Thursday, January 16, 2014

Apabila Kuasa Sudah Tiada..


Malangnya nasib peniaga Melayu


SEBAHAGIAN peniaga dan pekerja kedai makan berkumpul membantah tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengeluarkan notis untuk merobohkan gerai mereka di Jalan Bukit Mertajam-Kulim, Pulau Pinang pada 10 Januari lalu.
 
PAGI Jumaat lalu hampir mencatatkan sejarah hitam dalam hidup lapan peniaga kecil-kecilan di Jalan Bukit Mertajam-Kulim, Pulau Pinang. 

Jika tidak kerana campur tangan UMNO Bahagian Bukit Mertajam, gerai perniagaan mereka yang sudah diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu bakal menyembah bumi dirobohkan kerajaan negeri. 

Kisah menyedihkan kumpulan peniaga kecil yang dihalau dari tapak perniagaan mereka yang diusahakan sejak sekian lama bukan isu baru di negeri ini. 

Sejak kerajaan negeri diambil alih DAP pada 2008, nasib peniaga kecil-kecilan yang majoritinya orang Melayu ini seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya. 

Sebelum ini, peniaga-peniaga Melayu yang sudah berniaga di Persiaran Gurney juga lebih 20 tahun lalu turut menerima nasib serupa. 

Difahamkan, peniaga-peniaga Melayu di beberapa lokasi lain antaranya di Pantai Jerejak ketika ini juga hanya menunggu masa untuk dihalau dari tapak perniagaan mereka. 

Begitulah murahnya harga peniaga-peniaga kecil yang majoritinya Melayu di Pulau Mutiara ini.
Dari satu sudut, kerajaan negeri mungkin mempunyai alasan kukuh untuk menghalau peniaga kecil-kecilan ini. Antaranya kerana berniaga di atas tanah kerajaan negeri. 

Namun, alasan itu tidak seharusnya menjadi lesen besar kepada kerajaan negeri untuk sewenang-wenangnya menunjukkan kekuasaan dengan menafikan hak golongan tersebut mencari sumber rezeki. 

Apatah lagi, kebanyakan peniaga yang dihalau itu sudah mengusahakan perniagaan mereka sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Tidakkah ada pihak dalam kerajaan negeri yang memikirkan bagaimana peniaga ini mahu meneruskan kehidupan selepas satu-satunya punca pendapatan mereka dinafikan? 

Dalam tindakan menghalau peniaga-peniaga ini juga, kerajaan negeri langsung tidak menunjukkan pendekatan yang prihatin. 

Ambil sahaja contoh peniaga di Jalan Bukit Mertajam-Kulim yang dihalau minggu lalu. Sudahlah hanya diberi notis mengosongkan premis dalam tempoh cukup singkat iaitu dua hari, mereka juga tidak ditawarkan pilihan untuk meneruskan perniagaan di kawasan lain.

Dalam situasi ini, mereka dibiarkan terkontang-kanting tanpa sebarang bantuan.

Lebih menyedihkan, kira-kira 30 anggota penguat kuasa bersama jentolak sudah bersiap sedia merobohkan gerai tanpa sempat mereka mengadu nasib dan berbincang mengenai masa depan perniagaan mereka. 

Apakah ini contoh kerajaan negeri yang bertanggungjawab? 

Namun, apa yang lebih menjadi persoalan adalah tindakan kerajaan negeri yang dilihat lebih berminat memberi tekanan di kawasan-kawasan yang majoritinya adalah peniaga Melayu. 

Kerajaan negeri sudah semestinya setegas mungkin menafikan persepsi sebegini. Tetapi melihat kepada kejadian-kejadian peniaga dihalau sebelum ini, itulah realiti yang tidak boleh disembunyikan. 

Jika sebelum ini kerajaan negeri kerap menggunakan alasan terpaksa menutup kawasan perniagaan yang majoritinya diusahakan orang Melayu kerana mengganggu persekitaran. Bagaimana pula dengan tapak perniagaan di New Lane, Weld Quay dan Lebuh Chulia yang majoriti peniaganya bukan Melayu? 

Mengapa lokasi-lokasi perniagaan itu bebas daripada perhatian kerajaan negeri sedangkan turut mengganggu persekitaran seperti menyebabkan kesesakan teruk? 

Sikap pilih kasih sebeginilah yang sebenarnya mengundang kemarahan peniaga Melayu kerana jelas menunjukkan dasar tidak adil kerajaan negeri. 

Malah, tindakan kerajaan negeri yang hanya memberi kompaun kepada peniaga bukan Melayu atas kesalahan tertentu tetapi mengambil tindakan drastik merobohkan gerai peniaga Melayu seperti yang dipertikai banyak pihak sebelum ini juga masih menjadi tanda-tanya. 

Apa yang pasti, episod malang peniaga kecil-kecilan Melayu dihalau dari lokasi perniagaan mereka meskipun sudah berniaga berpuluh-puluh tahun lamanya di negeri ini diyakini tidak akan berakhir setakat ini. Lebih ramai lagi peniaga Melayu dikhuatiri bakal menerima nasib serupa atas pelbagai lagi alasan pada masa depan. 

Sudah semestinya dalam situasi ini, tiada apa yang mampu mereka lakukan melainkan menyerahkan nasib mereka kepada kerajaan negeri. 

Persoalannya, adakah kerajaan negeri masih lagi bersimpati?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140115/re_06/Malangnya-nasib-peniaga-Melayu#ixzz2qXOtO8vM
© Utusan Melayu (M) Bhd


Catatan:

Terdapat arahan untuk merobohkan Pusat Giat MARA di Gombak@Selayang yang ditanda tangani oleh Yang Dipertua Majlis Berkuasa Tempat. MB Selangor biasalah akan mengatakan itu semua mainan media milik UMNO/BN. Semuanya tak betul dan diputar belitkan. Penjelsan dia sahaja yang betul.

Dengar khabar Padang Awam di Kelana Jaya juga akan diteruskan pembangunannya di sana. Rakyat akan hilang kemudahan tersebut tetapi rakyat akan dapat pusat membeli belah yang canggih. Mahal takpe kerana ada yang mampu beli.


  
Photo


PENDATANG TANPA IZIN (PATI) MUNGKIN AKAN MENJADI SALAH SATU FAKTOR KEJATUHAN KERAJAAN UMNO/BN KELAK.

2 comments:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete