Membaca Utusan Malaysia keluaran hari Isnin 1 Februari, saya amat bersetuju sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP mengharamkan kemasukan dan penjualan akhbar Utusan Malaysia di negeri tersebut. Ini kerana paparan yang terdapat pada hari tersebut tidak ada langsung yang menyintuh tentang kebaikan Kerajaan Negeri, sebaliknya seratus peratus paparan tersebut menjurus kepada keburukan serta kelemahan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan YB Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP.
Tidak cukup dengan paparan kenyataan daripada pelbagai pihak yang dipetik oleh UM, dua orang wartawan besar Utusan juga turut menulis tentang perkara yang sama iaitu keburukan pentadbiran kerajaan DAP. Saudara Hassan Mohd Noor membawa tajuk "Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?" sementara Saudara Zulkiflee Bakar pula membawa tajuk "Politik Dominan DAP"
Tulisan-tulisan tersebut boleh memberi kesan kepada pemikiran rakyat samada yang tinggal di Pulau Mutiara tersebut khususnya, mahupun yang berada di luar PP dari Perlis hingga ke Sabah.
Mungkin ramai yang masih ingat sejak berpuluh tahun dahulu Singapura pimpinan PAP telah mengharamkan kemasukan berpuluh-puluh majalah dari Malaysia dan tidak diizinkan untuk dijual atau diedarkan di negara itu. Tentulah tujuan pengharaman tersebut ialah kerana kerajaan Singapura tidak mahu rakyatnya terpengaruh dengan paparan yang terdapat di dalam majalah-majalah berkenaan.
Ramai yang sedar bahawa kesimpulan kepada semua paparan di Utusan Malaysia pada hari Isnin tersebut ialah Melayu telah hilang kuasa di Pulau Mutiara itu. Namun oleh kerana sebab-sebab tertentu semuanya memendamkan sahaja kenyataan pahit itu.
Rakyat tahu Melayu Pulau Pinang telah mula merempat di negeri sendiri. Pemimpin UMNO tahu, pemimpin PKR tahu, pemimpin PAS sedar, MCA tahu, MIC tahu, DAP tahu, Gerakan tahu, NGO tahu, malah orang luar negara juga tahu. Tetapi tidak ada yang boleh berbuat apa-apa selain daripada hanya memerhatikan sahaja kerana pembentukan kerajaan DAP di Pulau Pinang adalah sah mengikut lunas-lunas demokrasi.
Di dalam sistem demokrasi siapa kata kaum minoriti tidak boleh menjadi kepala negara. Kita tidak harus lupa kepada apa yang belaku di FIJI suatu ketika dahulu di mana pribumi diperintah oleh minoriti berketurunan India.
"Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?" seperti yang disoal oleh Saudara Hassan Mohd Noor sebenarnya ramai yang menjangkakan bahawa mereka akan menerima nasib seperti yang digambarkan dalam senikata lagu Warisan yang suatu ketika dahulu amat melekat di hati orang Melayu. Ada juga yang menyebut bahawa Melayu Pulau Pinang akan senasib seperti Melayu di Singapura. Selebihnya adalah sesuatu yang ngeri untuk dibayangkan.
Soalnya sampai bila Melayu Pulau Pinang akan terus merintih? Berkesankah jeritan yang dilakukan oleh Datuk Seri Zahrain Mohamed? Dalam semua pihak ghairah dengan kenyataan Ahli Parliamen tersebut jangan kita lupa kepada saranan bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, En Muhamad Zahid Md Arip yang mengatakan itu semua hanyalah sandiwara. Mungkin ada benarnya kerana bukankah kebanyakan para pemimpin Pakatan Pembangkang adalah pakar sandiwara tidak kira dari PKR, PAS mahupun DAP.
Dalam realiti politik Malaysia hari ini saya merasakan Melayu Pulau Pinang akan terus kehilangan kuasa dan terus merintih sampai bila-bila, selagi PKR dan PAS sanggup bersekongkol dengan DAP. Benar semasa kerajaan BN menguasai Pulau Pinang dahulu yang berkuasa orang Cina juga melalui Gerakan, tetapi sekurang-kurangnya Gerakan menghayati semangat Barisan Nasional dan menghormati kesetiakawanan BN.
Kini keadaan berbeza dan jika menurut pandangan umum, DAP tidak pedulikan perasaan rakan kongsinya PKR dan PAS dalam menjalankan urusan harian pentadbiran. Sebab itulah Datuk Seri Zahrain melenting, jika benar beliau tidak bersandiwara. Itulah juga yang cuba dikatakan oleh saudara Zulkiflee Bakar tentang 'Politik Dominan DAP'
Bolehkah Melayu kembali mempunyai suara di Pulau Pinang? Sukar. Nasi sudah menjadi bubur. Menang sorak kampung tergadai. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudia tidak berguna. Itu sebab selalu diingatkan jangan tersilap pilih, jangan ikutkan perasaan. Kes di Pulau Pinang tidak sama dengan kes di Kedah, Terengganu ataupun Kelantan.
Jikapun semua orang Melayu di Pulau Pinang bersatu hati dan menolak pembangkang dalam PRU13 kelak dengan mengundi UMNO, rasanya DAP tetap memerintah Pulau Pinang. DAP akan menang semua kerusi kawasan Cina dan dalam sistem demokrasi mereka mempunyai lebih kerusi dan akan membentuk kerajaan.
Ini bukan bermakna MCA , MIC dan Gerakan tidak mendapat undi dari kaum Melayu, Cina dan India, tetapi undi tersebut tidak mampu untuk memenangkan calon-calon mereka. Di Perak sentimen yang dimainkan semasa pilihanraya kecil Bukit Gantang cukup mudah dan berkesan untuk memenangkan Datuk Seri Nizar.
Tetapi jika terjadilah pembubaran DUN Negeri Perak tempoh hari seperti yang dituntut oleh pembangkang, pastilah Datuk Seri Nizar tidak akan menjadi Menteri Besar lagi sekiranya Pakatan Pembangkang menang kecuali dia bersedia bertanding atas tiket DAP
Di Pulau Pinang. jika sudah tidak mempunyai harapan lagi untuk berkongsi kuasa pada masa akan datang, lalu apa pilihan yang Orang Melayu Pulau Pinang ada? Belajarlah untuk mematuhi semua undang-undang dan bersedialah untuk menjadi warga negeri maju dan moden. Terima hakikat dan jangan merintih lagi. Jika ingin juga berniaga dan bersaing, pastikan berniaga dengan mempunyai lesen yang sah. Usah bandingkan dengan peniaga asing yang tidak mempunyai lesen.