Wednesday, May 16, 2012

Pengundi Hantu..Pengalaman Jokiden..Part Two

Part Two
Tujuan baik untuk membantu jentera, tetapi dijadikan senjata untuk menikam tuannya. Kadang-kadang bas kilang yang menjemput pekerja untuk pulang ke rumah, terpaksa melalui kawasan mengundi, pasti akan dituduh membawa pengundi hantu.


Bolehlah dikatakan isu pengundi hantu setiap kali menjelangnya PRU atau PRK adalah sesuatu yang 'wajib' ditimbulkan. Jika tidak ada isu ini Pilihanraya tidak meriah. Ia samalah seperti isu lemang dan rendang semasa musim menyambut hari lebaran. Juga seperti lagu P Ramlee Dendang Perantau pasti bergema setahun sekali apabila tiba musim raya.

Sekali fikir elok juga ada pengundi hantu ini, sebab tidak ada sesiapa yang dapat mempastikan calon parti manakah yang hantu itu hendak undi. Hantu itu mungkin memberikan undinya pada BN atau kepada pembangkang. Dua-dua untung. Apa kecoh-kecoh..

Pada pilihanraya 2004 Jokiden mengalami sesuatu yang mengerikan disebabkan oleh pengundi hantu ini. Perang besar hampir berlaku antara Jokiden dengan mak mertua,  hanya disebabkan wujudnya pengundi hantu di peti undi kampung Jokiden. 4 ekor ayam daging menjadi mangsa.

Jokiden mempunyai 4 orang isteri. Jangan pula ada sesiapa yang terkejut atau jeles. Itu semua sudah 'joki den' nak buek macam mano. Pemimpin pembangkang juga ramai yang beristeri 2, 3 atau empat. Tetapi Jokiden bukanlah mengikut cara mereka. Nak kata Jokiden gatal atau miang, mungkin ada sikit benarnya. Jangan pulak disebabkan kisah ini pengunjung blog dari kaum hawa memboikot pulak blog ini.

Nak kata Jokiden handsome?, kacak? taklah seberapa, tetapi boleh tahan. Kalau bersaing dengan Mat Sabu atau Utz Badrolamin tu, Jokiden taklah kalah sangat dari segi rupa. Rakan-rakan blogger yang mengenali Jokiden boleh mengesahkan perkara tersebut. Ok, beristeri 4 bukan isunya. Salleh Yaakob juga mempunyai 4 isteri walaupun tak se kacak Jokiden.

Mungkin dunia alam siber dan dunia sms juga merupakan antara faktor kenapa isteri Jokiden sampai 4 orang. Dunia maya ada pro dan kontranya. Nasib baik dunia internet ini banyak menguntungkan pembangkang, jika tidak tengoklah mereka mengutuk internet ni. Ini belum dengar pulak mereka menuduh UMNO bertanggung-jawab dengan menyebarkan penggunaan internet secara meluas..Orang Kampung ada yang mengetahui kisah Jokiden kahwin 4, tetapi ramai yang tidak pasti.

Isteri-isteri Jokiden tinggal di taman-taman yang berasingan di Seremban, namun berhampiran antara satu sama lain. Tidak ada masalah. Setakat inilah. Mereka selalu berjumpa atas pelbagai urusan. Cuma pada setiap kali musim perayaan ada masalah sikit kerana masing-masing berkehendakan Jokiden balik ke kampung masing-masing. Yang lain-lain kira beres.

Isteri pertama berasal dari kampung yang sama. Membesar bersama, bersekolah bersama, bersukan bersama dan kami sama-sama jatuh cinta. Akhirnya berkahwin. Syukur kini masih bersama dan kami ada 5 orang anak. 3 orag sudah layak mengundi. Dua masih belajar.

Isteri kedua berasal dari Simpang Renggam Johor, seorang guru, bertugas di Senawang, Seremban. Isteri Jokiden yang ketiga berasal daripada Sg Buluh Selangor, seorang usahawan dan sangat cantik menawan. Bekerja sendiri. Isteri keempat berasal dari Teluk Intan, tetapi membesar di Kuala Lumpur kerana kedua ibu bapanya menetap di Keramat dan bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat swasta di Seremban. Anak 14 orang.

Semua isteri Jokiden merupakan pengundi berdaftar, tetapi di tempat masing-masing. Seorang anak daripada isteri kedua juga sudah layak mengundi.  Oleh kerana mendaftar di kampung masing-masing maka setiap kali PRU isteri-isteri Jokiden akan membawa anak masing-masing balik kampung. Jokiden pula balik ke kampung di Sg Jelutong bersama isteri pertama untuk mengundi. Sejak dulu tidak pernah menukar kawasan mengundi.

Secara zahirnya BN ada 9 undi soheh dari keluarga Jokiden. Setelah mengundi mereka akan mengaku depan Jokiden bahawa mereka memangkah calon BN. Namun di peti undi siapa tahu.

Pada PRU 11, didapati isteri-isteri Jokiden tidak sibuk membuat persediaan untuk balik ke kampung masing-masing. Hairan juga, apakah mereka tidak berminat lagi untuk mengundi seperti sebelumnya. Pada malam hari mengundi semua keluarga berkumpul di rumah Jokiden dengan isteri pertama. Perkumpulan begitu sering terjadi terutamanya apabila meraikan majlis hari jadi anak-anak atau majlis doa selamat. Kebetulan tanpa disedari salah seorang anak menyambut hari jadi hari itu.

"Tak balik ngundi ke esok..?" terpacul secara spontan soalan dari mulut Jokiden kepada isteri kedua.


 "Takkkkk!!!" sahut mereka serentak diikuti dengan senyum-senyum kambing.


."Joking aside..esokkan hari mengundi, undi ponting " Jokiden agak seriuos sikit dan tidak selesa dengan sonyum-sonyuman mereka.

"Kami nak ikut ayah balik ke Sg Jelutong, ngundi kek sanun.." Jawab isteri keempat..mereka gelak lagi. Jokiden terdiam seketika, mencapai rokok dan berasap. 


"Apa hal??" Saya bertanya lagi.

"Macam ni, kita orang esok semua ikut ayah balik ngundi kek Sg Jelutong, semua dah tukar kawasan mengundi kek DUN Juaaseh..mama yang cadangkan" isteri pertama memberikan penjelasan. "Ya, ya,.." kata yang lain membuatkan Jokiden tergamam. Bia betul.

"Kita ingat ayah berjaya jadi calon kali ni, sebab tu kita pakat tukar kawasan mengundi, boleh juga bantu.." Isteri keempat menyampuk.

"Bila tukar?" Jokiden masih tak berapa nak yakin.

"Tiga bulan lepas, ingat tak masa hari Expo Pertanian kat Paroi ari tu, kan ada SPR bukak boot.. masa tulah kami tukar," ketawa lagi mereka.

"Kaklong, bang ngah... Afiq?"

"Dah pindah semua"

"Aboy pun???"

"Pindah ayah..mak suruh" jawab anak dari isteri kedua Jokiden.

Jokiden hanya terdiam dan pelbagai kemungkinan mula menguasai fikiran Jokiden. Esok nak balik mengundi, Jokiden sendiri jarang balik ke kampung. Isteri-isteri memang tak pernah menjejakan kaki ke kampung Jokiden. Nak mampus!! Tak bagi ikut pulak hari mengundi, hilang 5 undi. Akhirnya Jokiden akur,

"Ok, esok jam 9.00 pagi semua berkumpul di sini.." perintah Jokiden.

Pagi 21 Mac 2004 jam lebih kurang 9.20, kami dengan keluarga besar 4 buah kereta berkonvoi balik kampung untuk mengundi. Suasana sangat meriah dan tidak perlu digambarkan kerana kita sedia maklum akan situasi apabila setiap kali musim pilihanraya umum.

Jalan menuju ke Kuala Pilah bersimpang siur dengan kenderaan. Kibaran bendera parti yang bertanding menghiasi sepanjang jalan bermula dari Bukit Putus, Ulu Bendul, Terachi, Taman Jemapoh, Bukit Gelugor, Taman Anggerik, Pekan Batu Kikir, Terentang, Padang Lebar  hinggalah sampai ke Kampung Sg Jelutong. Meriah, enjoy pemandangan, pemanduan pula secara santai, tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.

Di Kuala Pilah, keadaan lebih hiruk pikuk, orang sangat ramai daripada biasa. Jokiden singgah sebentar di pasar membeli sedikit sayur-sayuran, dua ekor ikan parang, udang dan 4 ekor ayam daging sederhana besar untuk di masak kelak dalam 'kenduri kecil'. Keluarga dari isteri sulung tentu ramai yang balik pada hari tersebut.

Jam 11 pagi lebih kurang kami sampai di kampung. Pondok menyemak pengundi BN betul-betul di depan rumah mertua Jokiden, sebuah bangunan kedai lama tempat Jokiden bermain dam aji masa kecil dulu. Sambil main dam aji, sambil mengurat isteri Jokiden di seberang jalan.. hahaha nostalgia. Kedai itu secara kebetulan milik ayah calon BN yang bertanding.

Agak ramai berada di pondok BN tersebut ketika itu. Kereta juga banyak. Pengundi luar di kampung Jokiden agak ramai. Kelihatan ramai ialah keluarga Ruslan Kassim Ketua Penerangan Perkasa kini termasuk adik beradik blogger Aspan Alias.

Jokiden biasalah, orang kampung kenal, selepas menyemak nama, berborak sebentar dengan kawan-kawan dan sesiapa sahaja sebelum menuju ke peti undi. Sebelum itu ketibaan Jokiden dengan 4 buah kereta agak mengejutkan juga orang kampung. Mereka berpandangan sesama sendiri, dan berbisik-bisik, kerana pastilah tidak ada yang mengenali mereka (isteri Jokiden).

Isteri-isteri Jokiden dan anak-anak turut menyemak nama masing-masing. Soheh ada, betul ejaan nama dan nombor kad pengenalan tepat. Anak Jokiden tidak ada masalah, namun 3 isteri Jokiden diragui. Ketua peti undi terpaksa masuk campur.

"Ini yang kita tak dapat kesan hari tu.. inilah nama-nama tu.." Jokiden terdengar salah seorang antara mereka berkata, walaupun perlahan namun jelas didengar.

"Orang mano ni.. tak kona.. boleh cayo ko..???" Kata seorang AJK Wanita yang aktif.

"Namo ea ado.. dio bulih ngundi tu, nak buek macam mano.." Balas yang lain.

"Nanti dulu, jangan boghi slip tu dulu..." satu pendapat lain kedengaran.. Jokiden diam je. Tak berniat nak mengeruhkan suasana.

Akhirnya kekecohan mula terjadi, walaupun nama isteri Jokiden soheh ada dalam daftar senarai berkenaan, namun kerana mereka tidak dikenali oleh masyarakat di Kg Sg Jelutong, mereka 'cuba' dilarang untuk mengundi.

"Ontah-ontah ni pengundi hantu ni..IC ea Simpang Renggam..Johor ni!!" Seorang yang memang Jokiden kenali bersuara kuat sehingga menarik perhatian orang lain. Nak dijadikan cerita mertua Jokiden muncul ketika itu, dia nampak kami dah sampai, dia pun datang.. biasalah tu.

Banyak lagilah kata-kata yang sempat didengar dan diingati. Akhirnya isteri-isteri Jokiden demi untuk mempertahankan hak mereka terus sahaja berterus terang mengatakan bahawa mereka adalah isteri kepada Jokiden.

"Tu ha.. suami kami pergilah tanya.." kata salah seorang sambil menunjuk ke arah Jokiden. Apa lagi macam bom jangka meletup!!!!! Ramai yang terkejut, ada yang terlopong, ada yang terus berbisik, tetapi jelas air muka mertua Jokiden mencuka..

"Maghin donga bini ea duo yo.. ni sampai ompek oghang aaa.. gilo.." Kedengaran seorang wanita sebaya mertua Jokiden mengomil.. 

"Iyo boto tu..oghang ghumah ese lah tu" kata Jokiden antara serious dengan tidak.. malu pun ia jugak. Geram isteri dikatakan pengundi hantu ia juga.

"Apo ko ghamai bona bini kau???" Kawan sekolah, seorang yang agak pelucu di kampung Sg Jelutong bertanya dengan wajah cerianya kepada Jokiden. "handa kau.."  sambungnya bila Jokiden hanya tersengeh.

Direngkaskan nostalgia ini kami akhirnya dibenarkan mengundi. Selepas mengundi kami tak tunggu lama lagi di kampung. Keputusan diambil untuk segera beredar. Isteri sulong ke rumah dia sebentar, bertemu ibunya. Jokiden serta yang lain-lain menunggu di luar pagar, tak mahu suasana lagi keruh.

Ketika bersalaman untuk beredar, Jokiden memanggil kawan rapat sejak kecil yang memang duduk di kampung Sg Jelutong itu.

"Nak balik dah ko..?? tak sompek nak kono teh kaw ni.." Tanyanya kecewa, kerana dah jadi amalan kami, bila bertemu sahaja pasti akan ke pekan Padang Lebar untuk pekena teh tarik yang tersedap dalam Malaysia.

"Tak po,  lain kali.. ni ado ayam 4 eko ni, kau amik..den nak balik Somban, kang busuk pulak ayam ni..ingat tadi nak masak kek sini.." hahaha kami ketawa serentak. Ikan dan udang ditinggalkan di rumah mertua. Kami pun cabut sambil diperhatikan oleh orang kampung.  

Di Kuala Pilah kami singgah di sebuah restoren, cantumkan meja pesan makanan, Semuanya lapar. Yang dewasa nampak hilang mood sedikit termasuk Jokiden.

"Lain kali bagi tau ayah..benda-benda macam ni tak payah nak buek surprise.." Kata Jokiden. Mereka diam je sambil menjamu selera.

"Undi sapo tadi??" Jokiden mula memancing.. Mereka gelak.. pasal apa gelak, apa yang lucunya pertanyaan tersebut. Memang soalan itu pasti Jokiden akan tanya.


"Undi kan sulit ayah..mana boleh bagi tau" Anak ke empat Jokiden menjawab. Kami ketawa meriah.

Akhirnya Jokiden dapat tahu hanya Jokiden dan isteri tua yang kekal mengundi BN. Yang lain-lain telah memberikan undi mereka kepada PKR.

"Kali ni je ayah.. next time kita orang undi balik BN.. geram orang BN tuduh kita pengundi hantu.."

Ish ish keciknya alasan. Seperti yang Jokiden sebut dalam posting yang terdahulu suasana di pagi hari mengundi, layanan petugas di bilik gerakan sudah pasti mempengaruhi undi pada saat-saat akhir. Siapa kata pengundi hantu dan  pendatang asing akan memihak 100% kepada BN??. 

Moral kisah ini pembaca boleh cipta sendiri.

Port Dickson 2011. Gambar Hiasan,  tak ada kena mengena dengan posting ini. Hahaha..
 

Ps: Maaf posting ini agak panjang, tak tahu macam mana nak pendekan..       

No comments:

Post a Comment