Wednesday, June 5, 2013

Contoh Perkongsian Kuasa Yang Sebenarnya....


 
 

Hari ini 5 Jun 2013, bermakna sudah sebulan PRU13 dimamah usia. Walaupun baru sebulan berlalu ada yang merasakan PRU13 seolah-olah telah berlalu selama setahun. Di mana-mana kawasan masih kelihatan sehelai dua bendera parti yang masih berkibar samada sengaja dibiarkan begitu atau tidak ada sesiapa yang sanggup untuk menurunkannya kerana dahulu ianya di pasang terlalu tinggi. Bahaya.
 
Pada hari minggu 2/6/13, semasa melalui Jalan MMR2 di tiang lampu sepanjang jalan masih banyak bendera PAS/DAP dan BN yang menghiasi tiang-tiang berkenaan. Mungkin juga deposit parti telahpun dirampas oleh pihak berkuasa tempatan.
 
Sebulan berlalu, urusan negara dan urusan rakyat harian berjalan seperti biasa. tidak terasa apa-apa perubahan yang drastik selepas PRU13 ini. Sebabnya mungkin oleh kerana BN masih berkuasa di peringkat pusat dan segala-galanya terus menjadi ok.
 
Kemeriahan suasana kempen sudah lenyap kecualilah dengan adanya perhimpunan haram blackout 505 di beberapa buah negeri yang masih mampu menghidupkan suasana PRU. Itupun rasanya tidak lama lagi akan berakhir dan rakyat kembali kepada kehidupan normal. Cuma PAS biasalah, mana boleh lari dengan pendekatan berpindah randahnya seperti Kaum Badwi gembala kambing yang mesti mengadakan ceramah mingguan dan bulanan mereka demi untuk meneruskan kesinambungan kumpulan peniaga bergerak parti mereka.
 
Hampir keseluruhan dunia telahpun mengiktiraf BN selaku pemerintah yang masih berdaulat di Malaysia ini. Hubungan dua hala, diplomatik dan perdagangan juga rasanya akan berjalan seperti biasa kerana tidak banyak polisi yang berubah.
 
Keputusan PRU13, BN jelas berada diambang kehilangan kuasa. UMNO masih menunjukkan taring dan masih dominan. DAP meningkat mendadak, PKR masih mempunyai nyawa. PAS pula terpaksa menerima hakikat bahawa walaupun parti tertua, namun masih tercorot dalam kedudukan kerusi Parlimen.
 
PAS masih mempunyai Kelantan untuk di banggakan dan tidak memerlukan rakan kongsi atau gabungan untuk meneruskan pemerintahan. Apakah Kelantan akan terus miskin selepas ini, sama-sama kita nantikan.
 
DAP mepunyai Pulau Pinang dan juga tidak memerlukan rakan kongsi untuk mentadbir Pulau yang kaya tersebut. Wakil PAS langsung tidak diperlukan dan PAS terpaksalah menerima hakikat bahawa di sana tidak ada perkongsian kuasa. PAS tetap seperti melukut di tepi gantang.
 
PKR mempunyai Selangor sebuah lagi negeri kaya hasil daripada pentadbiran BN selama 50 tahun. Di sini sebenarnya berlaku perkongsian kuasa yang nyata. jika dahulu pemimpin UMNO/BN sering mengatakan bahawa tiga gabungan PKR, DAP dan PAS tidak akan mampu untuk memerintah kerana mempunyai ideologi yang berbeza antara satu sama lain.
 
PKR, DAP dan PAS mempunyai mimpi yang berbeza. Mereka ditakdirkan berkongsi kuasa dalam sebuah negeri yang kaya dan makmur. Maka mereka perlu membuktikan bahawa Selangor akan terus makmur dan menidakkan segala tduhan UMNO/BN bahawa mereka tidak  boleh duduk bersama untuk memerintah Selangor.
 
Pada PRU12 PAS hanya memperolehi 6 kerusi di DUN Selangor dan mereka tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa menurut kehendak rakan kongsi iaitu PKR dan DAP. Suruh pergi PAS pergi dan disuruh datang PAS akan datang. Disuruh diam PAS akan diam dan disuruh pulangkan barang, PAS akan pulangkan. Itu kisah pada tahun 2008 sehingga 2013.
 
Kini keadaan tentunya telah berubah. PAS merupakan kuasa pemutus di Selangor dengan jumlah kerusi yang sama banyak dengan DAP. Jika PAS cabut, gabungan DAP dan PKR masih ada 14 + 15 = 29 kerusi dan masih boleh memerintah.
 
Dengan 15 kerusi PAS bukan lagi melukut di tepi gantang di negeri kaya dan 'lombong emas' tersebut.  PAS mesti memainkan peranan penting dalam pentadbiran Kerajaan Selangor. Jika PKR dan DAP tidak memperdulikan segala keperluan penduduk yang beragama Islam khususnya Orang Melayu, maka PAS mestilah ke hadapan dalam pembelaan terhadap nasib anak bangsa. Sesungguhnya nasib bangsa Melayu di Selangor terletak sepenuhnya di tangan PAS.
 
PAS tidak boleh lagi bertindak dan bersuara seperti pembangkang di Selangor, sebaliknya sebagai pemerintah yang berkuasa dan mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan hala tuju kerajaan negeri tersebut. Polisi dan dasar yang tidak menguntungkan generasi Melayu akan datang seharusnya tidak disokong oleh PAS semata-mata untuk menjaga hati dan perasaan rakan kongsi mereka iaitu DAP dan PKR.
 
Di Selangor tidak ada parti yang boleh mengaku berkuasa penuh kerana jumlah kerusi yang mereka perolehi adalah seimbang. Walaupun PKR kurang satu kerusi namun dengan kerusi MB menjadi milik mereka maka secara logiknya kekuatan ketiga-tiga parti tersebut adalah seimbang kembali. Ujian getir kepada tiga parti ini adalah di Selangor. Contoh perkongsian kuasa antara mereka adalah di Selangor. Jika Selangor bergolak dan pentadbiran menjadi tidak lancar dan licin maka terbukti bahawa perkongsian tersebut   hanyalah indah khabar dari rupa.
 
Sebaliknya jika Selangor terus makmur, maju dan berjaya maka pastinya rakyat akan membuka mata dan gabungan tersebut boleh diletakkan kepercayaan yang lebih besar untuk memerintah negara pada masa akan datang. Mereka mempunyai 1800 hari lebih kurang untuk membuktikan bahawa mereka lebih baik daripada UMNO/BN seperti yang selalu mereka dakwa. Sama-sama kita lihat nanti.
 
 
 
PEMBANGKANG KAKI TIPU, DAH KALAH TERIMALAH HAKIKAT YANG RAKYAT TOLAK PAKATAN.

No comments:

Post a Comment