Friday, May 10, 2013

PRU13 PART 1,

 
Ini bukan superimpose, ini benar. Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu, jemput makan, kami makan, suruh mengundi tunggu dulu..

Terkejut dengan keputusan PRU13, membuatkan Jokiden kehilangan selera untuk menulis di blog ini. Mungkin ini juga sebagai tanda protes sendirian atau Jokiden mengambil sedikit masa untuk memulihkan kembali semangat yang rasanya direntap begitu kejam. Justru itu mohon maaf banyak-banyak kepada pembaca kerana mengambil masa lama untuk bertenang.
 
Benar ramalan atau andaian Jokiden jauh meleset kecuali tentang DAP dimana ianya agak tepat 36/38. Namun setelah selesai segala proses PRU ini siapa peduli dengan ramalan dan andaian kita. Secara jujurnya Jokiden tidak percaya bahawa PAS dan PKR akan mampu memperolehi undi yang banyak seterusnya memenangi kerusi yang banyak juga.
 
Sejujurnya juga Jokiden tidak percaya bahawa Raja Nong Chik akan kalah di Lembah Pantai. Begitu juga sukar dipercayai bahawa Datuk Ali Rustam akan tewas di Bukit Katil. Jauh sekali daripada Jokiden membayangkan untuk meramalkan Zuraidah Kamaruddin dan Fauziah Salleh atau Fauzi Abd Rahman atau Johari Abdul akan diberikan undi oleh rakyat sekiranya melihat 'sumbangan' mereka terhadap kawasan yang mereka wakili. Siapa peduli sebenarnya tentang jasa bakti atau sumbangan dalam dunia politik penuh persepsi hari ini.
 
Semasa Jokiden masih kecil dan sehinggalah sedikit besar dan mula memahami erti kehidupan, Jokiden menyaksikan di mana sahaja samada di tempat sendiri mahupun di tempat lain yang diketahui melalui pembacaan di media massa, bahawa perhimpunan politik oleh parti pembangkang pastinya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ribuan akan hadir.
 
Sambutan tersebut membuatkan mereka teruja dan seronok mengadakan ceramah politik sepanjang masa tanpa mengira samada ia musim PRU atau tidak disamping dapat memberi peluang kepada pendokong parti mereka untuk berniaga. Besarnya sambutan majlis ceramah mereka tidak mencerminkan sokongan sebenar atau pendengar di ceramah akan menterjemahkan sokongan di peti undi.
 
Ini amat mereka sedari sehinggakan Mat Sapu dalam satu majlis yang Jokiden hadiri sekitar tahun 1986 pernah berkata "Orang Negeri Sembilan ini tak reti bahasa, datang ceramah ramai, undi tidak dapat juga...pilihanraya kita kalah juga"
 
Ketika kegawatan politik melanda tanah air akibat daripada kes liwat satu dan mata lebam, masih jelas di pendengaran Jokiden seorang 'Ulamak PAS' berkata dalam ceramahnya "Adakah patut seorang pelacur dibawa sebagai saksi dalam mahkamah.." Berhari-hari Jokiden termenung memikirkannya atas keberanian 'Ulamak' tersebut mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana dia sedia maklum untuk menuduh seseorang itu penzina dia mestilah mempunyai 4 orang saksi. Yalah mungkin dia memang mempunyai saksi-saksi berkenaan. 
 
Melihat kepada program yang dianjurkan oleh BN dengan apa nama sekalipun, sejak dua tahun kebelakangan ini, tidak ada sesiapa yang akan percaya bahawa BN akan hanya mampu memenangi 133 kerusi Parlimen. Lalu apa yang pernah disuarakan oleh Mat Sapu pada tahun 1986, kini sudah terbalik dan terkena kepada BN pula. Datang ceramah dan program ramai sekali, undi tidak diperolehi.
 
Ratusan ribu menghadiri program BN di Stadium Bukit Jalil, puluhan ribu di majlis makan malam di Klang, puluhan ribu di Stadium tertutup, puluhan ribu di setiap negeri dan jutaan di Putrajaya, rupanya masih belum cukup untuk BN memperolehi kemenangan dua pertiga di kerusi Parlimen.
 
Tidak termampu oleh kita untuk membaca segala analisis dan post mortem di akhbar-akhbar sejak seminggu yang lalu tentang keputusan PRU13 kerana terlalu banyak ditulis dan dibicarakan oleh sesiapa sahaja. Banyak sebab musabab yang dinyatakan. Banyak pihak yang cuba dipersalahkan.
 
Semuanya ada kebenaran dan logiknya. Sebagai pemerhati dan pencinta politik Jokiden juga mempunyai rumusan tersendiri. Kategori individu keputusan PRU13 adalah kejayaan Nuar Brahim, Nik Aziz dan Lim Kit Siang.
 
Nuar Brahim berjaya dengan politik persepsinya. Nik Aziz berjaya dengan politik menggunakan agamanya dan Lim Kit Siang berjaya dengan politik api perkaumannya. Namun seperti kata seorang penulis di akhbar iaitu Sdr Khairuddin Mohd Zain, kejayaan terbesar ketiga-tiga mereka ialah 'niat sebenar mereka berjaya di sorokkan'.
 
Ramuan tiga unsur tadi berjaya menafikan BN daripada memperolehi majoriti dua pertiga. Rakyat Malaysia jangan berharap bahawa tiga ramuan tadi akan menemui titik nokhtah walaupun PRU sudah berakhir. Ianya akan berterusan dan mungkin akan lebih hebat lagi dan pastilah mereka seboleh mungkin akan terus menyembunyikan 'niat sebenar mereka'

Sementara kategori parti pula MCA dan Gerakan ternyata sudah lemas dan tiada mempunyai pelampong untuk menyelamatkan mereka. Di satu pihak lagi DAP berjaya menyakinkan komuniti Cina bahawa hanya DAP yang mampu memberikan khidmat bakti terbaik untuk kaum Cina.

Kesanggupan PAS menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP ternyata membuahkan hasil. Walupun PAS berharapkan sesuatu imbuhan iaitu memenangi lebi banyak kerusi dengan sumbangan besar mereka kepada pakatan, namun realitinya mereka kembali menjadi kerdil. Hanya kejayaan mengekalkan Kelantan dan kejayaan menambahkan jumlah lerusi di DUN Selangor yang masih mampu mengangkat sedikit air muka PAS.

Anak-anak PAS, jentera PAS dan penyokong tegar PAS dikerah siang dan malam untuk memenangkan calon sekutu mereka dari DAP dan PKR, sedangkan kedudukan mereka sendiri ibarat telur dihujung tanduk. Jentera PAS tanpa segan dan silu menjunjung calon DAP dan sanggup 'berperang' dengan jentera BN semata-mata untuk membuktikan bahawa mereka cukup komited dan setia dengan musuh Islam tersebut demi meraih kuasa.

Tanpa sokongan padu jentera PAS, DAP dan PKR pastilah memasuki PRU13 dengan sedikit tempang. Andainya BN tumpas tempoh hari maka tercatitlah dalam sejarah peradapan dunia betapa PAS yang kononnya sebuah parti Islam dan memperjuangkan negara Islam (itu yang mereka tipu pengikut mereka) telah bersekongkol dengan musuh Islam dalam menumbangkan kerajaan Islam dan yang dipimpin oleh seorang Islam. Dosa ini sudah tentu dikongsi oleh PAS serta pengikutnya sepanjang hayat mereka.

Mujurlah UMNO/BN masih memegang kuasa dan Islam tentunya masih selamat di bumi bertuah ini. Penganut Islam di negara ini termasuk ahli PAS masih bebas melakukan ibadat Fardhu Ain dan Fardhu kifayah selagi UMNO/BN berkuasa.

Sementara sebelum PRU12 2008 kegiatan pusat judi dan rumah urut di Selangor agak terkawal di mana hanya sekitar 700 lesen sahaja yang diluluskan, namun meningkat ke angka 6,000 buah selepas PKR@DAP berkuasa di Selangor, kini rakyat Selangor bolehlah mengharapkan ianya akan lebih subur lagi sehingga mungkin mencecah ke puluhan ribu.

Itulah sumbangan PAS dalam membangunkan Islam. Bersetuju dengan penambahan pusat-pusat maksiat yang suatu ketika dahulu mereka cukup kuat menentangnya kerana ingin menjaga hubungan baik serta hati rakan sekongkolan mereka iaitu DAP dan PKR.

Sudah tentu juga selepas ini mimbar masjid akan lebih kerap digunakan oleh khatib PAS untuk menyebarkan dakyah songsang PAS walaupun tidak disenangi oleh ke Bawah Duli Paduka Sultan sendiri. Enakmen dalam kerajaan Negeri Selangor juga akan mudah dipinda dari semasa ke semasa nanti bagi memuaskan hati DAP dan PKR. Itu juga merupakan sumbangan dan jasa bakti ADUN PAS di Negeri kaya tersebut.

Sementara itu, kita juga tidak akan merasa hairan sekiranya selepas ini nanti segala sifat zuhud pemimpin PAS akan lenyap dan mereka akan dengan bijaknya menyesuaikan diri nanti. Akan ada rumah besar, kereta besar, percutian besar dan pakaian mewah dikalangan YB-YB PAS selepas ini nanti. Diharapakan rakyat Selangor akan merasai nikmat janji-janji yang ditabur oleh pakatan sepanjang kempen PRU13 lalu.

Saman terhadap MB Selangor bolehlah diteruskan kerana mereka masih berkuasa dan Menteri Besar serta kerajaan negeri masih bertanggung-jawab untuk menunaikan segala janji-janji terdahulu. Dengan kuasa yang ada kepada mereka rasanya mereka akan menggunakan kedudukan ini untuk terus mengukuhkan kuasa mereka dan rakyat Selangor akan terus berputih mata. Sekali kuasa terlepas bukan senang untuk mendapatkannya semula.

Di pihak UMNO/BN di seluruh negara, setelah selesai menuding jari ke arah pembangkang dengan bermacam-macam teori untuk 'menghalalkan' kekalahan mereka maka bolehlah kembali merenung rumput di bumi. Muhasabah diri dan mengakui di mana kesilapan dan jika ada kesempatan perbaikilah.

Dalam usaha untuk menang, dalam keghairahan memang terjadi perkara-perkara yang di luar jangkaan dan di luar kawalan yang membawa padah dan merenggut kemenangan. Umpamanya kisah air mata buaya Kit Siang yang jatuh berjurai di saat-saat akhir, walaupun ROS cuba memperbetulkan keadaan, namun ia sudah terlewat dan DAP sudah mendapat keuntungan politik yang besar.

Kemudian timbul pula kenyataan syarikat-syarikat penerbangan yang bersetuju memberikan tambang istimewa untuk pengundi pergi balik mengundi, telah dimanipulasikan oleh pakatan sebagai usaha terancang untuk membawa pengundi hantu. Semua itu tidak membantu BN di saat-saat akhir sebaliknya menguntungkan pakatan.

Apapun diantara tiga parti gabungan pakatan tersebut, parti manakah yang mungkin mendahului langkah untuk menyertai BN??? Dong Ziong mungkin mungkin memaksa DAP supaya menyertai BN. Ulamak Pondok mungkin mendesak PAS menyertai BN selepas Nik Aziz bersara. Siapa pulak yang nak mendesak PKR supaya menyertai BN??? dengan syarat jawatan PM mesti diberikan kepada mereka.
 
 

No comments:

Post a Comment