A. HAMID ISMAIL
Johor Baharu
Saya merujuk tajuk akhbar Utusan Malaysia pada 26 September 2011 DAP ugut Pas - Semua Pemimpin kanan DAP letak jawatan jika Pas laksanakan hudud.
Saya fikir rakyat terbanyak terutamanya orang Melayu jangan terpesona dengan mainan politik Pas dan DAP ini. Percayalah, ia hanyalah gimik dan lakonan politik mereka semata-mata menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang semakin hampir tiba.
Tiada sesuatu yang baharu dan terlalu istimewa apabila Nik Aziz melontarkan kembali isu hudud ini.
Begitu juga semangat keberanian retorik pemimpin DAP yang cuba digambarkan kepada penyokong Cinanya bahawa mereka akan meletak jawatan beramai-ramai. Itu hanyalah sebahagian daripada retorik bertujuan untuk mewujudkan 'persepsi' hanya DAP sajalah yang sangat peka untuk mendominasi isu yang ada kepentingan dengan orang Cina.
Saya ingin mengingatkan kepada rakyat yang masih rasional, janganlah terlalu teruja melihat perlakuan politik sensasi pemimpin pembangkang ini.
Percayalah, bahawa tiada perletakan jawatan akan dibuat oleh semua pemimpin DAP seperti ugutan yang dibuat oleh Guan Eng itu. Saya juga ingin mengingatkan rakyat, terutamanya orang Melayu bahawa tiada apa-apa yang luar biasa dengan tawaran baharu Nik Aziz kepada anda apabila tiba-tiba beliau didapati berpatah semula hendak melaksanakan hudud berbanding untuk laksanakan 'Negara Berkebajikan'.
Semuanya dijangka dapat dineutralkan semula oleh 'sifu' mereka sebaik diadakan pertemuan pada Rabu, 28 September 2011 untuk membincang isu ini.
Jika Anwar menyokong pelaksanaan hudud Nik Aziz ini, janganlah anda terkejut kalau dan kiranya pemimpin DAP selepas pertemuan ini nanti akan mengikut jejak langkah Anwar untuk menyokong pelaksanaan hudud yang sama atas alasan bahawa mereka telah faham dan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Nik Aziz atau wakilnya dalam pertemuan itu nanti.
Jangkaan saya ini bukan retorik, kerana lakonan Nik Aziz mahu pun pemimpin DAP dalam isu ini hanyalah berkisar di sebalik belitan kenyataan Nik Aziz yang tidak sukar untuk difahamkan.
Cuba anda teliti kenyataan Nik Aziz itu dalam akhbar yang sama di muka lima seperti berikut: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, negeri itu (Kelantan) kini dalam usaha memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum di mahkamah syariahnya.
Kenyataan ini membawa maksud 'hudud' Nik Aziz yang akan dilaksana di Kelantan akan dilaksana sebagai tambahan kepada hukum sedia ada. Ini bermaksud bukan hudud total yang akan dilaksanakan di Kelantan oleh Nik Aziz seperti yang ditakuti oleh pemimpin DAP kerana ia hanyalah hudud terpilih untuk dilaksanakan hanya kepada orang Islam di Kelantan sahaja yang terikat dengan undang syariah Kelantan sedia ada.
Oleh kerana hudud ini diselit sisip dalam enakmen syariah Kelantan sedia ada oleh Nik Aziz orang bukan Islam tidak terikat dengan undang-undang Syariah Negeri Kelantan, maka apa yang nak 'mengigaukan' sangat oleh pemimpin DAP sehingga mereka hendak segera dilihat dengan politik murahan yang boleh dijangka untuk menjadi hero orang Cina dengan mengugut untuk meletakkan jawatan mereka? Jawatan mana yang mereka nak letak? Jawatan dalam DAP? Atau jawatan dalam kerajaan bayangan untuk ke Putrajaya?
Kepada orang Melayu, kenyataan dan hujah Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali semasa Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Johor dalam menolak perlaksanaan hudud oleh Pas dalam Pakatan Rakyat dan begitu juga kenyataan yang jelas lagi terang oleh bekas Mufti Perlis Dr. Asri atas hujah yang sama sepatutnya telah memberikan kefahaman yang mencukupi untuk memberikan penjelasan kepada orang Melayu mengapa hudud tidak kondusif untuk dilaksanakan di negara ini sekarang hatta di Kelantan sekali pun pada masa ini.
Persoalannya, mengapa Nik Aziz mengetepikan pandangan dan hujah kedua-dua tokoh ini dan dengan tiba-tiba kelihatan sangat garang dan seolah-olah telah 'bersiap-siaga' dengan gagahnya hendak melangkah mayat Karpal dalam usahanya untuk laksanakan juga hudud?
Jawapanya mudah sahaja: Baik Karpal maupun Nik Aziz mereka tidak akan terus berkeras untuk mencari keuntungan politik dengan mengeksploit isu sensasi kepada rakyat kerana pada akhirnya mereka tetap akan berkawan dan menjadi sejuk apabila bertentangan mata