Ramai orang ke Langkawi, namun bukan semuanya pernah ke sini. Cukup sekadar merenung dari bawah sahaja.
Jokiden suka mengikuti tulisan penulis seperti Tan Sri Abdullah Ahmad, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Tan Sri Adam Kadir. Sesekali Tun Daim juga menulis dan Jokiden pasti akan mengikutinya.
Yang terkini yang Jokiden seronok membacanya ialah coretan Datuk Noor Azam bekas Setpol mantan PM Tun Mahathir dulu. Tulisan beliau mengenai PATI di Langkawi ini menyintuh hati Jokiden.
Sebetulan pula Jokiden baru balik daripada Langkawi. Berada di sana dari 11 Januari hingga 14 Januari 2013 atas beberapa urusan. Hari ini Langkawi sudah maju dan bersih. Jalan raya luas. Rumput dan pokok gersang sudah tidak ada lagi. Bangunan tumbuh merata-rata.
Kemajuan yang pesat di Langkawi kini memberi nikmat bukan sahaja kepada warga tempatan tetapi juga kepada warga luar. Kebanjiran pendatang asing sekiranya tidak ditangani dengan bijak oleh pihak berkuasa, pastinya akan mengundang padah dalam masa yang tidak beberapa lama lagi.
Minggu ini De Tour Langkawi baru sahaja berakhir. Bulan hadapan LIMA pula akan mengambil tempat. Langkawi seolah-olah sudah menjadi pintu masuk ke negara ini. Ribuan pelancung dari dalam dan luar negara akan membanjiri Langkawi sempena pertunjukan LIMA ini kelak.
Harga barang dan makanan nampaknya semakin meningkat. Begitu juga dengan kos penginapan. Puluhan hotel baru yang bertaraf bintang di bina di Langkawi. Lapangan terbang menjadi semakin sibuk. Ratusan kedai-kedai baru kini menjalankan perniagaan dan juga ribuan kenderaan memenuhi Pulau ini yang menjadikannya semakin 'sempit'
Sama-sama kita hayati coretan orang lama Datuk Noor Azam seperti di bawah untuk mengambil iktibar.
Mengapa PATI Myanmar tuju Langkawi?
PENDATANG asing yang sah dan yang haram, yang menyalahguna visa dan yang tinggal lebih masa, semakin ramai, semakin berleluasa. Sudah tak terhitung jumlahnya. Tanpa disedari sudah jadi kanser yang menanah dalam masyarakat kita.
Mereka melakukan pelbagai macam jenayah di seluruh negara. Dari kota hingga ke desa. Sudah banyak kali Utusan membongkar dan mendedahkan pelbagai cerita dan kisah jahat mereka. Dadah, pelacuran, penipuan, rompakan sampailah kepada memberi rasuah dan pembunuhan.
Mereka boleh buka kedai dan sewa gerai di mana-mana saja. Di pinggir jalan dan dalam pusat beli-belah. Di Kuala Lumpur, ibu kota kebanggaan kita, penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pun dah tak terdaya mengambil tindakan yang berkesan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib kata, antara sebab sukarnya mengambil tindakan terhadap pendatang yang terlibat dalam sektor penjaja, kerana "berlaku kebocoran maklumat" apabila kita mahu membuat operasi.
Demikianlah, mereka memberi rasuah, berpakat dengan sindiket haram, dan kalau tak dapat merasuah pegawai, mereka melawan penguat kuasa. Di negara mereka pun, tak berani mereka bertindak begitu. Di negara kita, mereka sombong dan berani berlagak samseng. Ini kerana ramai rakyat kita tidak jujur, tak kisah dan penguatkuasaan undang-undang lemah.
Kita jadi tak berdaya! Dari zaman dulu lagi, kaum pendatang menguasai kita. Sekarang kita jadi pengemis di bumi sendiri, Kita tak pernah belajar dari sejarah.
Dan "kebocoran maklumat" operasi penguat kuasa, memang sentiasa berlaku bila ada operasi memeriksa tempat pendatang asing. Pastilah ada "orang dalam" yang jadi pengkhianat - kerana upah beberapa ringgit.
Di negara yang makmur dan rancak membangun ini, peluang mencari wang - secara sah dan haram - cukup banyak. Maka berduyun-duyunlah masuk pendatang melalui macam-macam jalan dan cara. Memanglah kita memerlukan tenaga kerja asing. Tanpa mereka, nampaknya ekonomi kita tidak akan bergerak.
Inilah yang terjadi ketika pelombong, peladang dan saudagar-saudagar Inggeris membawa masuk orang Cina dan India kira-kira 150 tahun lalu. Kita juga sambut dan bangga ramainya pelancong, lalu melonggarkan syarat-syarat masuk di lapangan terbang dan di pelabuhan.
Di KL dan Selangor, koloni orang asing untuk mereka bermastautin dengan aman pun, semakin banyak. Tiada yang ganggu. Pendatang asing tanpa izin (PATI) pun boleh masuk ke situ. Semakin ramai pula yang membawa anak isteri dan saudara mara dari kampung. Meskipun ramai sudah yang tenggelam dan hanyut di laut, ada ribuan lagi yang akan menyusul.
Sejak beberapa tahun lalu, kita heboh dengan pendatang dari Indonesia, Bangladesh dan Afrika. Tanpa disedari, rupa-rupanya sudah ramai pula warga Myanmar, termasuk PATI membanjiri negara kita. Pada 21 November 2012, seramai 15 PATI Indonesia dan Myanmar ditangkap dalam satu operasi di Johor Bahru, dan sebelumnya, pada 3 November, 14 PATI Myanmar ditahan di Kuala Lumpur. Jadi mereka sudah berada di seluruh negara. Ada yang kata, mungkin sudah ratusan ribu.
Berita Utusan Malaysia, 16 Januari 2013 melaporkan: "354 pendatang asing tanpa izin Myanmar ditahan" di Pulau Langkawi. Cuba bayangkan, baru satu rombongan saja, 354 orang! Yang dah terlepas, berapa ramai? Siapa yang nak jaga pantai - setiap malam - pukul tiga pagi?
Nasib baik, pendatang yang menaiki dua bot yang berlabuh di Kuala Chenang, pukul 3 pagi itu dapat ditangkap kerana tindakan pantas penduduk.
Menurut Pengerusi Kawalan Rukun Tetangga (KRT) Kedawang, Ahmad Mahzan Ariffin, beliau bersama lapan ahli KRT ternampak tiga lelaki berlari ke arah masjid Kedawang, kira-kira satu kilometer dari tempat mereka mendarat. Gelagat tiga orang ini mencurigakan, lalu mereka segera menghubungi polis. Kalau KRT Kedawang ini tak nampak, tiga orang berlari ke arah masjid, 354 orang akan lepas bebas di Langkawi.
Menurut Ahmad Mahzan, ini kali kedua kawasan ini dijadikan tempat pendaratan PATI Myanmar. Kata Ketua Polis Daerah, Supritendan Harith Kam Abdullah, "Bot pertama membawa 143 orang terdiri daripada 94 lelaki, 18 wanita dan 31 kanak-kanak. Bot kedua membawa 211 orang - 207 lelaki dan empat kanak-kanak."
Ini bermakna, kedatangan pendatang haram Myanmar bukanlah untuk mencari pekerjaan, tetapi berhijrah untuk mencari tempat menetap di sini selama-lamanya. Dan kedatangan mereka ini, jelaslah melalui satu perancangan yang teliti. Sudah ada konteks dengan "ejen" tempatan?
Sampai bila kita nak amalkan tabiat Emak Si Rendang: "Dagang lalu ditanakkan, anak di pangkuan mati tak makan"?
Menurut Supritendan Harith Kam "sekurang-kurangnya 40 orang PATI Myanmar itu meloloskan diri di kawasan pantai berkenaan" dan beliau meminta orang ramai melaporkan kepada polis "sekiranya ternampak mana-mana individu yang mencurigakan di kawasan mereka."
Pulau Langkawi bukanlah besar sangat. Penduduk pun tak ramai. Tetapi sampai sekarang, tiada berita ke mana hilangnya 40 pendatang haram Myanmar ini? Pastilah mereka tidak akan berjalan-jalan sekumpulan 40 orang.
Utusan Malaysia, 28 Januari, sekali lagi melaporkan, "Lapan pelarian Myanmar dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar kerana "mengangkut bagi tujuan menyeludup masuk 474 warga Myanmar" di Pantai Kok, Langkawi pada 30 Disember 2012. Apa jadi kepada 474 PATI itu tiada berita? Berapa kali sudah mereka ini menyeludup pendatang haram, tiada yang tahu. Siapa peduli? Kita sedang mabuk pilihan raya.
Sebelum ini beberapa tangkapan PATI Myanmar telah dilakukan pasukan rondaan laut di perairan Langkawi. Pada jam lima petang, 26 Disember 2012, pasukan penguat kuasa Maritim Malaysia telah menahan 128 PATI Myanmar dalam sebuah bot kargo, di perairan Pulau Rebak Besar.
Yang menjadi tanda tanya, mengapa mereka memilih Pulau Langkawi? Hampir tidak ada apa-apa peluang pekerjaan di sana untuk mereka?
Ada "Koloni Burma" di Langkawi?
Menurut cerita orang Langkawi, semenjak beberapa tahun lalu, telah wujud "kampung orang Burma" di pulau ini. Mereka membangun rumah dan berniaga di atas tanah milik Perbadanan Kedah Berhad (anak syarikat kerajaan negeri), di tepi pantai dan juga di atas tanah milik peribadi. Hidup mereka lumayan. Ada bot, ada motosikal dan kereta sendiri.
Makin hari bilangan penduduk "Kampung Burma" ini makin ramai. Ada JKKK dan cawangan parti politik. Setinggan yang duduk di atas tanah milik orang lain pun, membangun rumah batu dan tak mahu pindah kalau tak diberi tapak rumah sebagai ganti atau pampasan puluhan ribu.
Ceritanya, ada orang-orang tertentu yang jaga mereka. Mereka tak bercampur dengan orang tempatan. Ada surau dan masjid sendiri. Orang Langkawi tak boleh masuk ke kawasan perairan mereka menangkap ikan. Laut di situ dah jadi hak mereka.
Sudah beberapa kali kampung haram di tepi pantai Tanjung Limbung terbakar. Dan setiap kali terbakar, akan ada bantuan kerajaan. Pada masa kebakaran tahun lalu pun, rombongan MB dan pegawai kerajaan datang memberi bantuan. Jumlah mereka sekarang sudah meningkat ribuan orang. Berapa ramai pendatang haram di sana?
Pada pendapat orang Langkawi, itulah sebabnya semakin ramai "pendatang Burma" mendarat di pulau ini di waktu malam. Mereka tahu ke mana nak tuju. Kalau mereka masuk ke dalam kampung ini, tiada siapa pun yang tahu. Tidak pernah dengar ada operasi pendatang asing di Langkawi.
20/2/13.1MALAYSIA TOLAK FITNAH, TOLAK PKR, DAP DAN PAS, SELAMATKAN MALAYSIA DARI PAKATAN.
No comments:
Post a Comment