Wednesday, January 6, 2010

TERSALAH DIDIK

Selalu diperkatakan bahawa media massa adalah merupakan salah satu medium untuk mendidik orang ramai. Media massa seperti radio, tv, buku, akhbar, majalah, filem, sms, blog dan juga internet merupakan sumber rujukan yang amat berpengaruh.

Setiap hari pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia akan terdedah dengan pelbagai paparan yang terdapat di media massa. Setiap saat pasti ada yang sedang melibatkan diri dengan media masa. Samada kita di dalam pejabat, di warung kopi, di rumah, di dalam pusat membeli belah, di dalam bas persiaran, di dalam kereta yang sedang teperangkap dalam kesesakan lalu lintas, dalam lift, di pusat peranginan di tepi pantai atau atas gunung, dalam kapal terbang, dalam surau atau masjid, dalam balairaya atau dewan besar malah jika berada di dalam tandas sekalipun kita sebenarnya masih terdedah dengar propaganda media massa.
.
Dalam kehidupan seharian bukan sedikit yang terpengaruh dengan propaganda media massa ini, malah ada yang menganggap bahawa media massa amat berkesan dalam mempengaruhi jiwa dan penerimaan seseorang dalam sesuatu perkara atau isu.

Ada yang terpengaruh dengan sumber melalui media massa tanpa mahu lagi memperhitungkan sumber lain yang dirasakan lebih berwibawa. Sebab itulah dari dahulu hingga sekarang orang memperkatakan tentang etika dan kebebasan media massa.
.
Sebab itu jugalah pengamal dan pemilik media massa merupakan individu atau kumpulan yang amat berpengaruh dalam masyarakat harian. Ada orang memberitahu saya bahawa jika seseorang artis itu hendak berjaya dalam kerjayanya dia atau mereka mestilah mempunyai hubungan yang baik dengan pihak media.
.
Mungkin ada benarnya kenyataan tersebut, maka itulah sebabnya baru-baru ini seleberiti seperti En Azwan Ali dan Datuk Syarifah Aini telah mengambil jalan perdamaian dengan akbar arus perdana Utusan Malaysia. Mereka tidak ingin lagi terus bersengketa.
.
Media massa juga dikatakan boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan yang berkuasa seperti di Amerika, Perancis dan Britain. Tokoh media massa di kebanyakan negara mempunyai pengaruh yang luar biasa ke atas sesebuah kerajaan yang mereka dokong.
.
Jika benarlah media massa merupakan salah satu cara untuk mendidik, maka saya berpendapat pada hari ini berlaku kesilapan yang ketara dalam didikan tersebut. Masyarakat pada hari ini dididik secara tidak langsung supaya memperlekehkan para pemimpin negara. Masyarakat dididik secara halus supaya tidak menghormati pemimpin.
.
Perkara ini disedari oleh semua orang, namun media massa berselindung di sebalik 'etika penulisan atau penyampaian' mereka setiap masa. Jika ada media massa yang masih bersopan terhadap pemimpin hari ini hanyalah TV1 dan TV3 sahaja.
.
Terdapat para pemimpin negara yang mempunyai nama gelaran atau pangkat diawal nama mereka yang panjang dan sukar untuk ditulis atau disebut. Contohnya terdapat seseorang yang bergelar Tan Sri Proff Datuk Hj.... menyebabkan terpaksa mengambil ruang yang banyak dalam akhbar atau majalah atau sukar untuk disebut oleh penyampai berita. Lalu hanya untuk kali pertama sahaja nama gelaran itu disebut atau ditulis, selebihnya hanya nama sahaja yang digunakan.
.
Kesannya ialah pendengar atau pembaca lebih selesa menggunakan nama sahaja tanpa memperdulikan gelaran seseorang pemimpin tersebut. Kesannya lagi ialah kedudukan pemimpin itu di mata orang ramai adalah sama sahaja dengan orang biasa. Kesannya lagi ialah rasa hormat mula berkurangan terhadapa pemimpin tersebut.
'
Perkara ini nampak kecil dan remeh tetapi kesannya untuk jangka masa panjang amatlah menakutkan. Semasa pilihanraya kecil Bagan Pinang di Port Dickson yang lalu saya menyaksikan anak-anak muda begitu ghairah memanggil 'Shahidan Kassim' tanpa ada rasa segan kerana mereka telah biasa mendengar nama tersebut disebut atau ditulis dalam media massa seperti itu.
.
Di sebuah warung pula ketika berita sedang ke udara seorang kanak-kanak kecil menjerit "najib!!" apabila melihat tokoh tersebut muncul di kaca TV. Ibu dan bapanya keliahatan bangga kerana anak mereka mengenali pemimpin negara tetapi orang ramai yang berada di situ sedikit terkejut kerana merasakan anak tadi seorang yang agak biadap.
.
Salah siapa? anak-anak kecil sekarang begitu terdedah dengan pembacaan dan penglihatan mereka. Jadi kita tidak boleh menyalahkan anak kecil itu kerana pembaca di Awani dan Bernama TV juga turut dengan selambanya menggunakan 'Najib" dalam persembahan berita mereka.
.
Di akhbar dan majalah juga sama, hanya dipermulaan perenggan sahaja disebut nama gelaran pemimpin berkenaan, selebihnya jika diikuti terus penulisan tersebut maka semuanya menggunakan nama asal semata-mata untuk menjimatkan ruang
.
Mungkin YB Datuk Seri Rais Yatim mempunyai kuasa ke atas media massa ini untuk memperbetulkan cara didikan yang salah ini. Mendengar pembaca berita di Awani dan Bernama TV menyebut tanpa rasa bersalah nama pemimpin menyebabkan kita tidak senang menonton berita tersebut bersama anggota keluarga.
.
Lagipun YB Dat0' Seri Rais Yatim sejak dahulu menekankan "Budi Bahasa Budaya Kita" tetapi adakah memanggil pemimpin dengan hanya nama asal tersebut merupakan budaya yang sihat?.
Alah bisa tegal biasa, peribahasa lama yang berkesan. Tidak lama dahulu seorang pemimpin dalam ucapannya hanya menyebut "Najib, Najib" sedangkan "Najib" itu adalah boss dia dan lebih memalukan isteri Perdana Menteri turut hadir dalam majlis tersebut. Esoknya akhbar melaporkan ucapan beliau tanpa tapisan.
.
Suatu ketika dahulu masyarakat terlalu menerima pakai panggilan "Mahathir, Mahathir..." kini nampaknya keadaan telah kembali berubah dan masyarakat kini terlalu selesa dengan panggilan "Tun Mahathir.." Maknanya didikan telah kembali betul.
.
Namun terdapat juga didikan yang berkesan yang digunakan oleh beberapa blog dan penerbitan yang apabila merujuk kepada pemimpin mereka sentiasa menggunakan bahasa yang sopan iaitu "Tok Guru" dan kesannya ialah kebanyakan ahli masyarakat mengenali tokoh-tokoh ini sebagai Tok Guru dan melahrikan rasa hormat yang signifikan terhadap mereka
.
Jadi saya menyarankan agar media massa arus perdana sekurang-kurangnya ubahlah cara penyampaian mereka agar masyarakat tidak terus disalah didik. Jika pemimpin lain tidak perlu diberikan imej kesempurnaan, cukuplah untuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana menteri supaya orang akan merasa janggal jika hanya menyebut nama mereka.
.
Peranan Media Massa sesungguhnya boleh merubah keadaan.

No comments:

Post a Comment