh pihak lain dan meletakkan mereka sebagai pemerhati di 8,500 pusat mengundi tersebut. Memanglah pakatan ini tidak cerdik dan dapat ditipu oleh wakil2 yang mereka sendiri lantik. Apapun jika bukti sudah cukup kemukakanlah petisyen PRU, apa perlunya pergi berarak ke Stadium Kelana Jaya????

Buat petisyen supaya Husam Musa boleh menang. Kesian kat dia, sudahlah ditolak oleh pengundi Putrajaya, di Kelantan dia ditolak pula oleh Istana dan otai-otai PAS. Kesian, eloklah undi di Putrajaya, di Permatang Pauh, Lembah Pantai dan Marang dikira semula memandangkan ada keraguan di situ.
 
f) Pada pukul 11pm masih ada peti undi cuba dibawa masuk ke tempat pengundian padahal pusat mengundi ditutup pada pkul 5pm. Adakah tempoh 3 jam tidak cukup untuk proses kira undi di buat.
Ini apa bendanya ini, faham ke tidak proses PRU wahai ‘Pencinta Kebenaran’ atau sengaja nak buat posting kerana anda telah dibayar sebagai jentera The Red Bean Army’??? Apa yang direpekkan ini??
Pusat mengundi memang ditutup pada pukul 5 petang dan peti diseal di depan mata wakil-wakil parti di situ. Pintu tempat mengundi juga dikunci, tiada sesiapa boleh masuk dan boleh keluar. Seal peti undi adalah preraturan SPR. Beberapa minit kemudian di depan mata wakil yang celik tersebut peti undi akan dibuka kembali dan undi mula di kira.
Di peti undi kampong Jokiden jumlah undi tidak banyak hanya dalam 240 sahaja. Sekejap sahaja sudah selesai dan sudah tahu berapa BN dapat dan berapa pakatan dapat. Bantahan tidak ada. Perbezaan undi jauh, jadi tidak ada keributan. 6.30 petugas SPR dan termasuk wakil parti yang bermata buntang sudah keluar dan membawa peti undi ke Kuala Pilah untuk dihantar ke Dewan Pengumpulan undi. Wakil parti membawa salinan borang 13 di tangan masing-masing.
Di tempat yang ramai pengundi proses mengira undi tentulah mengambil masa yang lama. Jika ada bantahan dan kiraan semula, lagi lama proses di situ berjalan. Akhirnya borang 13 hanya boleh ditanda tangani oleh wakil calon setelah undi berkali-kali dikira sehingga pada jam 10 malam. Kenderaan yang membawa peti undi bersama petugas SPR dan wakil parti serta borang 13 di tangan masing-masing menuju ke Dewan penjumlahan undi dalam keadaan letih litak. Jalan pula sesak kerana kenderaan banyak.
Tiba berhampiran dewan penjumlahan undi, maka disekat pula oleh puak pakatan kerana disyaki membawa undi tambahan. Setelah campur tangan polis barulah mereka dapat menyerahkan peti undi kepada Pengurus PRU di dewan berkenaan. Masa sudah lewat jam 11.30 malam. Jika jumlah undi dipertikaikan oleh calon, maka kertas undi terpaksa dikira semula. Akhirnya mengambil masa berjam-jam dan sehingga jam 2 pagi barulah semua pihak berpuas hati dan pemenang boleh diumumkan.
 
g) Negeri Perlis, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan semua BN menang majoriti mudah. Untuk pengetahuan, negeri2 tersebut antara diumum DSAI telah dimenangi PR dan negeri2 tersebutlah yang tiba2 mengalami blackout!!
Nuar kata UMNO/BN sudah tidak dapat lagi memperbodohkan rakyat. Tetapi dalam hal ini Nuar ternyata berjaya memperbodohkan penyokongnya dan penyokongnya dengan bebal mempercayainya. Sepatutnya penyokong berpendirian, biar kita bodoh tetapi jangan diperbodohkan. Sebelum mempercayai kata-kata Nuar ada eloknya jika disiasat terlebih dahulu apa yang keluar dari mulutnya kerana dia kan selalu menipu dan putar belit.
Dalam (g) di atas penghantar posting fb ini beberapa kali dibodohkan oleh Nuar. Pertama kerana mempercayai bahawa berlaku ‘blackout’ sehinggakan Hj Hadi yang pada mulanya kalah kemudian setelah blackout, dia tiba-tiba menang.
Keduanya kerana tidak dapat membaca muslihat Nuar yang mendahului SPR dengan mengumumkan bahawa di Negeri-negeri tersebut pakatan sudah ‘menang’, sedangkan penyokong BN sudah mengetahui BN yang sebenarnya menang walaupun tipis. Di NSDK tidak berlaku tension kerana sejak jam 9 lagi kita sudah tahu BN menang, Cuma nak tunggu pengumuman SPR pada jam 1 pagi sahaja. Itu proses undang-undang. Kalau adapun yang murung di rumah MB ialah kerana NSDK tidak Berjaya memperolehi majority dua pertiga. Selain daripada itu kita sebenarnya sudah merayakan kemenangan sejak awal lagi.
Samada Nuar mendapat maklumat yang salah daripada wakil dia di setiap peti undi di NSDK atau dia sengaja mencipta berita palsu itu sebagai persediaan untuk menyalahkan SPR nanti dan memperbodohkan penyokongnya.  
 
h) Ada pengundi hantu berjaya ditangkap kerana berjaya mengundi 2 kali
Ini lagi syok, Jokiden berharap sangat agar bukti ini dapat di bawa ke muka pengadilan dan jika betul kawasan yang di menangi itu tidak kira oleh parti mana mahkamah mestilah membatalkannya. Jika terbukti pengundi hantu itu mengundi dua kali untuk memenagkan Hj Hadi, maka keputusan Parlimen Marang mestilah dibatalkan dan PRK diadakan. Begitu juga jika terbukti pengundi hantu itu mengundi dua kali di Parlimen Jempol, walaupun majority Tan Sri Mohd Isa melebihi 8,000 maka kemenangan dia haruslah dibatalkan oleh mahkamah dan pengundian semula mesti dijalankan. Kita juga ragu kerana mungkin juga pakatan telah merancang beberapa orang untuk menjadi hantu dan cuba untuk mengundi dua kali semata-mata untuk memerangkap SPR.
 
i) Kertas undi yang dibawa dari luar oleh petugas SPR!! berjaya di tangkap sedangkan adalah mustahil kertas undi boleh berada diluar dan ia satu kesalahan yang besar ! Rakyat yang waras pasti akan menuntut keadilan !
Ini akan menjadi bahan lawak antarabangsa. Mungkin petugas SPR ini telah dibayar berjuta ringgit untuk tujuan ini. Sikit-sikit tak mainlah beb.. Juta-juta ok, kalau masuk penjara juga ok. Jika kertas undi dari luar di bawa sekalipun ia tidak akan diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya sekiranya jumlah undi tersebut akan membezakan dengan jumlah undi yang telah ditanda tangani oleh wakil parti siang tadi. Ini perkara besar, jangan main-main. Jika isu calit dakwat yang tidak betulpun wakil pakatan sanggup bertegang leher, inikan pula jumlah undi yang berpuluh ribu ditambah… Hahahaha… lucu betul. Mari kita gelak.
Orang Cina terlalu bencikan UMNO, kerana sudah lama berkuasa dan diapi-apikan oleh Kit Siang dan kuncu-kuncunya. Kaum Cina digambarkan sebagai kaum yang tertindas di Malaysia ini dan MCA telah gagal menjaga kepentingan kaum Cina. Orang Cina mestilah memberikan undi kepada DAP kerana hanya DAP yang dapat membela nasib kaum Cina. Lagi lucu. kah..kah..kah..kah..
 
 

Kenyataan Ini Harus Diperbetulkan..


 

 
Memanglah PAS tidak rugi apa-apa bila membantu DAP dan PKR. Memanglah Melayu dan Islam masih tebela kerana UMNO masih berkuasa. Kalau dalam PRU13 lalu UMNO kehilangan kuasa, pastilah PAS yang pertama akan menerima kesannya.
 
Selepas ini dasar dan polisi BN selama 55 tahun berkuasa ini tentunya tidak banyak berubah dan orang Melayu serta agama Islam masih terus terpelihara. Selamat lagilah PAS dan Hj Hadi.
 
PAS demi DAP mana pernah merasa rugi apa-apa. Terkini tiada EXCO dari kalangan PAS dilantik di Pulau Pinang. Pun Hj Hadi tidak rugi apa-apa. Kata perkongsian kuasa, namun satu jawatanpun tidak diberikan kepada ADUN PAS, ni apa citer ni Tuan Guru.

Di Selangor jawatan MB bakal diisi oleh calon PKR. PAS sokong. PAS tidak gila jawatan kata Khalid Samad. Dan PAS tetap tidak rugi apa-apa. Yang mungkin sedikit rugi ialah masyarakat islam di selangor.

Gejala maksiat yang selama ini ditentang oleh PAS demi untuk menunjukkan mereka lebih islamik dari orang lain, mungkin akan bercambah dan PAS dalam menjaga hubungan dengan DAP dan PKR mungkin akan buat-buat tak nampak atau tidak dengar sahaja. Ketika itu mereka tidak perlu lagi menunjukkan yang mereka lebih islamik dan menentang kemungkaran kerana undi telah mereka perolehi.

Sebaliknya mungkin selepas ini di Selangor PAS akan berusaha menunjukkan yang parti mereka lebih liberal dari DAP dan PKR ataupun dari UMNO. Habis tempoh empat tahun besok mulalah mereka menukar semula 'pakaian' mereka, mulalah tunjuk alim semula, mulalah simpan janggut lebih sedikit.

Kalau sebelum tempoh empat tahun ini bowtie dan coat akan menjadi pilihan terutama apabila ke Parlimen, bila tiba musim PRU14 kelak timbulah semula jubah, serban dan ketayap putih. Kisah hudud, kisah kilang arak, markas judi dan GRO akan bergema semula. Tengoklah nanti.

Mari baca kenyataan Hj Hadi seperti di bawah:
 
 

Pas tidak berasa rugi bantu lonjak pencapaian DAP - Hadi

MARANG 9 Mei - Pas tidak menanggung apa-apa kerugian melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang walaupun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) memperlihatkan peranan parti itu seolah-olah sekadar membantu melonjakkan pencapaian DAP sedangkan kerusi yang dimenanginya pula susut.
 
Pas yang selama ini cuba menyakinkan bahawa parti itu merupakan tulang belakang kepada pakatan pembangkang memperoleh kerusi paling sedikit.
 
Namun, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap mereka masih mampu membela nasib Melayu dan Islam.
 
"Tidak… tak ada kerugian sedikit pun," ujar Abdul Hadi ketika ditanya berhubung perkara itu selepas menyampaikan ceramah di pekarangan Masjid Rusila di sini malam tadi.
 
Pada PRU-13, DAP memperoleh 38 kerusi Parlimen, PKR 30 dan Pas 21.
 
Menurut Abdul Hadi, suara parti tidak akan mengecil malah masih tetap sama kerana Pas melalui proses naik turun dari segi pencapaian tetapi apa yang penting bagi beliau ialah undi popular terus meningkat. - UTUSAN ONLINE


Kita bersimpati dengan nasib yang menimpa Azizan Razak. Kita mendoakan yang terbaik untuk beliau. Jika perkara seperti ini terjadi kepada pemimpin UMNO, mahu tak cukup tanah di spin oleh puak pakatan. Tentulah pelbagai tuduhan akan dilemparkan tanpa belas kasihan terutamanya di saat PRU baru selesai.

Azizan dipindah ke ICU selepas kaki dipotong


PULAU PINANG 10 Mei - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas menjalani pembedahan bagi memotong kedua-dua belah kakinya sehingga ke paras lutut malam tadi.
 
Azizan yang dibawa ke dewan bedah pada pukul 6.35 petang semalam selesai menjalani pembedahan bagi mengelak jangkitan kuman daripada merebak ke bahagian lain badannya pada pukul 12.10 pagi tadi. - UTUSAN ONLINE

 

PRU13 PART 1,

 
Ini bukan superimpose, ini benar. Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu, jemput makan, kami makan, suruh mengundi tunggu dulu..

Terkejut dengan keputusan PRU13, membuatkan Jokiden kehilangan selera untuk menulis di blog ini. Mungkin ini juga sebagai tanda protes sendirian atau Jokiden mengambil sedikit masa untuk memulihkan kembali semangat yang rasanya direntap begitu kejam. Justru itu mohon maaf banyak-banyak kepada pembaca kerana mengambil masa lama untuk bertenang.
 
Benar ramalan atau andaian Jokiden jauh meleset kecuali tentang DAP dimana ianya agak tepat 36/38. Namun setelah selesai segala proses PRU ini siapa peduli dengan ramalan dan andaian kita. Secara jujurnya Jokiden tidak percaya bahawa PAS dan PKR akan mampu memperolehi undi yang banyak seterusnya memenangi kerusi yang banyak juga.
 
Sejujurnya juga Jokiden tidak percaya bahawa Raja Nong Chik akan kalah di Lembah Pantai. Begitu juga sukar dipercayai bahawa Datuk Ali Rustam akan tewas di Bukit Katil. Jauh sekali daripada Jokiden membayangkan untuk meramalkan Zuraidah Kamaruddin dan Fauziah Salleh atau Fauzi Abd Rahman atau Johari Abdul akan diberikan undi oleh rakyat sekiranya melihat 'sumbangan' mereka terhadap kawasan yang mereka wakili. Siapa peduli sebenarnya tentang jasa bakti atau sumbangan dalam dunia politik penuh persepsi hari ini.
 
Semasa Jokiden masih kecil dan sehinggalah sedikit besar dan mula memahami erti kehidupan, Jokiden menyaksikan di mana sahaja samada di tempat sendiri mahupun di tempat lain yang diketahui melalui pembacaan di media massa, bahawa perhimpunan politik oleh parti pembangkang pastinya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ribuan akan hadir.
 
Sambutan tersebut membuatkan mereka teruja dan seronok mengadakan ceramah politik sepanjang masa tanpa mengira samada ia musim PRU atau tidak disamping dapat memberi peluang kepada pendokong parti mereka untuk berniaga. Besarnya sambutan majlis ceramah mereka tidak mencerminkan sokongan sebenar atau pendengar di ceramah akan menterjemahkan sokongan di peti undi.
 
Ini amat mereka sedari sehinggakan Mat Sapu dalam satu majlis yang Jokiden hadiri sekitar tahun 1986 pernah berkata "Orang Negeri Sembilan ini tak reti bahasa, datang ceramah ramai, undi tidak dapat juga...pilihanraya kita kalah juga"
 
Ketika kegawatan politik melanda tanah air akibat daripada kes liwat satu dan mata lebam, masih jelas di pendengaran Jokiden seorang 'Ulamak PAS' berkata dalam ceramahnya "Adakah patut seorang pelacur dibawa sebagai saksi dalam mahkamah.." Berhari-hari Jokiden termenung memikirkannya atas keberanian 'Ulamak' tersebut mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana dia sedia maklum untuk menuduh seseorang itu penzina dia mestilah mempunyai 4 orang saksi. Yalah mungkin dia memang mempunyai saksi-saksi berkenaan. 
 
Melihat kepada program yang dianjurkan oleh BN dengan apa nama sekalipun, sejak dua tahun kebelakangan ini, tidak ada sesiapa yang akan percaya bahawa BN akan hanya mampu memenangi 133 kerusi Parlimen. Lalu apa yang pernah disuarakan oleh Mat Sapu pada tahun 1986, kini sudah terbalik dan terkena kepada BN pula. Datang ceramah dan program ramai sekali, undi tidak diperolehi.
 
Ratusan ribu menghadiri program BN di Stadium Bukit Jalil, puluhan ribu di majlis makan malam di Klang, puluhan ribu di Stadium tertutup, puluhan ribu di setiap negeri dan jutaan di Putrajaya, rupanya masih belum cukup untuk BN memperolehi kemenangan dua pertiga di kerusi Parlimen.
 
Tidak termampu oleh kita untuk membaca segala analisis dan post mortem di akhbar-akhbar sejak seminggu yang lalu tentang keputusan PRU13 kerana terlalu banyak ditulis dan dibicarakan oleh sesiapa sahaja. Banyak sebab musabab yang dinyatakan. Banyak pihak yang cuba dipersalahkan.
 
Semuanya ada kebenaran dan logiknya. Sebagai pemerhati dan pencinta politik Jokiden juga mempunyai rumusan tersendiri. Kategori individu keputusan PRU13 adalah kejayaan Nuar Brahim, Nik Aziz dan Lim Kit Siang.
 
Nuar Brahim berjaya dengan politik persepsinya. Nik Aziz berjaya dengan politik menggunakan agamanya dan Lim Kit Siang berjaya dengan politik api perkaumannya. Namun seperti kata seorang penulis di akhbar iaitu Sdr Khairuddin Mohd Zain, kejayaan terbesar ketiga-tiga mereka ialah 'niat sebenar mereka berjaya di sorokkan'.
 
Ramuan tiga unsur tadi berjaya menafikan BN daripada memperolehi majoriti dua pertiga. Rakyat Malaysia jangan berharap bahawa tiga ramuan tadi akan menemui titik nokhtah walaupun PRU sudah berakhir. Ianya akan berterusan dan mungkin akan lebih hebat lagi dan pastilah mereka seboleh mungkin akan terus menyembunyikan 'niat sebenar mereka'

Sementara kategori parti pula MCA dan Gerakan ternyata sudah lemas dan tiada mempunyai pelampong untuk menyelamatkan mereka. Di satu pihak lagi DAP berjaya menyakinkan komuniti Cina bahawa hanya DAP yang mampu memberikan khidmat bakti terbaik untuk kaum Cina.

Kesanggupan PAS menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP ternyata membuahkan hasil. Walupun PAS berharapkan sesuatu imbuhan iaitu memenangi lebi banyak kerusi dengan sumbangan besar mereka kepada pakatan, namun realitinya mereka kembali menjadi kerdil. Hanya kejayaan mengekalkan Kelantan dan kejayaan menambahkan jumlah lerusi di DUN Selangor yang masih mampu mengangkat sedikit air muka PAS.

Anak-anak PAS, jentera PAS dan penyokong tegar PAS dikerah siang dan malam untuk memenangkan calon sekutu mereka dari DAP dan PKR, sedangkan kedudukan mereka sendiri ibarat telur dihujung tanduk. Jentera PAS tanpa segan dan silu menjunjung calon DAP dan sanggup 'berperang' dengan jentera BN semata-mata untuk membuktikan bahawa mereka cukup komited dan setia dengan musuh Islam tersebut demi meraih kuasa.

Tanpa sokongan padu jentera PAS, DAP dan PKR pastilah memasuki PRU13 dengan sedikit tempang. Andainya BN tumpas tempoh hari maka tercatitlah dalam sejarah peradapan dunia betapa PAS yang kononnya sebuah parti Islam dan memperjuangkan negara Islam (itu yang mereka tipu pengikut mereka) telah bersekongkol dengan musuh Islam dalam menumbangkan kerajaan Islam dan yang dipimpin oleh seorang Islam. Dosa ini sudah tentu dikongsi oleh PAS serta pengikutnya sepanjang hayat mereka.

Mujurlah UMNO/BN masih memegang kuasa dan Islam tentunya masih selamat di bumi bertuah ini. Penganut Islam di negara ini termasuk ahli PAS masih bebas melakukan ibadat Fardhu Ain dan Fardhu kifayah selagi UMNO/BN berkuasa.

Sementara sebelum PRU12 2008 kegiatan pusat judi dan rumah urut di Selangor agak terkawal di mana hanya sekitar 700 lesen sahaja yang diluluskan, namun meningkat ke angka 6,000 buah selepas PKR@DAP berkuasa di Selangor, kini rakyat Selangor bolehlah mengharapkan ianya akan lebih subur lagi sehingga mungkin mencecah ke puluhan ribu.

Itulah sumbangan PAS dalam membangunkan Islam. Bersetuju dengan penambahan pusat-pusat maksiat yang suatu ketika dahulu mereka cukup kuat menentangnya kerana ingin menjaga hubungan baik serta hati rakan sekongkolan mereka iaitu DAP dan PKR.

Sudah tentu juga selepas ini mimbar masjid akan lebih kerap digunakan oleh khatib PAS untuk menyebarkan dakyah songsang PAS walaupun tidak disenangi oleh ke Bawah Duli Paduka Sultan sendiri. Enakmen dalam kerajaan Negeri Selangor juga akan mudah dipinda dari semasa ke semasa nanti bagi memuaskan hati DAP dan PKR. Itu juga merupakan sumbangan dan jasa bakti ADUN PAS di Negeri kaya tersebut.

Sementara itu, kita juga tidak akan merasa hairan sekiranya selepas ini nanti segala sifat zuhud pemimpin PAS akan lenyap dan mereka akan dengan bijaknya menyesuaikan diri nanti. Akan ada rumah besar, kereta besar, percutian besar dan pakaian mewah dikalangan YB-YB PAS selepas ini nanti. Diharapakan rakyat Selangor akan merasai nikmat janji-janji yang ditabur oleh pakatan sepanjang kempen PRU13 lalu.

Saman terhadap MB Selangor bolehlah diteruskan kerana mereka masih berkuasa dan Menteri Besar serta kerajaan negeri masih bertanggung-jawab untuk menunaikan segala janji-janji terdahulu. Dengan kuasa yang ada kepada mereka rasanya mereka akan menggunakan kedudukan ini untuk terus mengukuhkan kuasa mereka dan rakyat Selangor akan terus berputih mata. Sekali kuasa terlepas bukan senang untuk mendapatkannya semula.

Di pihak UMNO/BN di seluruh negara, setelah selesai menuding jari ke arah pembangkang dengan bermacam-macam teori untuk 'menghalalkan' kekalahan mereka maka bolehlah kembali merenung rumput di bumi. Muhasabah diri dan mengakui di mana kesilapan dan jika ada kesempatan perbaikilah.

Dalam usaha untuk menang, dalam keghairahan memang terjadi perkara-perkara yang di luar jangkaan dan di luar kawalan yang membawa padah dan merenggut kemenangan. Umpamanya kisah air mata buaya Kit Siang yang jatuh berjurai di saat-saat akhir, walaupun ROS cuba memperbetulkan keadaan, namun ia sudah terlewat dan DAP sudah mendapat keuntungan politik yang besar.

Kemudian timbul pula kenyataan syarikat-syarikat penerbangan yang bersetuju memberikan tambang istimewa untuk pengundi pergi balik mengundi, telah dimanipulasikan oleh pakatan sebagai usaha terancang untuk membawa pengundi hantu. Semua itu tidak membantu BN di saat-saat akhir sebaliknya menguntungkan pakatan.

Apapun diantara tiga parti gabungan pakatan tersebut, parti manakah yang mungkin mendahului langkah untuk menyertai BN??? Dong Ziong mungkin mungkin memaksa DAP supaya menyertai BN. Ulamak Pondok mungkin mendesak PAS menyertai BN selepas Nik Aziz bersara. Siapa pulak yang nak mendesak PKR supaya menyertai BN??? dengan syarat jawatan PM mesti diberikan kepada mereka.
 
 

Sunday, May 5, 2013

Bapa Borek Anak Rintik..

 

Ketika posting ini mula di tulis, 5 Mei 2013, jam 10.49 pagi Jokiden dan isteri masih belum mengundi. Anak-anak Jokiden sudah kembali dari menunaikan tanggung-jawab mereka dan mereka mengundi untuk DUN Lenggeng dan Parlimen Seremban.
 
"macam mana nak hilangkan dakwat ni ayah..dah banyak kali dah basuh ni" tanya mereka. "tak apalah dakwat tu akan hilang sendiri.." Jokiden menjelaskan.
 
Jokiden dapati dakwat yang dicalit ke jari mereka sangat tebal, pekat dan hitam.  Mereka sangat gembira dan ceria kerana dapat mengundi dan bangganya mereka memberitahu bahawa mereka telah mengundi BN.
 
"Siapa kata orang muda tidak bersama BN,.." kata saya kepada isteri.
 
Segera terlintas di gambaran Jokiden tentang rakan-rakan rapat yang Jokiden ketahui pendirian politik mereka. Tentulah mereka juga merupakan pengundi BN dan anak-anak mereka juga pastinya mengundi BN.
 
Terbayang wajah seorang rakan baik bernama Rosli Ahmad tinggal di Taman Paroi Jaya, DUN Sikamat dalam Parlimen Seremban, yang siang malam mengikuti Jokiden berkempen, tentunya mengundi BN. Begitu juga dengan anak-anaknya.
 
Pada banyak kali selepas menghantar dia balik kerumah selalunya, lewat dinihari dan dalam perjalanan balik ke rumah Jokiden kerap terjumpa anak-anak Rosli masih gigih memasang poster dengan kawan-kawannya. Jasamu tetap dikenang.
 
Pada pagi ini subuh-subuh lagi Rosli telah datang ke rumah Jokiden kerana dompet duitnya tertinggal dalam kereta Jokiden. "kang tak dapek ngundi kang" Banyak kali dompet duitnya tertinggal dalam kereta Jokiden kerana dia selalu mengeluarkannya dari poket setiap kali hendak singgah bersembahyang. Dia dan keluarganya pasti memberikan 6 undi kepada BN. Bapanya borik anaknya rintik.
 
Terlintas juga di bayangan, rakan-rakan Jokiden yang diketahui tidak bersimpati dengan BN. Diantara mereka ada yang telah bersara, ada yang masih bekerja dan berjawatan tinggi samada dalam kerajaan ataupun swasta. Jokiden bayangkan dia dan isteri serta keluarganya tentulah mengundi parti yang mereka sokong. Itulah demokrasi di Malaysia di mana tidak ada orang akan mempengaruhi undi kita.
 
Sampai di sini dulu Insyaallah Jokiden dan isteri hendak kembali ke kampung untuk mengundi. Jaraknya agak jauh iaitu kira-kira 90 kilometer dari rumah Jokiden. Semuga kami selamat sampai. Untuk kesekian kalinya Jokiden berdoa agar BN mencapai kemenangan dalam PRU13 ini.
 
  
 
1MALAYSIA TOLAK FITNAH, TOLAK PKR, DAP DAN PAS, SELAMATKAN MALAYSIA DARI PAKATAN. U ULANG SOALAN, I SAMAN YOU. JANGAN PERCAYA JANJI PAKATAN.
 

Wahai Anak Muda, Jangan Bermain Dengan Api...

 
 
 
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang.


Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri.


Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang.


Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri.


Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara



Dalam ceramah terakhir di Juasseh malam tadi, Jokiden tidak seperti sebelumnya kata orang berapi... Enam orang sempat berucap dan sebagai penceramah terkhir Jokiden sekadar menggulung sahaja dalam 10 minit. KNKB sempat berceramah bersama Jokiden. Sepatutnya dia dilibatkan sejak awal lagi. Malam sebelumnya Jokiden dan KNKB juga sempat berceramah di DUN Lenggeng, Sikamat, Paroi, Ampangan dan Parlimen Seremban.
 
Kali ini nada Jokiden perlahan sahaja, suara sebenarnya sudah banyak hilang kerana setiap malam menjerit. Hanya itu yang dapat disumbangkan selain daripada menulis di blog ini. Oleh kerana itu ceramah terakhir Jokiden telah mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada Tun Mahathir yang telah bertungkus lumus berkempen untuk membantu memenangkan calon-calon UMNO/BN.

Terima kasih juga kepada PM, TPM dan Tok Mat MBNS DK yang tidak pernah kenal penat lelah damlam mempastikan kemenangan UMNO/BN. Tidak terhingga ialah terima kasih Jokiden kepada seluruh jentera parti yang tetap bersemangat sehingga ke saat-saat akhir. Kerana kalianlah UMNO/BN masih kekal berkuasa. Insya Allah. 
 
Di sebelah ceramah Jokiden ialah ceramah calon lawan dari PKR. Jumlah di tempat mereka lebih ramai daripada jumlah di tempat BN. Namun dari segi undi BN pastilah lebih.  Ramai sekali anak-anak muda di hadapan Jokiden begitu juga di ceramah pakatan. Sebagai ingatan kepada anak-anak muda Jokiden menyanyikan Lagu Warisan yang paling tidak disukai oleh Lim Kit Siang itu.
 
Jokiden terasa sebak, hiba dan sayu, namun nyanyi juga dengan suara serak-serak basah dan hilang timbul.
 
ANAK KECIL MAIN API,
 
Dikatakan sebanyak 200,000 golongan pelajar atau mahasiswa telah menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri dan BN. Sementara lebih 2000 orang bersimpati dengan pembangkang. Angka tersebut mungkin kurang atau lebih.
 
Anak-anak muda yang baru pertama kali mengundi kerana usia telah melebihi 21 tahun diingatkan agar berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan segala dakyah pembangkang yang cuba menggambarakan segala-galanya tidak baik di negara ini.
 
21 tahun dahulu anak muda ini lahir dan sepanjang mereka membesar mereka menikmati segala-galanya dalam keadaan yang cukup baik samada dari segi prasarana sosial mahupun kemudahan pendidikan.
 
Mereka yang tidak mengambil mata pelajaran sejarah pastilah tidak tahu bahawa negara ini pernah dilanda ribut pergeseran kaum pada tahun 1969. Kisah itu tidak menarik perhatian mereka. Tercetusnya rusuhan kaum tersebut disebabkan oleh kaum Cina melalui DAP telah mencapai sedikit kemenangan dalam PRU. Mereka merasa besar kepala. Polis kata jangan berarak, namun mereka telah tidak sedarkan diri lagi kerana terlalu ghairah untuk menghalau orang Melayu supaya berambus balik ke kampung.
 
Pemimpin mereka menghasut dan meniupkan semangat kebencian serta perkauman. Pemimpin tersebut masih kekal dalam DAP sehingga ke hari ini dan sifat rasisnya masih tebal dan mereka masih buta seperti kata Tun Mahathir.
 
Malangnya demi untuk meraih undi dalam PRU kali ini Hj Hadi telah kehilangan daya ingatannya serta memori pahit tersebut dikatakannya berpunca daripada UMNO. Begitulah Hj Hadi segalanya sanggup dilacurkan sekiranya perkara tersebut mampu mendatangkan undi kepada partinya. Teruskanlah wahai Hj Hadi dengan sikap talam dua muka itu dan diharapkan agar tidak menjadi kekesalan disuatu hari nanti.
 
Anak-anak muda atau anak kecil jangan sekali-kali memperjudikan nasib masa depan dengan bersekongkol dengan puak pakatan ini. Bahasa halusnya ialah jangan bermain dengan api perkauman yang cuba dinyalakan oleh pemimpin pakatan ini. Akibatnya amatlah buruk nanti HATI AKAN TERBAKAR dan akhirnya anak-anak akan KESEPIAN.
 
Jika tidak berhati-hati segala yang dimiliki kini termasuk BUMI tempat tumpah darah ini akan hilang dan menjadi milik orang lain. Untuk mendapatkannya kembali sudah tentu bukannya mudah dan terpaksa berkorban keringat, air mata atau mungkin juga darah.
 
Fikirkan wahai rakyat anak muda, yang tinggal kini hanyalah secebis kuasa. Mari kita bersama bersatu untuk mempertahankannya agar kita tidak merintihi nasib masa depan kita. Pengorbanan dan keinsafan anak-anak muda amatlah dituntut saat ini. Peti undi menentukan apakah esok ketika kita bangun pagi, kita masih berada di bumi yang kuasanya masih menjadi milik kita.
 
Atau kita bangun keesokan harinya dalam keadaan termanggu-manggu antara percaya dengan tidak bahawa kuasa yang dipertahankan selama ini rupanya sudah terlucut ke tangan orang lain dalam sekelip mata. Kita bangun pada keesokan harinya, melihat sebahagian daripada rakan-rakan dan jiran kita sedang bersorak gembira kerana memenangi kuasa keramat, namun sebenarnya keseronokan mereka tidak lebih daripada semata-mata menang sorak tetapi kampung telahpun tergadai.
 
SELAMAT MENGUNDI WAHAI ANAK MUDA.



1MALAYSIA TOLAK FITNAH, TOLAK PKR, DAP DAN PAS, SELAMATKAN MALAYSIA DARI PAKATAN. U ULANG SOALAN, I SAMAN YOU. JANGAN PERCAYA JANJI2 PAKATAN.