Tuesday, December 3, 2013

Menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO 2013


 

Apakah hanya Pas layak disertai ulama?




SEPERTI diduga pelantikan Ustaz Mohammad Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyebabkan penyokong Pas dan segelintir pemimpin parti itu bagaikan cacing kepanasan.

Facebook milik pendakwah itu diserang habis-habisan manakala pemimpin Pas pula membuat kenyataan menganggap ulama yang menyertai UMNO akan tenggelam dibawa arus.

Demikianlah hebat dan taksub penyokong-penyokong Pas memusuhi sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka.

Membaca komen-komen yang dilontar, ada antara mereka begitu mudah menuduh Ustaz Kazim akan menjadi orang kaya baru, sekadar membaca doa pada majlis UMNO dan paling teruk akan masuk neraka.

Inilah sikap Pas, bagi mereka alim ulama, ustaz, tok guru dan pendakwah hanya layak menyertai parti mereka sahaja, kalau masuk Pas baru betul, kalau masuk UMNO tidak boleh. 

Kalau mahu mengambil kira ulama yang menyokong UMNO dibawa arus, ulama Pas sudah lama menerima nasib tersebut.

Kajilah apakah ulama-ulama di dalam Pas mempunyai keberanian luar biasa dalam menegakkan perjuangan Islam parti itu? Apakah ulama Pas berjaya melaksanakan hukum hudud yang dicita-citakan oleh mereka?

Apa yang kita saksikan ialah Islam yang diperjuangkan Pas semakin buruk. Pas tunduk kepada penentangan DAP dalam perjuangan Islam dan bersedia menukar matlamat perjuangan daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

Segala-galanya kerana ketaksuban untuk menawan Putrajaya bersama sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Sebab itulah, suara ulama dalam Pas semakin terpinggir dan tidak dipedulikan.

Oleh itu tidak perlulah, penyokong mahupun pemimpin Pas termasuk mereka yang bertaraf ustaz hendak memperlekehkan mana-mana pendakwah yang memegang jawatan dalam UMNO.

Sebenarnya, penyokong Pas berasa resah dengan kehadiran lebih ramai pendakwah dan agamawan dalam UMNO kerana ia akan mampu mengukuh perjuangan parti itu dalam memartabatkan agama Islam dan membela nasib Islam.

Ia memandangkan para ustaz ini seperti Ustaz Kazim akan mampu mendedahkan fakta sebenar mengenai Islam yang selama ini lebih banyak dijadikan alat oleh Pas bagi meraih sokongan dalam pilihan raya.

Berikutan itulah, ada antara pemimpin parti tersebut sanggup memanggil pelbagai gelaran kepada ulama yang bersama atau menyokong UMNO termasuklah 'terompah kayu' dan sebagainya.

Tetapi persoalannya, apakah kita pernah mendengar pemimpin UMNO mencerca dan menghina mana-mana ulama, pendakwah, penceramah atau artis menyokong Pas? 

Selama ini UMNO menerima sahaja yang menyertai parti lawannya itu atas semangat demokrasi biar pun ada sebahagian besar mereka terutamanya bekas pegawai kanan kerajaan terhutang budi dengan kerajaan.

UMNO tidak pernah membuat apa juga tuduhan dan andaian ke atas kemasukan mereka, biar pun ada antara mereka menjadikan pentas ceramah pembangkang medan untuk memaki hamun kerajaan.

Tetapi alim ulama atau pemimpin Pas bertaraf ustaz atau tok guru tidak menegur perbuatan tersebut, bagi mereka kalau sudah menyokong Pas, hendak kata apa pun kepada BN dan UMNO tidak mengapa.

Oleh itu, hentikanlah perbuatan jumud hendak menyerang insan-insan seperti Ustaz Kazim. Pas juga perlu berjiwa besar dan jika benar berjuang mahu memartabatkan Islam maka mereka perlu menyokong langkah UMNO melantik alim ulama ke dalam parti itu. Bukankah cara itu akan memudahkan lagi perbincangan antara kedua-dua parti dalam usaha memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam?

Tidakkah langkah itu boleh dianggap sebagai satu pengiktirafan kepada golongan ulama dan pendakwah untuk terus turut serta dalam memberikan nasihat kepada kerajaan khususnya dalam memartabatkan Islam?

Kalau Pas bersetuju dengan dua hujah ini, maka hentikan segala cercaan bukan sahaja kepada Ustaz Kazim tetapi juga semua golongan agama yang ada dalam UMNO, jika tidak Pas akan dianggap berpolitik bukan untuk Islam tetapi memperalatkan Islam untuk politik.