Tuesday, July 12, 2011

BERSELINDUNG DI SEBALIK 9 JULAI

Berlindung Di Sebalik 9 Julai Oleh Mohd Sharif Ahmad

Samada Perhimpunan Bersih menjadi kenyataan ataupun tidak pada 9 Julai ini, ada pihak yang sudah pasti merasa puas dan tersenyum simpul kerana matalamat tersembunyi mereka sedikit sebanyak telah tercapai. Adalah meragukan sekali tujuan sebenar perhimpunan ini ialah untuk menghantar Memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung di atas ketidak telusan pihak SPR mengendalikan Pilihanraya di negara ini. Antara yang tersirat dan tersurat di hati pihak penganjur adalah jauh berbeza.

10 Julai 2011 Jalan TAR


Jika dahulu setiap perhimpunan haram yang dirangka hanya popular di dalam blog pembangkang dan di tempat-tempat strategik melalui pemasangan kain rentang atau poster-poster di tembok-tembok. Namun kini publisiti melampau diberikan kepada penganjuran kali ini sehinggakan seluruh negara menantikannya dengan penuh minat. Pihak penganjur hanya tersenyum puas tanpa keluar belanja yang besar kecuali mencetak baju T berwarna kuning.

Pastilah yang paling lebar senyumnya ialah Timbalan Presiden PAS serta Ketua Umum PKR. Walaupun mereka turut mengakui bahawa respon negative terhadap penganjuran ini dari kelompok masyarakat yang lebih besar, namun sekurang-kurangnya tumpuan berlebihan kepada isu ini telah berjaya memberhentikan seketika isu sebenar yang pembangkang hadapi. 

Bukti kepada publisiti berlebihan ini termasuklah fokus yang diberikan oleh media massa arus perdana samada media cetak, elektronik dan juga media siber seperti internet dan blog. Tidak cukup dengan pendedahan tersebut, mereka juga popular dengan bantuan lapuran polis yang lebih 2000 lapuran di seluruh Negara sehinggakan semua pihak berminat membicarakan isu Perhimpunan Bersih ini.

Tidak pernah masyarakat desa mengenali siapa dia Ambiga, bekas Presiden Majlis Guaman tersebut. Namun dengan adanya repot polis yang bertali arus serta sepanduk-sepanduk serta penyebaran baju T berwarna kuning, nama beliau secara mendadak mewarnai dunia politik Negara.

Senyap seketika isu Negara Berkebajikan PAS. Senyap sebentar isu video klip pemimpin pembangkang. Sepi sedikit fokus tentang keputusan kes liwat di Mahkamah pada minggu depan. Reda sedikit isu kekalahan gulungan Ulamak dalam pemilihan barisan kepimpinan PAS. Hilang sebentar segala isu kepincangan pentadbiran Pakatan Pembangkang di beberapa negeri yang mereka perintah.  

Pihak SPR telah mengendalikan 12 Pilihanraya Umum dan sejak itu sistem yang diguna pakai sentiasa diperbaiki dari masa ke semasa. Pihak pembangkang setelah setiap kali Pilihanraya berakhir pastilah akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pihak SPR kerana itu merupakan antara alasan mudah kenapa rakyat menolak mereka. Gambaran yang ingin dibentuk di benak pemikiran rakyat ialah bukan rakyat menolak mereka sebaliknya mereka tewas disebabkan oleh penipuan pihak SPR yang kononnya menyebelahi pihak kerajaan. Benarkah begitu? 

Jika benar SPR menyebelahi kerajaan kenapa PAS boleh menang selama 22 tahun di Kelantan? Jika benar SPR jadi alat kerajaan kenapa calun PAS dalam PU11 yang hanya menang dengan 1 undi pun kekal sebagai ADUN di Kelantan, sedangkan mudah sangat pegawai SPR nak memusingkan keputusan tersebut. Mereka hanya perlu menelan 2 helai kertas undi ke dalam perut mereka maka keputusan akan berubah.

Jika SPR selamanya menyebelahi kerajaan maka sudah tentu ketika PAS hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN, kerajaannya mudah ditumbangkan dengan pelbagai cara. Namun semua itu tidak terjadi kerana SPR sememangnya sebuah badan bebas yang turut diiktiraf oleh seluruh dunia.

Di Negara lain keputusan undi dan pemenang pada setiap kali pilihanraya hanya dapat diketahui berhari-hari, berminggu-minggu malah ada yang berbulan-bulan selepas habis waktu mengundi. Di Negara ini paling lewat jam 3 pagi rakyat sudah tahu siapa yang membentuk kerajaan. Sungguh hebat SPR walaupun mengendalikan lebih 13 juta pemilih.

Ada sebuah parti yang hebat di Negara ini. Mengendalikan tak sampai 2000 kertas undi, sesak nafas dan pemenang Timbalan Presiden gagal diistiharkan walaupun berjam-jam setelah tamat masa mengundi. Itulah kehebatan PAS selama ini.

Kelemahan SPR seperti di Negara-negara lain juga berlaku dan sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. SPR sentiasa mendengar maklum balas dan responsif  terhadapnya. Lalu apa perlunya demontrasi jalanan untuk mengajar SPR supaya berubah. Tidak cukupkah wakil pembangkang yang begitu ramai di Parliamen untuk membincangkan isu penting tersebut di sana.

Pada hari ini semua pemimpin pembangkang kelihatan sudah seperti diperbodohkan oleh segelintir mereka yang jelas mempunyai agenda tersirat. Banyak pemimpin pembangkang bersetuju dibodohkan kerana mereka ingin mendapat keuntungan politik daripada isu BERSIH ini. Mereka sendiri tahu bahawa SPR tidak seburuk yang digambarkan kerana itu hanya persepsi yang berjaya diwujudkan oleh pihak tertentu, namun  mereka menyokong isu bodoh tersebut kerana mereka akan mendapat sedikit keuntungan politik. Sepatutnya biar kita bodoh asalkan kita tidak diperbodohkan oleh sesiapa.

Hari ini penganjur perhimpunan bukan sahaja mahu meneruskan agenda mereka, tetapi juga mereka sudah kelihatan bongkak, angkuh, besar kepala dan tidak mahu mendengar nasihat. Bagi mereka segala kekalutan yang bakal terjadi kelak akibat perhimpunan tersebut akan diletakan ke atas bahu pihak pemerintah dan mereka akan bersikap baling batu sembunyi tangan. Cara itu akan memudahkan mereka mencapai matalamat iaitu membuatkan orang ramai membenci pihak kerajaan.

Jika pun perhimpunan kali ini gagal mereka akan meneruskan agenda dengan mewar-warkan pula perhimpunan pada 9 Ogos, 9 Sepetember, 9 Oktober dan seterusnya. Mereka tidak akan berhenti sehingga PU13 kerana ini satu cara untuk rakyat melupakan segala kepincangan mereka dalam mentadbir negeri-negeri tertentu.

Mereka mendakwa perhimpunan mereka akan bersih dan aman. Mana mungkin perhimpunan yang penuh dengan semangat penentangan akan berterusan aman. Sejarah telah membuktikan di seluruh dunia bahawa setiap perhimpunan yang disertai dengan ribuan orang pasti akhirnya akan bertukar ganas apalagi ditambah dengan ucapan yang berapi-api membakar semangat para peserta.

Jika berlaku seperti yang dirancangkan bahawa akan hadir juga dua pasukan yang bertentangan dalam jumlah yang ramai, maka keadaan akan menjadi tidak terkawal. Peristiwa yang berlaku di Pulau Pinang pada minggu lepas yang hanya dihadiri oleh sekitar 50 orangpun di sebuah balai polis, pun sudah sukar dikawal, inikan pula perhimpunan yang melibatkan puluhan ribuan orang.

Malaysia sesungguhnya tidak memerlukan apa bentuk demontrasi jalanan sekalipun. Negara ini sudah cukup aman, sudah cukup maju, sudah cukup tolorensi, sudah cukup harmonis dan setiap orang memperolehi apa yang dia inginkan.

Demontrasi jalanan hanya akan membuatkan rakyat kesusahan, perniagaan terganggu, pelancung tersekat, pelabur takut datang, rusuhan boleh terjadi, kehilangan nyawa atau harta benda mungkin berlaku dan seterusnya huru hara dan kerajaan menjadi tidak stabil. Ini sebenarnya yang diinginkan oleh puak pembangkang yang berselindung disebalik ketidak telusan pihak SPR dalam mengendalikan pilihanraya.

Walaupun pada mulanya perhimpunan bersih akan berjalan aman, namun apabila jumlah yang begitu ramai akan hadir maka sudah tentulah pihak penganjur tidak akan dapat mengawal segala kerenah yang ditimbulkan oleh penyokong nanti. Pastinya ada ucapan membakar semangat yang berapi-api oleh pemimpin tertentu dan ini akan merangsang penyokong totok bertindak diluar batasan yang akhirnya menjadikan keadaan huru hara.

Jikapun para penyokong datang tanpa membawa senjata, ini tidak akan menghalang mereka daripada mencederakan sesiapa kerana banyak objek yang boleh digunakan sebagai senjata seperti topi keledar, cermin kaca, botol air, besi paip, wiper dan pengunci setering kereta, tali, getah, pinggan mangkuk, penyangkut baju, batu jalan dan pelbagai objek lagi.

Lokasi yang dipilih seperti sekitar Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Masjid Negara, Bangunan Dewan Bandar Raya, Sogo dan Medan Bonus sudah sedia padat dengan ribuan manusia. Ini akan menjadikan suasana bertambah kalut dan kenderaan sudah pasti tidak akan dapat bergerak lancar. Apabila akan ada usaha daripada pihak berkuasa untuk menyuraikan mereka nanti, maka segala bentuk provokasi akan mereka lakukan.

Apabila suasana sudah tidak terkawal, pihak berkuasa sudah pasti bertindak demi menjamin ketenteraman awam tidak terjejas. Berlembut bukan lagi pilihan sebaliknya ketegasan pihak berkuasa akan mengundang rasa tidak puas hati dan suasana kelam kabut inilah yang akan diberikan fokus oleh lensa media asing untuk memberikan gambaran negatif tentang Negara kita.

Inilah niat yang tersirat yang mereka inginkan, bukan soal hendak menghantar memorandum kepada DYMM. Mereka mahu penyokong mereka marah atas apa juga tindakan yang bakal pihak berkuasa ambil ke atas mereka kelak.

Jalan sesak mereka akan salahkan kerajaan. Kedai terbakar mereka akan salahkan kerajaan. Kereta pecah cermin mereka akan salahkan kerajaan. Peniaga kerugian berjuta ringgit mereka akan letakan kesalahan atas bahu kerajaan.

Jika terdapat peserta yang cedera mereka akan salahkan polis, FRU dan tentera. Lebuh raya pasti sesak teruk pada hari tersebut dari semua penjuru dan semua urusan akan tergendala. Inipun mereka akan salahkan kerajaan.

Pemimpin pembangkang sudah terkenal dengan lepas tangannya. Jika berlaku kekecohan dikalangan mereka sendiri mereka akan segera menuding jari ke arah kerajaan dengan mengatakan itu semua bukan disebabkan oleh penyokong mereka tetapi oleh provokasi polis atau penyokong BN yang menyamar sebagai ahli mereka.

Malah jika berlaku perlanggaran kecil di mana-mana lebuh raya kelak, dan kesesakan teruk akan berlaku, itupun akan dituduh pihak kerajaan yang merancang pada hal kemalangan berlaku setiap hari di Lebu Raya.

Jika polis tidak ada di kawasan tersebut dan berlaku kekecohan atau pergaduhan, maka kesalahan juga diletakan ke atas bahu polis kerana gagal menjamin keselamatan rakyat. Jika pulak polis hadir dan cuba mengawal, polis pula dituduh sengaja menimbulkan suasana huru hara. Setiap tuduhan daripada mereka walaupun amat bodoh dan tidak masuk akal akan tetap dipercayai oleh penyokong mereka.

Kita selalu menonton di dalam TV dan internet bagaimana polis di Negara lain melayan para penunjuk perasaan adalah lebih keras, teruk dan zalim dari polis kita. Polis kita amat bertimbang rasa dalam menangani setiap perusuh namun ini disalah mengertikan sebagai polis kita lemah dalam bertindak. Kebiadapan para perusuh sebenarnya ada kalanya mencabar darjah kesabaran pihak berkuasa.

Bayangkan pernah berlaku pemimpin pembangkang membaringkan diri di hadapan trak polis. Kerana dia pemimpin terkenal maka manipulasi tidak berlaku. Namun seorang lagi yang berguling atas jalan raya di hadapan kenderaan membawa pemangku Sultan Perak dikatakan bukan penyokong mereka sebaliknya dikatakan polis yang menyamar atau penyokong BN yang membuat provokasi itu.

Pada hari ini terdapat kecenderungan untuk meletakan semua kesalahan kepada kerajaan, kepada UMNO dan kepada BN waima kesalahan moral seorang pemimpin pembangkang pun cuba dikaitkan dengan UMNO dan BN. Ini dilakukan oleh orang yang menganggap dirinya hebat, sebenarnya dia tidak sehebat manapun.

Diri mereka dipotretkan sebagai maksum penuh sementara lawan mereka digambarkan sebagai paling buruk, paling hodoh dan paling jijik. Ada orang yang terlibat dengan masalah moral berpanjangan berjaya mengheret rakyat supaya bersetuju dengannya bahawa dia dianianya. Dia yang syok dan berpeluh selama dua puluh minit, PM pulak yang diseret.

Sesungguhnya saya berpendapat bahawa perangai, perlakuan, tindakan, penipuan, pembohongan, pendekatan dan penyelewengan puak pembangkang di Negara ini amatlah menjijikan sekali. Rakyat sudah mula merasa jijik dengan kehadiran mereka. Percayalah.

Wednesday, May 26, 2010

PERSEPSI MASUK UMNO JADI WAKIL RAKYAT LALU JADI KAYA

 
Nak tahu rumah siapa siasatlah sendiri..
 
Hari ini jadi ketua Bahagian UMNO atau jadi wakil rakyat UMNO esok lusa sudah berubah hidup jadi kaya raya. Dalam negara ini jika seseorang ingin menjadi kaya cepat ia haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi pemimpin UMNO seterusnya menjadi wakil rakyat, seterusnya menjadi Setiausaha Parliamen, seterusnya menjadi Timbalan Menteri dan akhirnya menjadi Menteri kalau tidakpun menjadi menantu raja.

Sebelum zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, kedudukan sosial dalam negara ialah pertama Golongan Kaki Tangan Kerajaan, kedua Golongan Peniaga atau Usahawan dan ketiga Golongan Politik, kecuali yang menjadi menteri.

Apabila Tun Mahathir mengambil alih kepimpinan negara sedikit demi sedikit kedudukan sosial ini mula berubah dimana akhirnya Golongan Politik mengambil alih tempat pertama diikuti oleh Golongan Usahawan atau lebih glamour dengan istilah koperat dan Kaki Tangan Kerajaan jatuh dalam kelompok ketiga.

Kita menyaksikan dominan kaki tangan kerajaan terutamanya guru-guru sebagai perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO telah lama kelamaan diambil alih oleh ahli-ahli koperat atau golongan peniaga. Ahli politik mendapat penghargaan dan penghormatan yang tinggi dalam masyarakat dan ini merupakan pencapaian istimewa Tun Dr Mahathir selain daripada terhapusnya kegilaan kaki tangan tinggi kerajaan yang suka minum arak dalam majlis-majlis sosial mereka sebelum itu.

Peningkatan kedudukan sosial ahli politik ini menyebabkan bidang politik menjadi kegilaan ramai dan semuanya berebut-rebut untuk menceburkan diri dalam dunia yang penuh mencabar ini. Tanggapan menjadi ahli politik dan mendapat jawatan tertentu merupakan batu loncatan mengubah taraf sosial dan gaya hidup seseorang. Akhirnya timbul tanggapan bahawa perebutan untuk mendapat kuasa dalam politik bukan lagi bertujuan untuk berkhidmat kepada masyarakat, tetapi sebaliknya untuk mengubah keadaan diri dan keluarga.

Sebelum pembangkang menjadikan perkara ini sebagai bahan kempen untuk kepentingan mereka, maka tidak banyak isu  timbul, tetapi apabila pihak pembangkang dan juga golongan kecewa dalam parti pemerintah  melihat ini sebagai salah satu cara untuk melemahkan parti pemerintah dan mereka mungkin akan mendapat keuntungan politik, maka mereka telah menggunakannya ke tahap maksimum.

Soalnya sekarang jikapun terdapat pemimpin parti yang benar-benar ingin berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara namun perjuangan itu tetap kelihatan cacat kerana pihak pembangkang telah berjaya menanamkan ke dalam jiwa sebahagian rakyat bahawa tujuan sebenar seseorang pemimpin itu adalah jahat, busuk, untuk kepentingan diri dan untuk kekayaan keluarga.

Kejayaan pembangkang ini yang sukar dijelaskan atau disanggah oleh pemimpin pemerintah, dengan sendirinya menutup segala kudis, perilaku sumbang, jahat, tidak bermoral, hipokrit dan talam dua muka ahli politik pembangkang walau dari parti mana sekalipun.

Bagi orang yang tidak suka menganalisa, selalunya perkara negatif lebih diminati daripada perkara positif atau baik. Ini memudahkan pihak pembangkang memanupulasi keadaan melalui pelbagai kaedah seperti pengedaran VCD, kaset, ceramah, risalah, forum dan juga melalui internet.

Kesahihan, ketepatan dan kebenaran berita atau peristiwa yang dipaparkan dalam internet sudah tidak diutamakan lagi oleh segelintir rakyat. Yang mereka banggakan ialah mereka merupakan antara orang yang terdedah kepada maklumat menerusi alam maya ini yang tentunya tidak ramai yang akses kepada medium tersebut.  Ini menguntungkan pihak pembangkang yang membuat tuduhan.

Daripada bahan internet ini penyampaian dari mulut ke mulut akan berlaku dan penyampai selalunya akan dikagumi dan kemusnahan telah dilakukan. Contohnya bagi rakyat yang malas berfikir sehingga hari ini masih ada yang percaya bahawa DS Rosmah Mansur dan PM terlibat dalam kes Altantuya pada hal DS Najib telah beberapa kali bersumpah menafikannya.

Daripada mempercayai sumpah PM segelintir orang lebih relah mempercayai kenyataan RPK atau Balasundram, kerana orang lebih mudah tertarik untuk mempercayai perkara negatif.

Di sebuah kampung yang terpencil terdapat seorang anak gadis yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR. Dia satu-satunya budak celik kampung berkenaan. Cerita kejayaan dia tidak menarik minat masyarakat desa itu dan kegembiraannya hanya dikongsi oleh keluarga terdekat sahaja. Ada juga yang mencebik dengan mengatakan patutlah dia berjaya kerana dia tidak bercampur dengan orang dan dia anak orang politik. Cerita kejayaan itu mati begitu sahaja.

Dalam kampung yang sama beberapa hari berikutnya terdapat seorang gadis yang dirogol oleh kekasihnya, maka cerita itu segera merebak, menjadi bualan di kedai-kedai kopi, menjadi bualan ke beberapa buah kampung yang berjiran malah berita itu merebak sehingga ke Kuala Lumpur. Malah kisah rogol tersebut menjadi minat setiap orang dan ceritanya terus panas hingga berbulan-bulan.

Persepsi buruk yang ditanamkan oleh pembangkang terhadap pemimpin kerajaan memanglah mudah menarik minat rakyat, kerana rakyat merasakan mereka tertipu, teraninyaya, tersilap pilih, mereka tidak dapat apa yang pemimpin dapat dan akhirnya perasaan benci terhadap sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin akan tumbuh segar dalam hati nurani rakyat.

Hari ini jika kita perhatikan terdapat beribu-ribu orang bekas pemimpin UMNO termasuk yang pernah menjadi wakil rakyat dan telah pencen, hidup dalam keadaan melarat, tidak sempurna, tidak dihargai, terasing dan terbuang. Bukan semua yang pernah bergelar YB tersebut akhirnya hidup mewah seperti yang didombakan oleh pembangkang. Malah ada yang ke sana sini dengan hanya berkereta buruk, pada hal semasa menjadi YB dahulu beliau adalah seorang yang amat menjaga kebajikan rakyat.

Memang ada yang menukar cara hidup apabila sahaja menjadi wakil rakyat. Ini diperlukan demi untuk membina imej supaya lebih dihormati oleh rakyat. Ada YB yang menukar kepada kenderaan yang lebih selesa apabila memenangi pilihanraya, namun untuk mengatakan ia mendapat kenderaan itu melaui rasuah atau komisyen adalah tidak adil. Demi untuk menjaga nama baik YB, terdapat sanak saudara dan sahabat handai yang bergotong royong menyediakan pinjaman wang untuk YB membeli kenderaan baru. Ini pastinya tidak salah.

Namun tidak dinafikan terdapat segelintir yang tiba-tiba membeli kenderaan mewah, membina mahligai, bercuti mewah ke luar negara dan pelbagai lagi pebuatan yang mengelikan rakyat. Namun untuk terus menuduh merreka memperolehi itu semua secara tidak sihat, tidak betul dan untuk menunjuk-nunjuk adalah tidak adil jika kita tidak mengetahui kedudukan sebenar.

Menukar imej apabila menjadi YB bukan sahaja terhad kepada wakil rakyat BN malah ia turut dilakukan oleh YB pembangkang. Cuma bezanya YB pembangkang bijak berlakun, mereka hipokrit. Di sebuah negeri yang dikuasai pembangkang, kebanyakan pemimpin mereka adalah jutawan, namun mereka digambarkan sebagai sangat bersih dengan imej waraq, imej merendah diri dan sederhana.

Terdapat pemimpin mereka menaiki kereta mewah untuk menghadiri sesuatu ceramah, namun untuk kelihatan miskin mereka akan letak kereta 2 atau 3 kilometer daripada tempat majlis berlangsung dan sebuah kereta proton saga buruk akan mengambilnya untuk sampai ke tempat ceramah atau majlis tersebut. Mereka sebenarnya menipu diri sendiri, menipu keluarga dan menipu rakyat. Namun untuk kuasa politik mereka sanggup lakukan itu semua.

Pemimpin pembangkang sebenarnya tidak ada bezanya dengan pemimpin BN, malah mereka lebih teruk dan lebih rakus lagi daripada pemimpin BN apabila mendapat kuasa. Cuma mereka berjaya melahir dan mengwujudkan persepsi bahawa yang bersikap buruk itu ialah pemimpin BN dan yang suci bersih itu ialah mereka. Persepsi ini masih gagal ditangani oleh pihak pemerintah sehingga hari ini.

Gambaran bukan sahaja dilakukan terhadap para pemimpin BN, malah persepsi buruk, rasuh, kroni, penindas, penyamun wang rakyat dan pemilik harta haram ini turut diberika kepada kaum keluarga pemimpin berkenaan. Untuk mengwujudkan persepsi buruk ini pembangkang sanggup menidakan usaha keras anak watan yang berjaya. Mereka pastinya cuba memalitkan kejayaan seseorang itu dengan unsur-unsur tidak baik seperti rasuah dan putar belit.

Kejayaan anak watan bagi pembangkang bukanlah untuk dibanggakan malah semestinya dikutuk dan diberi gelaran yang tidak enak didengar. Dasar Ekonomi Baru yang banyak membantu kejayaan anak bangsa mestilah diperlekeh demi untuk menidakan kejayaan kerajaan BN.

Lebih tidak adil ialah gambaran hitam yang dipalitkan kepada anak, isteri dan saudara mara. Semua harta atau perolehan mereka sedaya upaya dikatakan secara tidak betul.

Setelah 53 tahun negara merdeka dan pembanguna pesat berlaku, kemajuan terserlah dalam pelbagai bidang, sudah tentulah ramai anak watan, Melayu, Cina, India, Kadazan mahupun Iban yang berjaya dalam bidang profesyenal. Selepas memiliki kerjaya yang hebat dalam tempoh 10 tahun atau membuka perniagaan sendiri para profesyenal ini sudah tentu mampu untuk memiliki kereta mewah dan rumah besar.

Malang bagi anak-anak pemimpin UMNO dan BN yang jadi jurutera, doktor, peguam, akauntan atau juruterbang ababila mereka ingin membalas jasa baik kerajaan lalu menjadi ahli Pemuda UMNO atau Puteri UMNO, dan menghadiri program parti dengan datang memandu kereta mewah, mereka akan segera dicop sebagai ingin menunjuk-nunjuk harta rasuah.

Namun anak profesyenal PAS, DAP dan PKR tidak pula digambarkan sebagai memperolehi semua itu dengan cara haram sebaliknya dengan usaha gigih mereka sendiri. Terdapat pemimpin parti pembangkang yang terlalu mabuk kuasa, secara tidak sedar diri ingin melupakan segala jasa baik kerajaan dalam menglahirkan beliau sebagai seorang profesyenal. Jika pun beliau tidak mampu untuk berterima kasih kepada jasa kerajaan menanggung segala perbelanjaan pembelajarannya, janganlah digigit tangan orang yang pernah berjasa kepadanya.

Ratusan ribu anak-anak orang PAS atau PKR yang menerima bantuan 100 peratus dari kerajaan dan akhirnya berjaya memperolehi kelulusan cemerlang dan menjadi anak yang mempunyai masa depan di negara bertuah ini telah dihasut dan dididik supaya jangan berterima kasih kepada kerajaan. Mereka menanamkan persepsi bahawa adalah menjadi tanggung jawab kerajaan menyediakan kemudahan pendidikan dan rakyat tidak perlu berterima kasih kerana rakyat membayar cukai. Berapa banyak orang PAS dan PKR yang membayar cukai dan berapa billion jumlah cukai yang dibayar? Agaknya ciput je tak?

Sekarang ini demi untuk menjaga hati penyokong dan pengundi, terdapat anak-anak UMNO yang ingin menghadiri program UMNO akan menaiki kereta buruk sahaja, kereta mewah atas usaha titik peluh mereka ditinggalkan di rumah takut dituduh ingin menunjuk-nunjuk atau gagal menjelaskan bahawa kereta itu hasil usaha sendiri sebagai sorang doktor. Terdapat anak-anak UMNO yang berpakaian tidak senonoh dan hodoh dikala menghadiri program kerana bimbang dituduh untuk bergaya atau berlagak.

Semua ini harus ditamatkan. Setelah 53 tahun merdeka tidak kira anak siapa, jika mampu memiliki kereta mewah, rumah besar, silakan dan nikmat kemajuan ini dan sebagai anak merdeka, mestilah diambil. Persetankan dengan persepsi pembangkang yang selamanya hodoh dan melampau. Meluncur lajulah dengan kereta mewah anda di mana-mana lebuhraya dan jangan sesekali merasa bersalah kerana memperolehi nikmat tersebut.

Juga tidak adil sebagai seorang Menteri seperti Ong Tee Keat, Samy Vellu atau Mustapha Mohammad yang menjaga kebajikan rakyat dan negara tetapi membiarkan anak beliau menjadi pemotong rumput atau mencuci tandas. Sekurang-kurangnya sebagai ayah yang perihatin anak-anak beliau semestinya dicarikan pekerjaan yang munasabah dan sesuai atau diberi peluang untuk memiliki rumah kedai atau perniagaan sendiri dan dibantu sedikit sebanyak. 

PERSEPSI SAMPAI BILAPUN TIDAK HABIS

Monday, May 24, 2010

MENANG DENGAN PERSEPSI

Setelah 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, pelbagai kemajuan telah dicapai oleh kerajaan dan sukar bagi sesiapa sahaja yang berfikiran rasional untuk menafikan hakikat ini.

Kejayaan yang tiada tolok bandingannya ialah keharmonian hidup antara kaum yang begitu ketara yang dinikmati sejak merdeka. Jika tidak berlakulah peristiwa hitam 13 Mei 1969, pastilah rekod bersih dan cemerlang ini berdiri megah sebagai bukti kejayaan pemerintahan negara yang telah menjangkau usia lebih setengah abad ini.

Pencapaian rakyat dalam pelbagai bidang telah mengatasi pencapaian banyak negara yang seusia Malaysia. Kadar celik huruf jauh mengatasi negara India yang merdeka lebih dahulu dari Malaysia walaupun dari segi saiz penduduk India jauh mengatasi Malaysia, namun sistem pembelajaran negara telah memungkinkan rakyat mendapat pendidikan asas yang sempurna.

Perkapita penduduk Malaysia jauh mengatasi perkapita Republik Indonesia. Prasarana negara jauh mengatasi banyak negara lain dan menyamai standard negara maju. Malah dalam kebanyakan bidang pencapaian negara adalah luarbiasa dan hampir setaraf pencapaian negara maju.

Bangunan pencakar langit tumbuh di serata bandar yang dibina dengan teknologi moden, sedangkan pada masa yang sama banyak negara asing masih menggunakan teknologi lama dan primitif. Malah satu ketika Malaysia pernah mencatatkan nama sebagai negara yang memiliki dua buah bangunan tertinggi di dunia.

Ekonomi negara berkembang pesat dari setahun ke setahun dan bukannya bertambah menguncup. Dikala banyak negara menghadapi krisis ekonomi dan mata wang suatu ketika dahulu, negara terselamat dengan langkah berani yang diperkenalkan oleh kerajaan. Banyak negara ketika itu, termasuk negara maju seperti Korea Selatan terpaksa berhutang dengan IMF. Malaysia dengan beraninya memperkenalkan kawalan ke atas mata wang negara dan penyangak mata wang sudah tidak boleh lagi memunipulasi turun naik mata wang negara ketika itu.

Tidak ramai rakyat yang berterima kasih kepada kerajaan ketika itu. Malah terdapat tokoh-tokoh utama negara dan masyarakat yang turut sama senada dengan negara asing mengutuk tindakan drastik kerajaan Malaysia memperkenalkan kawalan ke atas mata wang negara.

Masih segar dalam ingatan saya bagimana mantan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah dibiarkan bersendirian untuk menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak. Malaysia segera digelar negara pariah. Kekuatan iltizam, mental dan keyakinan tinggi Tun Dr Mahathir sebenarnya menjadi kunci kejayaan tindakan tersebut.

Terdapat para menteri yang beliau lantik telah tidak menyokong tindakan beilau dan turut menikam beliau dari belakang. Jika terdapat beribu kejayaan Tun Dr Mahathir sepanjang 22 tahun beliau memerintah Malaysia, saya tetap mengatakan bahawa tindakan berani beliau dalam memperkenalkan kawalan ke atas mata wang negara adalah merupakan kejayaan terhebat beliau.

Maruah negara walaupun pada awalnya diragui oleh banyak pihak, namun akhirnya ternyata Malaysia berdiri megah kerana tindakan berani Tun Dr Mahathir telah berjaya menyelamatkan negara daripada muflis. Akhirnya juga para pengkritik beliau terpaksa gigit jari dan akur bahawa tindakan beliau adalah tepat.

Akhirnya juga beberapa tahun berikutnya beberapa negara asing turut meniru langkah yang telh diambil oleh Tun dalam menangani sebarang krisis ekonomi yang disebabkan oleh spekulator mata wang. Dalam perkara ini smpai bila-bila pun rakyat Malaysia harus berterima kasih kepada beliau.

Menulis tentang kejayaan dan pencapaian negara sejak merdeka sebenarnya memerlukan masa yang panjang kerana sejarah telah membuktikan kehebatan pencapaian tersebut.

Di mana sahaja kita berada, apabila membuka mata dikala bangun pagi, sambil menghirup udara nyaman di bumi yang merdeka ini, kita akan dapat melihat suasana yang aman tenteram, tanpa kacau bilau seperti di sesetengah negara lain.

Ini jelas menjadi bukti kejayaan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO dan disertai oleh 14 buah komponen parti lain. Kerjasama erat sejak merdeka ini berjaya dikekalkan kerana terdapat sikap tolak ansur dalam memperjuangkan hak kaum masing-masing.

Tanpa semangat toleransi yang tinggi dikalangan kaum-kaum ini jangan mimpi negara kita akan terus aman sejak 53 tahun yang lalu. Jadi kejayaan ini sebenarnya menjadi bukti sahih nan kukuh, bahawa kerajaan BN sejak dulu telah berjaya mentadbir negara berbilang kaum ini dengan jaya dan jitunya. Jika dasar2 BN selama ini bobrok, rasuah, pentingkan diri, menindas rakyat dan sebagainya sudah pastilah kerajaan ini tidak akan mampu bertahan begitu lama.

Bila BN berjaya memerintah negara selama lebih setengah abad ini, bermakna segala dasar dan perlaksanaan yang dilakukan adalah baik untuk rakyat dan tidak menindas. Tidak seperti di Jepun, India, Indonesia, Filipina, Thailand, Pakistan dan banyak contoh lagi dimana parti-parti dominan di awal kemerdekaan akhirnya ditolak oleh rakyat.

Lalu apa sebenarnya yang berlaku sejak 10 tahun lalu, dimana kerajaan Malaysia, BN khususnya dimomokan sebagai gagal memerintah negara ini. BN digambarkan sebagai sebuah pertubuhan yang gagal membawa apa-apa pembaharuan dan pembangunan untuk rakyat negara ini.

Semuanya kini seolah-olah tidak berguna lamgsung, Malaysia digambarkan seolah-olah negara miskin, negara kuku besi, penindas dan semua sistem yang diguna pakai dalam negara ini adalah ketinggalan zaman, mundur dan korup.

Segala rupa dan bentuk keburukan sekarang ini dilabelkan kepada pihak pemerintah oleh pihak pembangkang yang telah mula merasai nikmat kuasa. Gambaran terhadap kerajaan pada hari ini dilukiskan dengan segala keburukan seolah-olah kerajaan ini tidak pernah langsung berjasa kepada rakyat negara ini.

Kerajaan pimpinan UMNO ini digambarkan dengan segala kekotoran yang tidak masuk akal dan rakyat diajak supaya terus membenci pimpinan kerajaan  yang telah banyak berjasa ini.

Semua ini adalah persepsi negatif tentang kerajaan yang cuba ditanamkan oleh pembangkang dengan harapan akhirnya rakyat akan termakan juga momokan mereka, lalu melupakan segala keburukan, kelemahan  serta kegagalan pihak pembangkang. Persepsi ini diwujudkan supaya akhirnya rakyat diharap akan mengalihkan sokongan kepada mereka pula.

Untuk mengwujudkan persepsi buruk ini pihak pembangkang menggunakan pelbagai taktik, pelbagai pihak, pelbagai tenaga, pelbagai medium dan pelbagai peralatan. Semuanya dikerah demi untuk tujuan yang satu iaitu untuk menggambarkan betapa buruk, betapa gagalnya, betapa korupnya, betapa sialnya, betapa zalimnya dan betapa tidak demokratiknya kerajaan BN ini.

Coretan mengenai persepsi ini akan ditulis dalam posting yang akan datang. Dalam sebuah keluarga mungkin ada seorang dua ahli yang tidak keruan atau bermasalah. Dalam sebuah organisasi mungkin ada seorang dua yang tidak berguna. Dalam sebuah sekolah mungkin ada seorang dua murid atau guru yang bermasalah. Dalam sebuah negeri mungkin ada rakyat yang bermasalah atau menimbulkan masalah.

Begitu juga dalam organisasi kerajaan mungkin ada yang tidak beberapa baik anggotanya. Dalam kabinet pun mungkin ada yang rosak, namun janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Atau lebih tepat lagi jika ada berperangai buruk, janganlah anggap keseluruhan anggota kaboinet itu begitu. Masih ramai yang sebenarnya baik dan berguna dan membela rakyat. Dalam setandan kelapa mungkin ada sebuah dua yang mumbang.         



                                        

Wednesday, May 19, 2010

DARI UTUSAN UNTUK KENANGAN

Orang Cina Malaysia, apa lagi yang anda mahu?

CUIT ZAINI HASSAN

SUDAH banyak kali saya menulis mengenai sikap sahabat kita, orang Cina Malaysia terhadap kerajaan yang ada sekarang. Saya juga sering mengaitkan cita-cita DAP yang mahu 'pulun' semua sekali pengaruh Cina di negara ini.

Seperti mana yang saya tulis sebelum ini, DAP sejak akhir-akhir ini sungguh senyap dalam pergerakannya. Di Selangor pun ia senyap, di Pulau Pinang pun ia mulai senyap, di Perak pun begitu. Senyap-senyap DAP sebenarnya diam-diam berisi.

Gerakan halus mereka bergerak kencang. Harus diingat arus bawah lebih bahaya berbanding ombak di atas. Tapi apakah BN sedar dengan strategi DAP itu. Jika kira-kira 30 tahun dulu, malah 20 tahun dulu, orang Melayu generasi saya amat cuak dengan DAP atas sikap cauvinisnya, kini generasi Melayu sekarang tidak tahu itu semua. Mereka sudah tidak peduli.

Mereka tidak membaca pun buku 13 Mei yang ditulis oleh Tunku Abdul Rahman dan mereka tidak pernah tahu pun wujudnya perarakan penyapu oleh DAP yang mahu menyapu orang Melayu pada masa itu.
Bukan tujuan saya mahu membangkitkan rasa benci kepada parti itu atau kepada sesiapa, tapi ia adalah sejarah yang semua orang anak-anak Melayu, Cina, India, Orang Asli malah sesiapa sahaja harus dan berhak tahu mengenainya.

Saya pernah menyarankan supaya buku 13 Mei itu dijadikan teks di sekolah. Matapelajaran sejarah yang sesetengah daripada orang Melayu sendiri amat membencinya, harus diperkuatkan semula. Aspek kenegaraan, soal-soal realiti kemalaysiaan harus diterapkan.


Masukkan juga satu subjek mengenai konsep 1Malaysia yang sudah mulai disukai ramai itu. Sejarah silam dan aspek kontemporari harus disatukan menjadi satu subjek wajib, yang harus diikuti oleh semua pelajar, bukan sahaja pelajar Sastera, malah juga pelajar Sains.


Tujuan saya membangkitkan semula perkara ini bukanlah bermakna saya ini ultra-Melayu, tetapi untuk menyatakan mengenai realiti politik yang berlaku di sekeliling kita sekarang.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor amat unik. Dalam sains politik, ia amat menarik untuk dikaji bagaimana orang Cina (bukan semua, tapi rata-rata) masih tidak mahu kembali kepada parti kerajaan.
Apa lagi yang mereka mahu? Apakah mereka masih merasakan merekalah penentu kepada sesuatu keputusan pilihan raya di negara ini?

Perlulah diingat pilihan raya umum 2008 bukanlah satu ujian sebenar bagi proses demokrasi di negara ini. Ia terlalu artifial. Tsunami yang berlaku adalah akibat kemarahan rakyat kepada kerajaan ketika itu dan kecelaruan fikiran orang Melayu ketika itu.

 
Akibatnya, DAP telah berjaya mencuri peluang itu. Orang Cina ramai-ramai memihak kepada mereka dan berlakulah tsunami politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Tapi jika diambil Hulu Selangor sebagai model pilihan raya umum ke-13 kelak, orang Cina bukanlah (lagi) penentu kepada keputusannya. Orang Melayu masih lagi menjadi faktor mutlak bagi menentukan kepada keputusan itu, dengan syarat - mereka bersatu.

Bersatupun, mereka haruslah secara majoriti menyokong kerajaan dan orang India pun turut serta memberi undi kepada parti kerajaan, maka ketika itu orang Cina bukanlah penentunya. Kecualilah jika orang India dan Cina solid lari daripada BN, maka BN akan tersungkur.

Namun, hakikatnya angka majoriti undi BN di Hulu Selangor bukan lagi satu gambaran kepada kemenangan sebenar. Itu pilihan raya kecil. Semua jentera tertumpu di sini. Dalam pilihan raya umum situasinya adalah jauh berbeza.

Secara angka, Melayu Hulu Selangor pun masih tidak solid. Kita tidak pasti apa lagi yang mereka mahu. Semua yang mereka mahu sudah diberi. UMNO pun sudah tunjuk perubahan. Seorang rakan memberitahu ''mungkin kita perlu pendekatan radikal untuk menyelesaikan masalah yang tenat."

Namun, keputusan Hulu Selangor amat disenangi oleh Lim Kit Siang. Beliau dalam ucapannya di rapat umum penutup selepas keputusan kekalahan mereka diumumkan, memberitahu para hadirian yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu, keputusan itu sebenarnya ialah kejayaan kepada 'rakyat' Hulu Selangor.

Tanpa mahu menyentuh perasaan orang Melayu di situ, beliau sebenarnya merujuk 'rakyat' itu sebagai orang Cina Hulu Selangor yang rata-rata tidak memberi undi kepada BN, tapi sebaliknya memihak kepada DAP.
Kit Siang ternyata amat gembira, sebaliknya Dr. Chua Soi Lek dan Dr. Koh Tsu Koon yang gagal.
Ironisnya, apa pula maksud Soi Lek apabila beliau berkata ''MCA kena vokal''? Saya pun tak tau?

Orang Cina Malaysia, apa lagi yang anda mahu?TAJUK di atas penuh bermakna. Apa lagi yang orang Cina Malaysia mahukan? Kita tolak dulu sebab-musabab mereka tidak menyokong kerajaan yang ada sekarang. Kita kaji dulu apa lagi yang mereka mahu?

Ikut sejarahnya orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu ini untuk mencari peluang. Mereka hidup susah di tanah besar China ratusan tahun dulu. Seperti mana orang putih berhijrah ke benua Amerika untuk mencari peluang, begitu jugalah orang Cina yang kini menghuni di negara bertuah Malaysia ini.
Ternyata, percaturan datuk moyang mereka dulu berbaloi. Mereka dapat apa yang mereka mahukan. Mereka hidup mewah di bumi bertuah Malaysia ini.

Malah, bukan Malaysia sahaja, Singapura pun mereka kuasai sepenuhnya. Singapura bukanlah negara asal mereka. Orang Cina Singapura pun asalnya adalah dari tongkang yang sama bersama-sama orang Cina Malaysia. Cuba bezanya, Singapura berjaya dikuasai sepenuhnya, dan Malaysia tidak.

Di Malaysia, orang Cina hidup aman damai bersama-sama orang Melayu, Pribumi dan India. Berbeza dengan di Singapura, di sana orang Cina yang menguasai politik dan sekaligus pemerintahan negara itu. Di Malaysia, politik dan kerajaannya masih lagi dikuasai oleh orang Melayu.
Sistem kedua-dua negara itu sama, cuma ia terbalik sahaja. Orang Melayu di sini, orang Cina di sebelah tambak itu.

Bezanya orang Melayu di Singapura dan orang Cina di Malaysia amat berlainan sekali. Orang Melayu di Singapura hidup biasa-biasa sahaja. Orang Cina di Malaysia hidup lebih daripada biasa-biasa.
Malah Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memberi gambaran sekiranya semua bangunan orang Cina di Kuala Lumpur diangkat dari peta, yang tinggal hanyalah Kampung Baru itu sahaja. Semua yang lain ialah kepunyaan orang Cina Malaysia.

Orang Cina Malaysia amat hebat. Kesemua pekan-pekan besar dan bandar-bandar di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak dikuasai mereka.

Mereka juga berjaya melahirkan para profesional yang paling ramai dan berjaya. Sistem sekolah Cina mereka adalah antara yang terbaik di mana-mana sahaja di dunia ini (jika ada).

Kebanyakan pelajar-pelajar di kolej-kolej swasta yang terbaik di Malaysia dipenuhi oleh pelajar-pelajar Cina. Orang Melayu hanya mampu ke kolej milik kerajaan dan yang tidak ternama. Pusat-pusat membeli belah di kompleks-kompleks ternama di Malaysia dipunyai oleh orang Cina.

Di organisasi korporat dan swasta, orang Cinalah yang menguasainya. Orang Melayu boleh di bilang jari dan pekerja bawahan. Malah, kini mahu mohon kerja di situ pun perlu faham cakap Mandarin, sebagai prasyaratnya.

Akhir sekali, orang paling terkaya di Malaysia yang banciannya dijalankan saban tahun oleh sebuah majalah busines di Malaysia mendapati lapan orang Cina yang berada di 10 ke atas. Berikut adalah senarai 10 orang terkaya di Malaysia.

1. Robert Kuok Hock Nien 2. Tatparanandam Ananda Krishnan 3. Tan Sri Lee Shin Cheng 4. Tan Sri Teh Hong Piow 5. Tan Sri Lim Kok Thay 6. Tan Sri Quek Leng Chan 7. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhry 8. Puan Seri Lee Kim Hua 9. Tan Sri Tiong Hiew King 10. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun. (Sumber: Malaysian Business, Feb 2010)

Itulah hakikatnya Malaysia tanah airku yang tercinta ini. Apakah kerajaan sekarang yang sudah memerintah 52 tahun ini terlalu zalim, kejam dan kuku besi?


Apa lagi yang orang Cina Malaysia mahukan? Tapi saya tahu, anda tahu jawapannya.

Thursday, February 4, 2010

MELAYU HILANG KUASA

Membaca Utusan Malaysia keluaran hari Isnin 1 Februari, saya amat bersetuju sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP mengharamkan kemasukan dan penjualan akhbar Utusan Malaysia di negeri tersebut. Ini kerana paparan yang terdapat pada hari tersebut tidak ada langsung yang menyintuh tentang kebaikan Kerajaan Negeri, sebaliknya seratus peratus paparan tersebut menjurus kepada keburukan serta kelemahan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan YB Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP.

Tidak cukup dengan paparan kenyataan daripada pelbagai pihak yang dipetik oleh UM, dua orang wartawan besar Utusan juga turut menulis tentang perkara yang sama iaitu keburukan pentadbiran kerajaan DAP. Saudara Hassan Mohd Noor membawa tajuk "Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?" sementara Saudara Zulkiflee Bakar pula membawa tajuk "Politik Dominan DAP"

Tulisan-tulisan tersebut boleh memberi kesan kepada pemikiran rakyat samada yang tinggal di Pulau Mutiara tersebut khususnya, mahupun yang berada di luar PP dari Perlis hingga ke Sabah.

Mungkin ramai yang masih ingat sejak berpuluh tahun dahulu Singapura pimpinan PAP telah mengharamkan kemasukan berpuluh-puluh majalah dari Malaysia dan tidak diizinkan untuk dijual atau diedarkan di negara itu. Tentulah tujuan pengharaman tersebut ialah kerana kerajaan Singapura tidak mahu rakyatnya terpengaruh dengan paparan yang terdapat di dalam majalah-majalah berkenaan.

Ramai yang sedar bahawa kesimpulan kepada semua paparan di Utusan Malaysia pada hari Isnin tersebut ialah Melayu telah hilang kuasa di Pulau Mutiara itu. Namun oleh kerana sebab-sebab tertentu semuanya memendamkan sahaja kenyataan pahit itu.

Rakyat tahu Melayu Pulau Pinang telah mula merempat di negeri sendiri. Pemimpin UMNO tahu, pemimpin PKR tahu, pemimpin PAS sedar, MCA tahu, MIC tahu, DAP tahu, Gerakan tahu, NGO tahu, malah orang luar negara juga tahu. Tetapi tidak ada yang boleh berbuat apa-apa selain daripada hanya memerhatikan sahaja kerana pembentukan kerajaan DAP di Pulau Pinang adalah sah mengikut lunas-lunas demokrasi.

Di dalam sistem demokrasi siapa kata kaum minoriti tidak boleh menjadi kepala negara. Kita tidak harus lupa kepada apa yang belaku di FIJI suatu ketika dahulu di mana pribumi diperintah oleh minoriti berketurunan India.

"Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?" seperti yang disoal oleh Saudara Hassan Mohd Noor sebenarnya ramai yang menjangkakan bahawa mereka akan menerima nasib seperti yang digambarkan dalam senikata lagu Warisan yang suatu ketika dahulu amat melekat di hati orang Melayu. Ada juga yang menyebut bahawa Melayu Pulau Pinang akan senasib seperti Melayu di Singapura. Selebihnya adalah sesuatu yang ngeri untuk dibayangkan.

Soalnya sampai bila Melayu Pulau Pinang akan terus merintih? Berkesankah jeritan yang dilakukan oleh Datuk Seri Zahrain Mohamed? Dalam semua pihak ghairah dengan kenyataan Ahli Parliamen tersebut jangan kita lupa kepada saranan bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, En Muhamad Zahid Md Arip yang mengatakan itu semua hanyalah sandiwara. Mungkin ada benarnya kerana bukankah kebanyakan para pemimpin Pakatan Pembangkang adalah pakar sandiwara tidak kira dari PKR, PAS mahupun DAP.

Dalam realiti politik Malaysia hari ini saya merasakan Melayu Pulau Pinang akan terus kehilangan kuasa dan terus merintih sampai bila-bila, selagi PKR dan PAS sanggup bersekongkol dengan DAP. Benar semasa kerajaan BN menguasai Pulau Pinang dahulu yang berkuasa orang Cina juga melalui Gerakan, tetapi sekurang-kurangnya Gerakan menghayati semangat Barisan Nasional dan menghormati kesetiakawanan BN.

Kini keadaan berbeza dan jika menurut pandangan umum, DAP tidak pedulikan perasaan rakan kongsinya PKR dan PAS dalam menjalankan urusan harian pentadbiran. Sebab itulah Datuk Seri Zahrain melenting, jika benar beliau tidak bersandiwara. Itulah juga yang cuba dikatakan oleh saudara Zulkiflee Bakar tentang 'Politik Dominan DAP'

Bolehkah Melayu kembali mempunyai suara di Pulau Pinang? Sukar. Nasi sudah menjadi bubur. Menang sorak kampung tergadai. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudia tidak berguna. Itu sebab selalu diingatkan jangan tersilap pilih, jangan ikutkan perasaan. Kes di Pulau Pinang tidak sama dengan kes di Kedah, Terengganu ataupun Kelantan.

Jikapun semua orang Melayu di Pulau Pinang bersatu hati dan menolak pembangkang dalam PRU13 kelak dengan mengundi UMNO, rasanya DAP tetap memerintah Pulau Pinang. DAP akan menang semua kerusi kawasan Cina dan dalam sistem demokrasi mereka mempunyai lebih kerusi dan akan membentuk kerajaan.

Ini bukan bermakna MCA , MIC dan Gerakan tidak mendapat undi dari kaum Melayu, Cina dan India, tetapi undi tersebut tidak mampu untuk memenangkan calon-calon mereka. Di Perak sentimen yang dimainkan semasa pilihanraya kecil Bukit Gantang cukup mudah dan berkesan untuk memenangkan Datuk Seri Nizar.

Tetapi jika terjadilah pembubaran DUN Negeri Perak tempoh hari seperti yang dituntut oleh pembangkang, pastilah Datuk Seri Nizar tidak akan menjadi Menteri Besar lagi sekiranya Pakatan Pembangkang menang kecuali dia bersedia bertanding atas tiket DAP

Di Pulau Pinang. jika sudah tidak mempunyai harapan lagi untuk berkongsi kuasa pada masa akan datang, lalu apa pilihan yang Orang Melayu Pulau Pinang ada? Belajarlah untuk mematuhi semua undang-undang dan bersedialah untuk menjadi warga negeri maju dan moden. Terima hakikat dan jangan merintih lagi. Jika ingin juga berniaga dan bersaing, pastikan berniaga dengan mempunyai lesen yang sah. Usah bandingkan dengan peniaga asing yang tidak mempunyai lesen.