Saturday, January 9, 2010

GEREJA DIBOM

Semalam TV dan radio menyiarkan berita mengenai pengebomanan ke atas tiga buah gereja di Lembah Klang. Hari ini akhbar harian, blog dan internet menyiarkan berita tersebut juga. Seluruh dunia sedang memerhatikan perkembangan yang berlaku di Malaysia sekarang ini.

Penyebaran sms juga sedang rancak berlaku dan ini pasti menguntungkan syarikat-syarikat pengendali telikomunikasi. Biasalah dalam mana-mana krisis, pada peringkat awalnya pasti ada pihak yang untung dan ada pihak yang rugi. Cuma diakhir krisis selalunya semua pihak akan kerugian.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri dan Ketua Polis Negara segera membuat kenyataan yang berbentuk amaran supaya masyarakat terus bertenang dalam isu penggunaan Kalimah Allah oleh Gereja ini.

Namun dikala menuntun kenyataan TV oleh Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn, saya berasa sedikit kecewa. Wartawan bertanya adakah ISA akan digunakan dalam menangani isu pengeboman gereja ini, jawapan beliau ialah lebih kurang "Kita akan menggunakan apa cara sekalipun untuk mempastikan perkara ini dapat ditangani..." Sedangkan rakyat menanti jawapan mutlah daripada beliau iaitu "ya kita akan gunakan.."

Mengikut Utusan Malaysia beliau berkata begini: “Ini bukan hal politik dan ini juga bukan hal peribadi tetapi melibatkan keselamatan. Jika terpaksa dan keadaan menjadi teruk, kita tidak teragak-agak untuk menggunakan apa jua cara termasuk ISA.

Dalam situasi yang genting seperti ini Menteri Dalam Negeri sepatutnya sudah tidak perlu lagi bermain dengan kata-kata. Jawapan tegas diperlukan dan tindakan ISA ke atas petualang diperlukan tidak kira mereka dari parti UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PAS, PKR, DAP atau Perkasa.

Tidak lama dahulu di dalam Facebook Perdana Menteri saya pernah mencatatkan bahawa tiga perkara yang mungkin meruntuhkan kerajaan jika tidak ditangani dengan betul iaitu isu perkauman terutamanya isu agama, isu pendatang tanpa izin dan isu keselamatan rakyat yang tidak terjamin.

Mana-mana negara dalam dunia ini sudah pasti tidak akan aman apabila dihantui oleh isu sensitif seperti isu agama, isu kaum dan isu pribumi. Jika masa kerajaan banyak dihabiskan untuk menangani isu-isu berkenaan, bila pula masa hendak ditumpukan untuk membangunkan negara demi untuk rakyat.

Di negara kita sejak merdeka isu-isu sensitif ini dapat ditangani oleh kerajaan dengan berkesan kecuali pada tahun 1969 apabila ada pihak merasakan atau menikmati sedikit kejayaan dalam politik maka mereka mula menunjukan taring.

Selebihnya negara kita menikmati keamanan dan keharmonian yang tinggi sebab itu negara kita boleh dibangunkan dan dimajukan. Sejak dahulu rakyat pelbagai keturunan dan pelbagai pegangan agama tidak pernah bimbang untuk pergi ke Masjid, surau, kuil, atau gereja pada bila-bila masa. Rumah-rumah ibadat di negera kita tidak perlu dikawal atau diberikan perlindungan keselamatan.

Tidak seperti di negara asing dimana rakyat sentiasa merasa bimbang samada untuk keluar bekerja, keluar bersiar-siar, membeli belah, berekreasi, ke upacara keagamaan kerana keselamatan mereka tidak terjamin dan mereka boleh menjadi mangsa serangan secara tiba-tiba.

Di Selatan Thai, di India, Iraq dan Pakistan umpamanya rakyat boleh menjadi mangsa pengeboman ketika mereka sedang bersembahyang di masjid.

Di Negara kita kebijaksanaan sepatutnya diutamakan dan bukannya emosi atau kepentingan peribadi. Benar di dalam mana-mana pertubuhan siasah atau politik terdapat pakar-pakar strategi untuk menaikan parti masing-masing, namun kebijaksanaan masih dituntut.

Mungkin ada pihak di dalam dan luar negara yang inginkan sangat supaya Malaysia menjadi huru hara dan kucar kacir supaya akan ada satu kumpulan lain yang akan mendapat keuntungan dengan memperolehi kuasa.

Dalam isu pengeboman ini kita terdengar komen-komen yang cuba memberikan gambaran yang seolah-olah semua ini dirancang oleh pihak-pihak tertentu. "Tangan-tangan ghaib.." katanya. Kenyataan ini sebenarnya tidak bijaksana kerana memberikan andaian yang berbentuk provokatif. Ianya tidak membantu untuk menenangkan keadaan kerana akan ada pihak lain yang termakan dengan andaian tersebut. Jika hendak mencari keuntungan politik sekalipun, janganlah sampai menggadaikan masa depan negara.

Tidak beberapa lama dahulu betapa kita disogokan dengan tindakan yang tidak bijaksana oleh seorang hakim yang arif dalam hal perundangan apabila dia memutuskan bahawa Datuk Seri Muhamad Nizar masih merupakan Menteri Besar yang Sah. Akibat keputusan tersebut maka semakin bercelarulah masyarakat terutamanya di Perak.

Apalah salahnya Yang Arif tersebut memutuskan bahawa Sultan Perak mengikut Perlembagaan Perak sebenarnya berkuasa melantik Menteri Besar yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.

Susah sangat ke nak mentaksirkan undang-undang tersebut hinggakan akibat daripada keputusan tersebut bekas Menteri Besar itu masih mengaku yang dia Menteri Besar yang sah dan rakyat bersimpati dengannya. Akibatnya juga keresahan dan ketidaktentuan menguasai politik dan pentadbiran di Perak.

Dalam kes penggunaan Kalimah Allah oleh Gereja Katolik (Herald-The Catholic Weekly.)
ini tidak bolehkah Yang Arif berkenaan melihat daripada sudut yang lebih luas dan sensitiviti selain daripad sudut perundangan. Tidakkah beliau memikirkan kesannya kepada masyarakat majmuk di Negera ini.

Tidakkah beliau melihat terdapat tujuan atau muslihat lain yang tersembunyi daripada pihak gereja tersebut. Jikalah keputusan beliau tempoh hari tidak membenarkan penggunaan Kalimah Allah untuk tujuan penulisan mingguan gereja tersebut, sudah tentu perkara ini tidak akan berlaku. Keputusan beliau sudah tentu menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian antara penganut agama di Malaysia ini. Bukankah itu lebih bermakna kerana dalam soal ini bukan menang atau kalah yang diutamakan, tetapi kesejahteraan negara sepatutnya menjadi pertimbangan nombor satu.

Kita tidak mahu selepas ini akan ada pulak usaha pihak-pihak tertentu yang kononnya ingin membalas dendam, lalu melakukan perkara yang sama terhadap masjid, surau dan madrasah di seluruh negara. Jika ini terjadi dan Menteri Dalam Negeri masih teagak-agak untuk menggunakan ISA, maka negara tercinta ini akan terjerumus ke dalam kancah huru hara. Siapa yang rugi dan siapa yang untung?

Terdapat juga kecenderungan pihak pembangkang untuk mempolitikan isu pengeboman ini dan Naib Presiden PAS telah membuat kenyataan yang melulu mengatakan terdapat tangan-tangan ghaib.. apa sebenarnya tujuan beliau? Biasalah pembangkang akan menuduh UMNO, BN dan kerajaan yang bertanggung jawab. Sesiapapun boleh membuat tuduhan atau andaian sedemikian.

Tidak lama dulu dia juga membuat kenyataan bahawa pengawasan keselamatan di Stadium Darul Aman semasa perlawanan akhir bolasepak tidak dilakukan dengan baik oleh Polis. Selama ni mana pihak pembangkang mengiktiraf peranan polis? Polis selalu dimomokan dengan pelbagai gelaran yang menjijikan.

Dalam kes Teo Beng Hock, kita dengar dakwaan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa beliau mati dibunuh hasil daripada rumusan pakar Dr Pornthip. Jikapun beliau mati dibunuh biarkan inkues tersebut berjalan dan ditamatkan dulu. Apa motif sebenar beliau beria-ia sangat menimbulkan perkara ini.

Jikapun benar Beng Hock mati dibunuh belum tentu yang membunuhnya pegawai SPRM atau pegawai polis. Malah yang lebih mungkin untuk membunuhnya bagi melindungi maklumat dari terbongkar ialah orang-orang dari parti PKR sendiri. Masih sudah lupakah kita tentang isu ketok ketampi yang heboh satu Malaysia dan satu dunia dicanangkan oleh pemimpin DAP suatu ketika dahulu.

Sepatutnya pihak berkuasa terutamanya polis diberikan ruang untuk menyiasat perkara ini dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak termasuk Majlis Peguam yang mangatakan bahawa isu tersebut boleh dibincangkan dan tidak menghina mahkamah kerana Malaysia tidak mengamalkan sistem Juri..

Marilah kita berharap agar tidak ada lagi insiden-insiden yang boleh memudharatkan lagi keharmonian kaum di negara kita ini. Hentikan politiking yang merugikan bangsa dan negara dan bersamalah membina masa depan yang gemilang.

No comments:

Post a Comment