Sunday, May 12, 2013

Sudah Habis Ke Berfikir YAB...????


Pertamanya sekalung tahniah diberikan kepada YAB Datuk Idris Haron atas perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri Melaka yang baru. Masih muda dan tentunya penuh bersemangat untuk melakukan yang terbaik untuk negeri Melaka. Semua pihak seharusnya memberi peluang kepada beliau dalam mempastikan Melaka terus aman makmur dan maju ke hadapan.
 
'Ubah' daripada satu keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik sepatutnya dialu-alukan. Namun jika sesuatu itu sudah ternyata baik dan selamat, apa perlunya diubah semata-mata kerana inigin berubah. Contohnya pentadbiran kerajaan UMNO/BN terbukti telah meletakkan negara ini kelandasan yang betul, kenapa pula pakatan terutamanya DAP sibuk dengan slogan 'ubah'nya dalam PRU13 yang lalu. 
 
Peranan dan fungsi institusi masjid wajar dipertingkatkan. Tetapi apa perlunya untuk mengubah pagar-pagar masjid. Untuk menyamakan Masjid Nabawi dengan Masjid Al-Azim rasanya kurang tepat kerana di sana fungsi masjid adalah hidup sepanjang 24 jam. Adakah Masjid Al-Azim atau lain-lain masjid di Melaka berfungsi selama 24 jam????
 
Masjid di negara ini dipagar demi keselamatan kerana pada waktu dinihari mungkin tiada orang. Selepas solat Isyak sehingga jam 3 pagi mungkin tiada sesiapa berada di mana-mana masjid di Melaka. Waktu antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari mungkin tiada sesiapa di sana. Seribu kemungkinan mungkin terjadi.
 
Jika kereta membawa kepala babi bebas memasuki mana-mana masjid di Melaka kerana tidak ada pagar yang menghalang, lalu kepala babi tersebut diletakkan di atas mimbar,  siapa pula yang akan dipersalahkan. Jika tongkat emas khatib atau komputer di masjid kerap hilang nanti, jangan pula jaga atau polis yang akan dijadikan kambing hitam.
 
Tidak manis rasanya untuk Jokiden komen macam-macam tentang wawasan YAB Ketua Menteri yang baru ini. Apapun kita doakan dengan ikhlas agar beliau berjaya dengan idea tersebut. Jangan nanti Utusan Malaysia pula dikatakan tersalah lapor jadilah.
 
 

Masjid di Melaka tidak dipagar

Idris Haron (kiri) bersalaman dengan sebahagian pegawai Majlis Agama Islam Melaka selepas melakukan kunjungan hormat di pejabat berkenaan di Melaka, semalam.
 
MELAKA 9 Mei - Semua institusi masjid di negeri ini tidak akan lagi dipagar bagi memberi ruang yang luas di kawasan sekitarnya untuk digunakan bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti rekreasi.
 
Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, langkah tersebut dibuat bertujuan untuk memastikan peranan masjid bukan setakat sebagai tempat ibadat tetapi juga membolehkan orang ramai berkumpul untuk menjalankan pelbagai aktiviti.
 
Menurutnya, peranan masjid perlu diperluaskan bagi mengajak masyarakat, ahli keluarga dan golongan remaja mendekati institusi itu.
 
''Saya lihat bagaimana dataran di Masjid Nabawi di Mekah menjadi tempat umat Islam berkumpul menjalankan apa sahaja aktiviti dan apabila tiba waktu solat mereka dapat menunaikan ibadah.
 
''Apabila masjid di pagar dan dikunci, ia akan menghalang individu untuk menunaikan solat walaupun saya akui ia dikunci atas aspek keselamatan bagi mengelak daripada berlaku sebarang kecurian.
 
''Tetapi kali ini perlu ada perubahan drastik untuk dilaksanakan iaitu masjid tidak lagi perlu dipagar dan kerap dikunci serta ruang luas kawasan pula akan dibina sebuah dataran," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan rasmi di Pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah di sini hari ini.
 
Pada majlis tersebut, Idris diberi taklimat mengenai struktur pentadbiran MAIM dan beliau turut meluangkan masa berjumpa dengan kakitangan di institusi berkenaan.
 
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakub Md. Amin, Mufti negeri, Datuk Rashid Redza Md. Saleh, pegawai kanan serta kakitangan termasuk dari Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).
 
Menurut Idris, peranan masjid perlu dikembalikan seperti di zaman Nabi Muhammad SAW apabila masjid bukan sahaja dijadikan tempat ibadat tetapi pusat menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan menyelesaikan masalah.
 
Justeru katanya, Masjid Al-Azim di sini akan menjadi perintis apabila semua pagar akan dibuka dan dataran yang sedia ada akan didirikan khemah untuk diadakan pelbagai aktiviti di situ.
 
Beliau menambah, kawasan sekitar masjid itu akan mencontohi Masjid Nabawi dengan dataran yang ada akan dijadikan tempat bersantai dan rekreasi sekeluarga.
 
''Bila tiba waktu solat, mereka boleh tunaikan ibadah itu dengan kemudahan di dalam masjid yang telah disediakan," ujarnya.


 

2 comments:

  1. setengahnya setuju dan setengahnya tak setuju.

    ReplyDelete
  2. Masjid kena ada pagar sebagai penandaan persempadanan hartanah milik org islam.segala harta dan hakmilik didlm perimeter masjid perlu dijaga dan dikawal rapi dan tidak dicemari dgn aktiviti yg tidak ada kaitan dgn hal2 agama.jgn lupa masjid adalah rumah allah swt dan tmpt utk org islam beribadat.

    ReplyDelete