Saturday, June 23, 2012

Menipu Memang Kerja Kami...Dulu Kini Dan Selamanya.

Berjanji manis, bulan dan bintang terbukti menjadi keutamaan kepada pemimpin pembangkang dalam pakatan haram. Mereka mudah menabur janji dengan harapan rakyat akan termakan gula-gula mereka dan memberikan undi penting kepada mereka dalam PRU13 kelak.

Berjanji bukan untuk ditepati serta kelak mengalihkan segala kelemahan kepada isu-isu yang tidak berkaitan sememangnya merupakan ciri-ciri pembangkang di negara ini. Mereka pakar dalam hal sedemikian. Justru itu mereka boleh berjanji apa sahaja dan kemudian lepas tangan tanpa rasa bersalah.  Artikel tulisan wartawan Utusan ini elok diulang baca sebagai ingatan kepada semua.

ARKIB : 16/06/2012
 

Hikmah janji 'auta' Pas, PKR


SEMASA singgah minum di sebuah gerai di Bukit Bunga sewaktu pulang ke rumah mertua di Tanah Merah, Kelantan minggu lepas, berbuallah penulis dengan abang ipar dan beberapa rakannya.

Antara topik yang hangat dibincangkan berkisar dengan rancangan Pas yang mentadbir negeri sejak 1990 lagi untuk membina sendiri Lebuh Raya Kuala Krai-Kota Bharu bernilai RM1.8 bilion (anggaran ketika ini). Lebuh raya itu dinamakan Pas sebagai 'lebuh raya rakyat' dengan harapan rancangan itu 'dekat dengan jiwa' rakyat Kelantan.

Namun, topik mengenai 'lebuh raya rakyat' itu tidak banyak mengulas 'komitmen' kerajaan Pas pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini. Tetapi lebih banyak berbaur ungkapan sinis daripada rakan-rakan abang ipar mempersoalkan kesungguhan Pas dalam projek tersebut.

"Nak ketawa pun ada sebab ada laluan untuk binatang buas lagi... wah! memang hebat rancangan 'tok guru' ni... jambatan Palekbang-Kampung Cina yang dijanjikan pada 1996 tak terusik lagi, inikan nak buat 'lebuh raya rakyat' pula," kata salah seorang daripada mereka kepada penulis dalam loghat bercampur Kelate/Kuala Lumpur.

Seorang lagi menyampuk: "Kita minta Pas jangan autalah, kami tahu ini cuma kenyataan politik, tak akan berlaku pun."

Memang kalau dikira secara logik akal, memang susah dan sebenarnya mustahil untuk merealisasikan projek ini jika hanya bersandarkan kepada sumbangan individu. Apa lagi kalau dijolok dengan akaun nombor bank tertentu. Ini bukan soal 'angkuh' kerana mempersoalkan kemampuan Pas tapi hakikatnya memang begitupun.

Kenapa sudah lebih 20 tahun memerintah, kerajaan Pas tak buat apa pun. Ini, 'alih-alih' kerana demam pilihan raya umum, sudah menggelabah tak bertempat.

Kalau tak percaya, pergilah kita tinjau batu asas untuk membina jambatan Palekbang-Kampung Cina. Batu asasnya masih ada di situ, tapi tulisannya yang tertera nama projek, dah tak ada lagi. Ini bukan dikira janji auta Pas lagi, tapi ikut resam orang Islam, dah kira berdosa, menipu rakyat.

Diam tak diam, bukan Pas bina jambatan sebaliknya Kerajaan Pusat BN yang tunaikan janji Pas itu dengan membina jambatan di Kampung Sireh untuk mengurangkan kesesakan bandar Kota Bharu.

Hakikatnya, bukan Pas sahaja yang 'bermain tarik tali' menjanjikan 'langit dan bintang' kepada rakyat Kelantan tetapi sekutu mereka, PKR - demikian juga perihalnya.

Di Selangor, cuba kita nilai pencapaian kerajaan PKR negeri mentadbir negeri terkaya tersebut.

1. Anggota Parlimen kawasan Subang dari PKR, R.Sivarasah menjanjikan setiap keluarga akan mendapat rumah baru di Jalan Pluto menjelang 2010. Tapi lihatlah apa yang berlaku apabila 57 keluarga di Kampung Bunga Raya, Petaling Jaya melakukan mogok lapar membantah kerajaan PKR Selangor kerana gagal mengotakan janji pilihan raya umum lepas untuk menyediakan rumah baru kepada mereka. Projek perumahan yang bermula 2008 telah terbengkalai hingga Januari 2012 (kemudian dibantu BN), menyebabkan keluarga terbabit mengalami penderitaan dan rasa tertipu.

2. Datuk Dr. Hasan Ali yang ketika itu Exco Agama Selangor pernah mengeluarkan kenyataan larangan menjual arak di kawasan majoriti Muslim. MBSA kemudian bertindak merampas arak di sebuah kedai serbaneka 24 jam yang dijual di kawasan itu (Shah Alam).

Bagaimanapun, seorang lagi Exco dari DAP, Ronnie Liu mengarahkan MBSA memulangkan semula arak yang dirampas. Katanya, bir bukan kategori arak (bawah 8.8% alkohol) serta tidak memerlukan lesen jualan. Pas dan DAP tidak sehaluan dalam isu ini. Akhirnya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan kawalan terletak pada kehendak kedai sendiri tanpa ada larangan menjual di kawasan majoriti Muslim.

3. Kerajaan negeri membuat unjuran RM150-RM200 juta setahun untuk hasil pasir. Sebaliknya, jumlah pengeluaran pasir negeri hanya RM22 juta. Kerajaan negeri hanya mengutip RM4 juta dari doket pasir dan RM7.5 juta melalui Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB). Hanya RM11.5 juta dari RM22 juta masuk ke dalam kantung negeri.

4. Rumah-rumah urut semakin banyak di Selangor daripada 700 buah meningkat sehingga 4,000 buah sepanjang dua tahun (2008-2010). Didapati, lebih sebahagian besar daripadanya ialah warga asing sebagai pelacur. Dilaporkan pelajar sekolah turut terlibat melanggan pelacur dengan bayaran serendah RM30.

5. Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pernah mendedahkan dia menerima 25 kes aduan kes kecurian pasir di Selangor serta mendakwa ia berpunca daripada sikap 'lepas tangan' Menteri Besar. Manikavasagam kemudian diugut dengan cat merah di kediamannya.

6. PKR bercadang membuka 10% kuota pelajar di UiTM kepada bukan bumiputera. Ini mengurangkan kira-kira 12,000 kuota bumiputera setiap tahun. Ekoran itu, ribuan mahasiswa UiTM seluruh negara mengadakan bantahan besar-besaran serta menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Menteri Besar.

7. Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) kerana tekanan politik oleh kerajaan negeri. Beliau tidak sanggup melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel seperti yang diarahkan MB Selangor. Beliau turut mendedahkan campur tangan pakatan pembangkang terlalu kuat di universiti itu.

8. Projek UiTM Serendah yang telah diluluskan telah diarahkan oleh MB dibatalkan serta-merta atas alasan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor lambat membayar cukai. Sebenarnya, isu tercetus apabila MB berang kerana tidak dilantik sebagai Pengerusi YBK negeri.

Dalam hal ini, penduduk berhak mendapat pembangunan, ekonomi dan pendidikan tetapi dinafikan kerajaan negeri.

9. Projek membina jeti dan empat buah rumah nelayan di Pasir Penambang oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diarahkan kerajaan negeri (melalui Ronnie Liu) agar dihentikan kerana rumah terbabit dikatakan terlalu dekat dengan tokong.

Padahal LKIM dan penduduk sudah sepakat sebelum itu. Tanah seluas 0.4 hektar dan ganti rugi RM15,000 diberi kepada pihak tokong manakala RM80,000 dibayar kepada penduduk yang dipindahkan. Projek ini sangat berfaedah untuk nelayan.

Tokong terbabit pada asalnya memang bersebelahan dengan rumah, cuma kerajaan negeri kononnya mahu menjadi pembela. Akibatnya, apabila Ronnie Liu datang ke kampung itu, dia diherdik dan di'boo' oleh 200 penduduk Cina di situ.

10. Kerajaan negeri bertindak menaikkan kadar sewa rumah Projek Pembangunan Rakyat (PPR) di Kota Damansara dan Lembah Subang daripada RM124 kepada RM250 sebulan. Sedangkan, kebanyakan penduduk berpendapatan kurang RM600 sebulan dan terdiri daripada golongan miskin, OKU, ibu tunggal dan warga emas.

Hakikatnya, 'lebuh raya rakyat' yang dicanangkan kerajaan Pas Kelantan tidak akan direalisasikan. Ia sama seperti mana banyak janji yang belum tertunai di Selangor.

Rancangan Pas memang gah, tetapi hikmah di sebalik janji auta itu pasti cepat dihidu rakyat.


"Orang gila lebih waras daripada orang tidak gila"  Mahpooozzz Bean.

No comments:

Post a Comment