Perhimpunan anggota Barisan Nasional Peringkat NSDK akan berlangsung di Royale Bintang Seremban dari jam 8 pagi sehingga jam 2 petang hari ini Ahad 16 Oktober 2011. Beberapa Presiden Parti Komponen BN akan berucap dalam susun atur acara yang padat.
Antara yang akan menyampaikan amanat ialah Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek, PresidenMIC Datuk G Palanivel, Presiden PPP Dato’ Dr M Kayveas, Presiden IPF Tuan M Sambanthan dan Presiden KIMMA Dato’ Syed Ibrahim Kader. Sementara ucapan penggulungan akan disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hassan. Dilaporkan juga oleh media utama bahawa YAB Perdana Menteri juga berkemungkinan akan turut serta.
Penyokong tegar serta ahli akar umbi komponen BN pasti akan hadir dan akan menerima suntikan semangat serta dorongan kuat untuk mempastikan kemenangan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Mengikut jadual tidak ada sessi soal jawab, lalu jadilah konvensyen BN Negeri Sembilan ini sama seperti majlis2 lain dimana anggota parti datang, mendengar ucapan penuh semangat daripada pemimpin parti, kemudian makan jamuan, berbual kosong dan kembali ke tempat masing-masing. Oleh kerana peluang ahli untuk bersuara masih kurang maka pilihan yang ada masihlah media alternative iaitu blog. Soalnya masyarakat luar Bandar masih belum begitu sebati dengan blog.
YAB Perdana Menteri sering mengatakan zaman kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir. Sudah tentu juga zaman pemimpin mengetahui segala-galanya pun sudah berakhir. Jadi alangkah eloknya jika masa setengah hari ini dipenuhi dengan penyampaian daripada pemimpin bawahan dan anggota parti supaya didengar dan diambil perhatian oleh pemimpin atasan.
Walauapapun saya ingin berkongsi pandangan sempena Konvensyen Barisan Nasional Negeri Sembilan kali ini dan sebagai pembuka kata satu pertanyaan iaitu “Apa Pilihan Yang Ada Kepada Parti-Parti Komponen BN?” dalam situasi meruncing seperti hari ini.
‘Meruncing’ kerana hari ini soal pembangunan bukan lagi menjadi soal yang harus dijadikan modal kempen pilihanraya. Turut tidak menarik ialah soal hudud, soal video sex, soal api, air dan soal jalan raya.
‘Meruncing’ sekarang kerana BN mungkin akan kehilangan kuasa selepas PRU13 selepas lebih 50 tahun memegang teraju pemerintahan. ‘Meruncing” sekarang seperti yang Perdana Menetri selalu sebut ialah untuk mempertahankan Putra Jaya.
‘Meruncing” sekarang kerana jika BN Negeri Sembilan kehilangan 4 kerusi lagi dalam PRU13 maka MB Negeri Sembilan akan datang dari DAP tetapi berketurunan Melayu.
‘Meruncing’ juga kerana harapan untuk merampas kembali Kedah adalah pudar apabila kisah tragis cah keting yang sentiasa berlalu di Kelantan akan menular pula ke Kedah. Turut ‘meruncing’ ialah di Sabah dan Sarawak.
Apalah maknanya menjadi pemimpin BN sedangkan sejarah bakal terukir iaitu BN kehilangan kuasa semasa kita menjadi terajunya. Ini soal pokok yang harus direnungkan oleh kesemua pemimpin atau Presiden Parti Komponen BN hari ini. Yang nyata masa amat mencemburui mereka.
Mencari salah sesiapa sudah tidak releven lagi. Menuding jari kepada pihak lain selain kita, bakal mengundang kemelut baru dan padah lebih buruk akan terjadi. Mengikut rentak tari pembangkang juga sudah pasti tidak akan menguntungkan BN dari segenap sudut.
Jika diawal 2008 masih boleh diterima sekiranya semua pihak komponen ingin menyalahkan satu sama lain. Namun di saat air telah hampir ke buritan ini dan untuk mengelakan kapal daripada tenggelam, maka pilihan sebenarnya sudah tidak banyak lagi. Ikut sahaja saranan yang dibuat oleh Nakhoda Kapal.
Dalam hal ini kenyataan-kenyataan yang sering dikeluarkan oleh pemimpin PPP khususnya Presidennya Dato’ M. Kayveas harus dijadikan iktibar. Bukan sahaja beliau yang sering berpijak dibumi nyata, dan menerima hakikat kekalahan tetapi beliau juga Berjaya mententeramkan ahli partinya supaya bertolak ansur dalam semangat juang BN yang tulin. Ini tidak perlu diulas.
Budaya ugutan samada terhadap BN serta komponen yang lain mahupun terhadap ahli parti sendiri, pastinya akan ditertawakan akhirnya. Jadi pilihan sebenarnya sudah tidak banyak. Pilihan yang sedikit ini jika benar-benar difokuskan maka hasilnya pasti menggembirakan semua pihak. Apa pilihan yang ada?
Kembali kepada semangat BN atau perikatan diawal penubuhannya. Setiap komponen memfokuskan kepada semangat kekitaan yang tinggi. Jika dulu boleh berkongsi kuasa tanpa curiga, kenapa hari ini tidak? Jika dulu tidak pernah prasangka dengan UMNO kenapa hari ini harus berprasangka. Jika dulu soal rasis dengan mudah boleh dipatahkan, kenapa hari ini tidak?
Jika dulu UMNO dianggap abang tua, kenapa hari ini ada yang bersetuju dengan hasutan halus pembangkang bahawa UMNO pembuli. Jika dulu UMNO mempertahankan MCA dan MIC kenapa hari ini tidak? Jika dulu MCA mempertahankan UMNO dan MIC kenapa hari ini ragu-ragu untuk berbuat demikian. Jika dulu MIC mempertahankan UMNO dan MCA kenapa hari ini takut dan berbelah bagi.
Kesimpulannya hari ini, demi kuasa, demi Putra Jaya, demi rekod BN, demi kemenagan majority 2/3 semua komponen BN mestilah saling mempertahankan antara satu sama lain. Bukankah Pembangkang telah menunjukan contoh teladan yang maksima dimana mereka sering mempertahan dan senada dalam membela rakan kongsi mereka?. Kenapa BN memilih cara yang lebih merosakan semata-mata untuk kelihatan lebih ke Melayuan, lebih kecinaan, lebih keindiaan, lebih kemelanauan? Apakah ini menguntungkan atau merugikan.
Saranan saya untuk membuatkan pembangkang berputih mata, mulai saat ini, hari ini semua komponen BN mestilah seia sekata, dalam dan luar, timbul dan tenggelam bersama tanpa prasangka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Biar pembangkang kehilangan punca.
Buat keputusan bersama dan kembali kepada penyokong masing-masing dengan hanya satu saranan, bukannya dua dan bukan tiga.
Bertolak ansur dalam pembahagian kerusi demi kemenangan dan demi kuasa. Status quo tidak semestinya kekal untuk tempoh yang terlalu lama. Semua perkara berubah mengikut peredaran masa dan zaman. Ini bukannya untuk mengajar sesiapa, lebih-lebih lagi pemimpin yang berbibawa, Cuma sekadar pandangan.
Apabila kemenangan telah dimiliki, maka semua perkara boleh diperbincangkan semula dan keputsan lain mungkin menjelma. Terima hakikat bahawa Komponen BN saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak ada yang kuat hari ini, semuanya lemah. Jika yang lemah kembali bersatu dengan focus yang jelas dan matalamat yang nyata, maka kekuatan akan kembali pulih. Pilihan hanya satu iaitu SENADA. UMNO perlukan MCA, MIC, PPP dan lain-lain komponen begitu juga sebaliknya. Sejak lebih 50 tahun dulu timbul atau tenggelam mestilah bersama.
Presiden dan Timbalan Presiden MCA jika menghadiri jamuan hari raya dengan memakai songkok dan berbaju Melayu sudah pasti kelihatan kacak dan menarik perhatian ramai sama seperti ketika Lim Guan Eng menghadiri majlis Maulidur rasul di Penang. Takkan dengan memakai baju Melayu siap songkok dan samping akan melenyapkan kecinaan mereka pula. Pembaca berita berbangsa Melayu juga kelihatan anggun apabila memakai chongsam pada musim raya cina. Selamat Bersidang.
No comments:
Post a Comment